KESEJAHTERAAN, kekayaan serta kenikmatan yang dikecapi masyarakat Islam pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah kejayaan pentadbiran yang gemilang. Untuk menggambarkan tahap kesejahteraan dan kekayaan rakyat itu, cukuplah dipaparkan ucapan Gabenor Basrah dalam laporannya kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz, “Orang ramai kini sudah memperoleh harta yang banyak. Mereka kini menjadi kaya-raya sehingga saya khuatir mereka akan bersikap sombong dan angkuh.”
Umar bin Abdul Aziz menjawab, “Sesungguhnya ketika Allah memasukkan ahli syurga ke dalam syurga dan ahli neraka ke dalam neraka, ahli syurga sangat girang sehingga berkata, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memenuhi janjinya kepada kami.” Maka engkau perintahkanlah kepada mereka untuk mengucapkan Alhamdulillah.”
Sebelum zaman Umar bin Abdul Aziz sebahagian besar kawasan Islam juga turut berasakan keadilan dan keindahan Islam, terutama pada zaman pemerintahan Umar al-khattab yang banyak kejayaan dicapai.
Muaz bin Jabal adalah sahabat yang pernah diutus Rasulullah SAW untuk mengutip zakat penduduk Yaman. Tugas beliau sebagai pengutip zakat di Yaman dikekalkan khalifah Abu Bakar dan Umar bin al-Khatab.
Pada zaman Umar bin al-Khattab beliau tidak menemukan seorang miskin pun untuk dibahagikan kepada mereka hasil zakat. Akhirnya ia terpaksa menghantar hasil kutipan zakat itu ke ibu negara Islam di Madinah.
Inilah cerita yang sering kita temukan pada kitab klasik, tetapi jarang dihiraukan. Sistem Islam yang diamalkan pemerintahan Umar bin al-Khattab menunjukkan hasilnya berupa kekayaan dan kesejahteraan penduduk dalam beberapa tahun saja. Dunia tidak pernah menyaksikan perkara seumpama itu.
Seperti dunia juga tidak pernah menyaksikan seorang pemimpin melarang pegawainya mengirim hasil kutipan kepadanya. Umar berkata kepada Muaz beliau tidak mengutuskannya untuk mengutip cukai atau jizyah seperti biasa dilakukan penguasa dan raja yang zalim.
Sebaliknya beliau mengutusnya bagi mengutip zakat daripada kalangan berada untuk dibahagikan kepada kalangan miskin pada kawasan yang sama. Untunglah Muaz bin Jabal berjaya memuaskan hati Umar bin al-Khattab dengan alasan yang kuat, iaitu ketiadaan orang miskin di kawasan itu.
Muaz bin Jabal sendiri mengetahui zakat itu dikutip daripada orang kaya dan dibahagikan kepada kalangan miskin di kawasan yang sama. Bahkan itulah yang disabdakan Rasulullah SAW kepadanya. Tetapi jika penduduk satu kawasan tidak memerlukan hasil zakat yang dikutip, maka harta itu boleh disalurkan untuk membantu kawasan lain yang memerlukan.
Berdasarkan contoh, kita mengetahui kesilapan teori mengatakan kemiskinan adalah satu penyakit yang tidak ada ubatnya atau bencana yang tidak boleh dihindari. Kita juga mengetahui kesilapan orang yang menyangka sebab utama Islam mewajibkan zakat ialah kerana kewujudan kaum fakir miskin dalam masyarakatnya.
Kemiskinan bukan satu kemestian yang tidak boleh dihindari dalam masyarakat Muslim. Sebaliknya ia hanyalah satu fenomena yang berubah. Ia boleh berlaku terhadap masyarakat Muslim atau masyarakat lain.
Oleh itu, perlu diambil langkah serius menentang serangan kemiskinan menerusi penguatkuasaan undang-undang dan peraturan. Dengan melaksanakan sistem Islam secara menyeluruh, tidak mustahil kemiskinan boleh dihapuskan dan kehidupan manusia akan dipenuhi dengan kesejahteraan, kemakmuran dan ketenteraman.
Kurnia Allah dan rezekinya akan datang dari segala penjuru, sehingga keluhan mengenai kemiskinan, kelaparan dan ketakutan tidak pernah terdengar lagi. Pada masa itulah manusia boleh menghirup udara kebebasan dan keadilan Islam.
Jika kemakmuran dan kesejahteraan sudah merata seperti digambarkan, hasil zakat boleh disalurkan kepada tujuan lain, seperti mengagihkannya kepada mualaf, hamba sahaya yang sedang berusaha memerdekakan diri, orang dibebani hutang, berjuang di jalan Allah serta musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan.
Pendekatan ini sekali gus menolak pandangan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan usaha memerangi kemiskinan, malah memutarbelitkan fakta berhubung punca dan kaedah memeranginya, lantas membuat kesimpulan mudah bahawa kemiskinan tidak boleh dihapuskan.
Lebih menyedihkan, sikap tegar sesetengah pihak yang menerima bulat-bulat konsep kemiskinan sebagai takdir atau ketentuan Ilahi memburukkan lagi isu kemiskinan. Ternyata seruan merebut akhirat sering kali disalah tafsir, kejumudan mengenai faham materialisme dan keduniaan dikaitkan pula dengan sikap takbur dan lupa kepada tuhan.
Sedangkan, Allah dan Rasul menyeru kita mendapat kebaikan di dunia dan akhirat kerana sesungguhnya dunia adalah jambatan ke akhirat, tanpa dunia kita tidak akan sampai ke akhirat dan tanpa akhirat kita akan menjadi makhluk tanpa destinasi. Konsep keseimbangan inilah yang patut difikirkan.
Akhirnya, analogi si miskin sombong yang terlepas habuannya di dunia dan terlepas pula ganjaran akhirat adalah simpulan terbaik bagi menggambarkan kepentingan kedua-dua destinasi itu penting dan saling melengkapi, tanpa dunia kita dihina dan tanpa akhirat kita terlepas segala-galanya.
Wednesday, February 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment