Wednesday, February 20, 2008

Petua suntik semangat pembaca capai kejayaan

Judul: Menuju Kejayaan

Penulis: Abdul Rahman Husin, Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Penerbit: Must Read Sdn Bhd

Pengulas: Hasliza Hassan

Harga: RM21.90

MENCAPAI kejayaan menjadi impian semua kerana kejayaan ibarat kayu pengukur kepada pencapaian terbaik atau jatuh bangunnya seseorang itu dalam bidang diceburi terutama pada mata mereka yang menjadi pesaing.

Sebenarnya, kejayaan membawa pengertian sukar difahami kerana kejayaan bagi seseorang itu mungkin berbeza dengan seseorang yang lain. Namun, kebanyakan kita menerima kejayaan apabila sampai ke destinasi atau mencapai apa diharapkan.

Untuk mencapai kejayaan, apa saja sanggup dilakukan dan mungkin bagi mereka yang sedang memasang angan-angan atau membuat pelan tindakan ke arah mencapai kejayaan, buku Menuju Kejayaan boleh menjadi panduan.

Buku itu terbahagi kepada enam bab yang membincangkan cara untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang diceburi iaitu Misteri Kejayaan, Persiapan Menuju Kejayaan, Usaha-usaha untuk Berjaya, Kegagalan Adalah Jalan Menuju Kejayaan, Pemangkin Kejayaan dan Penutup.

Menuju Kejayaan turut mengetengahkan pendapat pakar mengenai sifat positif yang perlu ada untuk menuju kejayaan disulami teknik penceritaan serta pengalaman mereka yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing sebagai penyuntik semangat kepada pembaca.

Dimulakan dengan perbahasan mengenai definisi kejayaan, pembaca diajak menilai semula sebab musabab mereka ingin mencapai kejayaan selain saranan supaya mengenal pasti apakah halangan bakal ditempuhi untuk berjaya.

Buku setebal 150 muka surat itu memberitahu apa yang perlu disediakan sebagai persiapan menuju kejayaan kerana ada antara kita berangan-angan untuk berjaya dalam hidup, tetapi malangnya tidak tahu apa yang perlu dibuat untuk mencapai hasrat itu.

Contohnya, memberi tumpuan mempertingkatkan potensi diri melalui empat prinsip yang boleh memandu ke arah kejayaan iaitu beri tumpuan kepada satu matlamat, melakukan penambahbaikan berterusan, lupakan perkara lalu dan fokus pada masa depan.

Malah, keempat-empat prinsip dijelaskan secara terperinci bagi memberi fahaman lebih mendalam kepada pembaca dalam memandu mereka ke landasan yang betul.

Umpama kata yang sering didengar, jika hendak jadi baik kawan dengan orang baik, hendak jadi pandai kawan dengan orang pandai, maka jika hendak berjaya berkenalan dengan mereka yang sudah mencapai kejayaan.

Buku Menuju Kejayaan memaparkan usaha untuk berjaya melalui pengalaman tokoh antaranya usahawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary yang dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini mengenai rahsia kejayaan beliau.

Pada masa sama, turut diketengahkan pelbagai lagi tips kejayaan oleh ramai tokoh lagi antaranya ahli psikologi Amerika, William James, juga anak tempatan seperti rakyat Malaysia pertama membentangkan kertas kerja di Parlimen Britain, Najmil Faiz Mohamad.

Jalan mencapai kejayaan perlu ada garis permulaannya dan buku Menuju Kejayaan boleh dijadikan titik tolak ke arah membina keyakinan selain mempersiapkan diri meraih kejayaan mengikut panduan serta tips diberikan.

Tidak dinafikan bukan semua yang dilakukan mereka sudah berjaya dapat dilakukan kita, tetapi dalam banyak-banyak tips diberikan itu, mungkin ada yang sesuai melihat kepada kemampuan diri serta matlamat ingin dicapai.

Mungkin pada saat ini kita belum mampu berada pada tahap mereka yang sudah berjaya, tetapi dengan membaca buku ini sekurang-kurangnya kita sudah termasuk dalam golongan yang bercita-cita mencapai kejayaan dalam hidup.

No comments: