Oleh Mohd Shukri Hanapi
WASPADA berasal daripada perkataan Arab 'al-Hazr' yang mencakupi pengertian tertutup, berjaga-jaga dan berhati-hati. Berdasarkan pengertian itu jelaslah kewaspadaan mempunyai pengertian dasar 'berhati-hati' dan 'berjaga-jaga'.
Orang berwaspada akan mudah mengetahui perkara yang mungkin timbul daripada hal buruk dan mungkar. Oleh itu, dia akan sentiasa mengawasi dan berhati-hati serta berusaha meneliti sebab musababnya.
Kewaspadaan tidak termasuk dalam pengertian takut yang mendorong seseorang mudah menyerah, menjadi pengecut, enggan berjuang, rasa tidak terdaya atau kadangkala membuat orang jadi cemas, bingung dan berputus asa.
Kewaspadaan salah satu sifat terpuji yang ada pada orang beriman. Mereka berwaspada diibarat seorang nakhoda kapal, belayar mengharungi lautan berpandukan keadaan cuaca, mengemudi kapalnya dengan mengambil kira kemungkinan terjadi ribut dan ombak besar, supaya terhindar daripada bencana dan sampai ke destinasi dengan selamat.
Sebenarnya keupayaan memahami sebab musabab dan berwaspada sama sekali tidak berlawanan dengan konsep tawakal. Bahkan, tidak pula bererti seseorang itu tidak mempercayai janji Allah.
Seseorang Muslim perlu mengetahui sebab musabab bahkan perlu meyakini kebenarannya. Berdasarkan pengetahuan itu ia akan berusaha mengatur langkah berkesan.
Walaupun mengetahui sebab musabab, bukan bermakna ia berpandu sepenuhnya kepada pengetahuan itu saja. Jika dilihat, Rasulullah SAW mengetahui sebab Baginda berhijrah ke Madinah, iaitu untuk mendapat kejayaan melaksanakan dakwah Islam.
Ketika Rasulullah SAW bersembunyi di Gua Hira', Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang berada bersamanya ketika itu rasa cemas dan gelisah. Dalam keadaan itu Baginda cuba menenangkan fikiran dan perasaan Abu Bakar dengan memberitahu Allah menyertai mereka berdua dan kepada Allah Baginda bertawakal.
Peristiwa itu dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud, "Jika kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya) sedang dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Jangan engkau berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Taubah, ayat 40)
Begitu juga diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas katanya: "Sesungguhnya Umar bin al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau dikunjungi penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan pengikutnya.
Mereka memberitahu Umar bahawa wabak (penyakit taun) sudah berjangkit di Syam. Selepas mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan sahabat Muhajirin yang pertama. Aku (Ibn Abbas) melaksanakan perintah Umar itu.
Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu bahawa wabak berjangkit di Syam. Mereka berbeza pendapat mengenai berita itu. Sebahagian mereka berkata: "Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat jika engkau pulang."
Sebahagian lain pula berkata: "Engkau diikuti oleh orang ramai dan sahabat Rasulullah SAW, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini." Umar berkata: "Tinggalkanlah aku!" Kemudian beliau berkata lagi: "Tolong panggilkan sahabat Ansar." Aku pun memanggil mereka.
Ketika diminta berbincang, mereka berbeza pendapat. Umar berkata: "Tinggalkanlah aku!" Lalu beliau berkata lagi: "Tolong panggilkan pembesar Quraisy yang berhijrah ketika penaklukan dan sekarang mereka berada di sana." Aku memanggil mereka dan ternyata mereka sudah sepakat kemudian berkata: "Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa saja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini."
Lalu Umar menyeru di tengah orang ramai: "Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku." Abu Ubaidah bin al-Jarrah bertanya: "Apakah itu bererti lari daripada takdir Allah?" Umar menjawab: "Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment