SAYA sudah berkahwin selama 10 tahun dan ada tiga anak. Bagaimanapun, suami sudah meninggalkan saya sejak dua tahun lalu tanpa sebarang berita dan setahu saya dia tidak lagi berada di Selangor. Apabila saya hubungi ibu mentua, mereka tidak mahu bekerjasama dan memberitahu secara kasar bahawa suami saya tidak balik ke kampung. Saya tidak pernah bercerai sebelum ini dan sampai sekarang masih lagi menjadi isterinya. Saya sudah tidak dapat bersabar lagi atas apa yang dilakukan suami terhadap saya. Sudahlah ditinggalkan tanpa berita, suami juga tidak pernah mengirim wang untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Saya ingin memohon cerai taklik, malangnya tidak tahu di mana alamat suami tinggal sekarang. Saya sudah memfailkan kes tetapi baru-baru ini kes saya ditangguhkan kerana saman tidak dapat disampaikan oleh Mahkamah Syariah kepada suami. Saya tidak suka kes ditangguhkan begini, di mana keadilan untuk saya sebagai isteri yang teraniaya. Apa yang perlu saya lakukan.
ISTERI TERANIAYA
Selangor
Saya mendoakan puan sabar dalam menghadapi ujian dan jangan berputus asa untuk berusaha mencapai hak puan. Secara umumnya, semua perjalanan di mahkamah atau dipanggil tatacara di mahkamah perlu mengikut cara dan kaedah ditetapkan.
Apabila kita memulakan sesuatu kes di mahkamah seperti kes mendapatkan cerai taklik, ia mesti dimulakan dengan saman dan penyata tuntutan. Dalam penyata tuntutan itu diletakkan latar belakang pasangan, fakta kes, berapa tahun ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya.
Pada asasnya setiap saman dan penyata tuntutan perlu diserahkan kepada defendan bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.
Tidak boleh kita beranggapan apabila isteri ke mahkamah, maka sudah semestinya suami bersalah dan hakim mesti memutuskan segera walaupun belum mendengar keterangan suami. Oleh itu, saman dan penyata tuntutan perlu sampai dulu ke tangan suami sebagai defendan sebelum kes diteruskan. Prinsip umum ini terpakai kepada semua kes yang dibawa ke mahkamah melainkan kes tertentu.
Saman itu mesti disampaikan kepada defendan dalam beberapa cara. Pertama, penyampaian saman dan penyata tuntutan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermaterai kepada suami atau defendan dan diperiksa olehnya. Oleh itu, alamat lengkap defendan perlu diketahui dengan tepat supaya saman berjaya diserahkan dengan baik.
Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan.
Saman juga perlu disampaikan atau diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh pengeluarannya. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu kepada suami dalam tempoh dinyatakan.
Jika tidak berjaya diserahkan dan tempoh itu, maka puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh kesahan saman itu.
Keadaan menjadi rumit apabila defendan tidak diketahui di mana tempat tinggalnya atau tiada alamat yang pasti di mana defendan berada. Untuk pengetahuan puan, bilangan kes suami meninggalkan isteri dan tidak diketahui di mana alamat berada seperti ini bukan sedikit.
Dalam keadaan ini, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti.
Jika mahkamah berpuas hati atas apa-apa alasan yang mencukupi kenapa saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri, mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara lain.
Antaranya, dengan cara menampalkan suatu salinan pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat terakhir defendan atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah.
Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan seperti difikirkan patut oleh mahkamah.
Bagi penyampaian ganti ini, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian ke diri. Undang-undang akan menganggap seolah-olah defendan sudah menerima saman itu secara ke diri.
Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah hendaklah menyifatkan saman sudah disampaikan kepada defendan.
Setelah penampalan dan pengiklanan dibuat, puan hendaklah memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan bahawa penyampaian ganti itu sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah.
Jika suami tinggal di luar Selangor, puan perlu memohon perintah penyampaian di luar bidang kuasa.
Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, maka kes puan tidak perlu ditangguhkan lagi. Puan boleh memohon kes dibicarakan.
Perkara membabitkan praktikal seperti bagaimana tatacara dan kaedah yang menepati undang-undang selalunya memerlukan peguam untuk membuatnya. Jika puan dapat memahami dengan baik, puan sendiri boleh melakukan tanpa perlu mendapatkan khidmat peguam syarie.
Pada tarikh perbicaraan, puan hendaklah memberi keterangan bagi menyokong tuntutan dengan membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui mengenai pemergian suami dan suami tidak pernah memberi nafkah. Ini penting untuk menguatkan tuntutan dan membolehkan taklik disabitkan.
Dalam keadaan tertentu, mungkin puan perlu menjalankan sumpah al-istizhar untuk membuktikan bahawa segala keterangan yang diberikan adalah benar. Dengan cara ini nilai keterangan puan akan menjadi lebih kuat lagi.
Secara ringkas, puan perlu memastikan saman diserahkan, atau memohon perintah penyampaian ganti daripada mahkamah bagi mempercepatkan penyelesaian kes. Penangguhan kes itu untuk memberi ruang puan mengikuti tatacara ditetapkan.
Ia adalah sebahagian daripada perjalanan prosiding mahkamah dan bukan bertujuan menganiaya puan atau mana-mana pihak. Oleh itu puan jangan beranggapan mahkamah tidak mempedulikan kesusahan puan. Semoga puan berjaya dalam tuntutan itu.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment