Saturday, February 2, 2008

Masjid perlu dijadikan ukuran mutu ummah

Oleh Masmawi Abdullah

PENAMPILAN kita dan isi masjid mencerminkan darjat hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan antara manusia dengan manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tempat paling dikasihi Allah di sesuatu negeri atau qariah ialah masjid.”

Umumnya, wajah masjid akan bergantung kepada taraf keimanan manusia. Makin tinggi iman maka makmurlah masjid itu dan sebaliknya, makin rendah iman makin sunyilah masjid itu.

Dapat dikatakan bahawa aktiviti dan penampilan masjid penggerak yang dapat memberikan petunjuk apakah umat manusia dalam keadaan tebal atau tipis imannya.

Allah berfirman bermaksud: “Jika Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat pertapaan serta gereja kaum Nasrani dan tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid yang sentiasa disebut nama Allah dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Haj, ayat 40)

Masjid di negara kita makin berkembang jumlahnya serta mutu bangunannya bertambah cantik, indah dan menarik. Ada masjid yang mewah dan meriah serta makmur, dan ada juga yang mewah tetapi sunyi sepi. Ada pula yang daif bangunannya tetapi aktif dengan kegiatan.

Masalah sekarang ialah sejauh manakah masjid digunakan sesuai dengan peranan sebagai tempat ibadat, tempat belajar, tempat berdakwah dan sebagainya.

Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah, Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis dan Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah, mengalami pembaikan dan pembesaran bangunannya dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan kedudukan sebagai pusat ibadat, kebudayaan, pengembangan ilmu dan pembinaan ummah.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka memakmurkan masjid hanya orang yang beriman kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan orang yang tidak takut selain Allah. Mudah-mudahan itulah orang mendapat petunjuk Ilahi.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Pada zaman kegemilangan Islam, umatnya menjadikan masjid sebagai markas pelaksanaan hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia berlangsung sejak abad keenam Masihi hingga abad ke-13 Masihi sehingga kita dapat menyaksikan peninggalan sejarah kegemilangan umat Islam melampaui batas ruang dan waktu hingga kini.

Sejak abad ke-14 Masihi kita menyaksikan pergeseran mengenai peranan masjid apabila masjid hanya menjadi tempat ibadat semata-mata dan antara sedar atau tidak, ia menyebabkan peranan masjid menjadi sempit.

Keadaan itu tambah dengan perilaku sesetengah umat Islam sendiri, apabila berada di masjid bertuhankan Allah dan di luar masjid pula bertuhankan harta, wanita, pangkat dan kuasa.

Kerana harta ia korbankan halal haram, kerana wanita ia lupa daratan tidak nampak tuhan, kerana pangkat dan kuasa ia menolak kebenaran Islam, pada hal inilah sebenarnya punca keruntuhan yang menghancur leburkan iman seseorang.

Kita harus mengembalikan peranan masjid secara utuh kukuh ke arah satu paradigma baru, iaitu sebagai tempat ibadat dan muamalah yang berpedomankan kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Al-Quran banyak menceritakan mengenai ibadat, muamalah, kemasyarakatan, ekonomi, pengadilan, hubungan si kaya dengan si miskin dan lain-lain. Dengan demikian, kesungguhan mengembalikan peranan masjid dengan suatu paradigma baru amat penting.

Apabila kegiatan fardu kifayah tidak bertolak kepada roh masjid, maka akan ada penyelewengan yang menyimpang daripada landasan Islam, terpesong daripada naungan al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW, kerana akhirnya umat Islam dipengaruhi sistem yang tidak secocok dengan Islam.

No comments: