Wednesday, February 6, 2008

Iqra: Tiga karya Aa Gym bimbing insan jadi muslim unggul

Judul: Jadi Seperti Muhammad; Ingat Tuhan Sampai Mati; Menjadi Muslim Terbaik
Penulis: Aa Gym
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM10 (setiap buku)

INGAT Tuhan Sampai Mati karya penulis Indonesia, Aa Gym menyajikan topik kritikal berkaitan kematian. Melalui buku ini, kepentingan hidayah bagi seorang Muslim dibicarakan secara ringan dan santai. Topik penting seperti taubat, taat dan tawakal dibahaskan untuk menjelaskan kepentingan mendekatkan diri kepada Allah.

Bahagian kedua buku itu dengan tajuk Merintis Jalan Menuju Allah mengajak pembaca mengenal Allah dan membimbing mereka dengan kaedah terbaik untuk mengenal Allah seperti memohon kepada-Nya, tidak sombong, gemar menuntut ilmu seterusnya mengamalkan ilmu dipelajari.

Ada kalanya, kita ingin sekali dekat kepada Allah, tetapi tidak tahu bagaimana caranya, buku ini menjelaskan mewujudkan perasaan dekat kepada Allah melalui perbuatan taubat serta meningkatkan perasaan taat kepada Allah.

Segala amalan yang kita lakukan di dunia ini akhirnya akan membawa kita kepada saat penentuan di mana maut menjengah. Persoalan akhir yang pastinya terlintas pada saat itu, adakah kita sudah bersedia menghadap-Nya.

Tepuk dada tanya selera dan jika belum, buku Ingat Tuhan Sampai Mati boleh dijadikan panduan dalam kita mempersiapkan diri menghadapi saat maut datang menjelma. Jika banyak yang sudah kita tinggalkan, inilah masanya untuk kita mengutip kembali dan memantapkan lagi amalan persediaan menuju ke saat penentuan.

Buku Aa Gym yang dipersembahkan dengan bahasa mudah, dan yang lebih penting dalam saiz kecil memberi nilai tambah kepada ilmu yang termuat di dalamnya. Tiga buku saiz kecil Aa Gym yang diterbitkan banyak kelebihan terutama dari aspek mudah di bawa ke mana saja.

Selain itu, topik dibahaskan agak ringkas untuk memudah pembaca mendapat inti pati yang ingin disampaikan. Dua lagi buku bakal menarik perhatian pembaca ialah Jadi Seperti Muhammad dan Menjadi Muslim Terbaik.

Buku Jadi Seperti Muhammad memberi perincian keunggulan peribadi Rasulullah SAW supaya kita dapat meneladani peribadi Baginda seterusnya menjadikan bahan ilmiah ini sebagai jambatan untuk menjadi seperti Muhammad SAW.

Menelusuri fasa kehidupan rasul utusan Allah itu, Baginda terkenal dengan budi pekerti yang baik dan kerana akhlak serta budi pekerti baik itu membolehkan beliau mendapat gelaran kehormat daripada kaumnya iaitu Al-Amin, orang yang jujur dan dipercayai.

Menjadi Muslim Terbaik pula menawarkan segala aspek diperlukan setiap individu yang ingin mencapai status muslim terbaik. Ia bermula dengan apresiasi kepada iman dikecapi, diikuti penterjemahan diri selaku muslim dalam setiap agenda kehidupan.

Buku itu dibahagikan kepada tiga bahagian, dimulakan dengan tajuk Bersyukurlah Kita sebagai Muslim, Tunjukkan Kemuslimanmu dan Agenda Hidup Muslim. Setiap topik dilengkapkan dengan renungan untuk pembaca berfikir dan memanfaatkan ilmu disampaikan.

No comments: