Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Pahala amal jariah, timba ilmu dan doa anak salih kekal berterusan
SETIAP makhluk bernyawa pasti akan menemui ajal dan ditentukan Allah dalam catatan Loh Mahfuz-Nya. Begitu juga manusia yang diamanahkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, tidak dapat lari daripada ketentuan itu.
Di mana dan bila-bila masa sekalipun, ajal kematian pasti akan menjemput setiap insan walaupun dia cuba bersembunyi atau melarikan diri ke dalam benteng yang tinggi.
Allah berfirman bermaksud: “Di mana kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah daripada sisi Allah. Jika pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah daripada (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) daripada sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?” (Surah al-Nisa, ayat 78)
Wajar bagi setiap Muslim untuk merenung diri, bermuhasabah dan seterusnya mempersiapkan diri dengan persediaan serta bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju ke akhirat. Persiapan awal penting bagi setiap Muslim kerana peluang kehidupan di dunia ini dikurniakan Allah bagi setiap insan hanya sekali dan tiada lagi peluang kedua atau ke sekian kalinya apabila seseorang Muslim melangkah ke alam barzakh.
Allah banyak merakamkan kisah penyesalan orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya lagi kerana mereka sudah diberi peringatan. Ciri Muslim bijaksana dan bertakwa kepada Allah ialah Muslim sentiasa bermuhasabah diri dan membuat persiapan menghadapi kematian.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian, manakala orang yang paling lemah ialah orang yang terikut pujukan hawa nafsu dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW memberikan panduan berguna kepada umatnya yang dikasihi melalui sabda baginda bermaksud: “Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah pahala segala amalannya melainkan pahala tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang salih kepada kedua-dua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Tiga amalan utama yang seharusnya dilakukan setiap Muslim ketika hayatnya di dunia sebagai bekalan amal yang bakal dibawa menuju ke alam baqa ialah sedekah jariah atau mendermakan seluruh atau sebahagian hartanya pada jalan Allah.
Islam mendidik umatnya supaya menghiasi diri dengan sifat dermawan dan pemurah kepada sesama manusia terutama kepada fakir miskin dan orang kurang bernasib baik. Allah sendiri bersifat Maha Pemurah lagi Maha Dermawan.
Firman Allah bermaksud: “Belanjakan (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan agama Allah) dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil). Baiki (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta melalui jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malah turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, wakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat serta sumbangan kebajikan untuk kepentingan umum.
Dalam hal ini, Allah berfirman bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah) apa juga yang kamu buat daripada jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah al-Baqarah, ayat 215)
Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi kerana Islam adalah al-Din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah mengangkat darjat orang berilmu berbanding tidak berilmu.
Hanya dengan ilmu seseorang Muslim dapat memantapkan iman kepada Allah, mempertingkatkan amal kepada-Nya dan dapat mengikhlaskan niat hanya kepada Allah.
Rasulullah pernah menyentuh kelebihan ilmu melalui sabdanya bermaksud: “Tuntutlah ilmu kerana amalan menuntut ilmu akan menghampiri dirimu kepada Allah, mengajarkan ilmu kepada orang lain satu amalan sedekah. Sesungguhnya ilmu itu akan mengangkat seseorang ke darjat kemuliaan dan kebijaksanaan. Ilmu itu juga akan menjadi perhiasan indah orang berilmu di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat al-Rabie)
Amalan ketiga yang pahalanya berterusan ialah doa seorang anak yang salih kepada kedua-dua ibu bapanya yang sudah meninggal dunia. Alangkah beruntungnya orang tua yang mampu mendidik anak sehingga menjadi anak salih dan taat kepada Allah.
Pada masa sama, anak juga diasuh menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah antara ciri anak salih yang diasuh dengan asuhan spiritual dan material yang doanya nanti amat bernilai kepada kedua-dua orang tuanya.
Dalam erti kata lain, anak salih harta pelaburan jangka panjang yang berharga kepada kedua-dua orang tua. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mengajar anaknya supaya selalu berdoa.
Apabila rahmat doa itu sampai kepadanya, alangkah suka dan gembiranya serta dirasai rahmat itu lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya, pahala amalan doa daripada orang yang masih hidup di dunia akan sampai kepada orang mati menurut pendapat jumhur ulama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment