Friday, February 22, 2008

Pilihan raya selaras amalan syura

Oleh Ghafani Awang Teh

KEBEBASAN: Pilihan raya adalah cara terbaik untuk memilih kerajaan sesebuah negara.

Proses demokrasi langkah selari ajaran Islam memilih pemimpin layak

BUKAN mudah untuk menjadi pemimpin politik dan membela hak kepentingan rakyat jelata. Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto mati dibunuh pada 27 Disember 2007 dalam usahanya untuk memimpin semula Pakistan.

Dalam perkembangan semasa, Kenya di benua Afrika pula menjadi huru-hara kerana proses pilihan raya dikatakan ada penipuan. Di Palestin, kita lihat walaupun Parti Hamas memenangi pilihan raya bebas tetapi kemenangan itu tidak diiktiraf Barat kerana dikatakan bercanggah dengan dasar demokrasi Barat.

Pada dasarnya, proses demokrasi adalah langkah selari dengan ajaran Islam. Proses pengundian dalam pilihan raya untuk memilih pemimpin dianggap sebagai penyaksian memilih pemimpin yang layak memerintah negara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah kesaksian daripada dua orang yang adil di antara kamu." (Surah al-Talaq, ayat 2)

Pemilihan Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara Islam Madinah pada masa itu tidak ditentukan oleh pilihan raya tetapi dilantik secara mutlak oleh Allah SWT selari dengan pemilihan Baginda sebagai Rasul Allah SWT.

Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah mengutus Nabi Muhamad SAW sebagai Rasul Allah bertujuan membawa rahmat kepada makhluk sejagat." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Proses pilihan raya bermula selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 632 Masihi. Menurut pendapat mazhab empat, Nabi Muhammad SAW tidak menentukan penggantinya. Baginda menyerahkan urusan penggantinya kepada umat Islam pada masa itu.

Menurut sirah Ibnu Ishak, pemimpin Kaum Ansar dan Muhajirin berkumpul dan mengadakan Majlis Syura di Dewan Saqifah Bani Saidah untuk mencari pemimpin yang layak menggantikan Rasulullah SAW.

Dua pemimpin Ansar dicalonkan iaitu Said bin Ubadah dan Abu Ubaidah al-Jarrah. Kumpulan Muhajirin juga mencalonkan dua wakil iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Menurut Ibnu Ishak pada peringkat awal berlaku ketegangan antara golongan Ansar dan Muhajirin dalam proses pemilihan pengganti itu.

Bagaimanapun dengan kebijaksanaan dan semangat keislaman yang tinggi maka Majlis Syura bersetuju memilih Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah pertama. Kumpulan Ansar dan Muhajirin berikrar mematuhi (berbaiah) kepimpinan Khalifah Abu Bakar.

Dalam ucapan dasar sebagai Khalifah, Saidina Abu Bakar antara lain menyatakan: "Wahai manusia, aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak daripada kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, maka perbetullah aku."

Ketika menjelang saat wafatnya, Saidina Abu Bakar menunjukkan Saidina Umar al-Khattab sebagai penggantinya. Pilihan itu dipersetujui sahabat.

Khalifah Umar ketika menyampaikan ucapan dasarnya sempena pemilihannya menyatakan: "Wahai manusia, sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku." Kemudian seorang makmum berkata, "Demi Allah SWT jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkan dengan mata pedang kami!" Umar menjawab: "Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, terdapat mereka yang akan memperbetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedang."

Demikian juga ketika menjelang kewafatannya, Saidina Umar membentuk satu pasukan seramai enam orang sahabat besar untuk memilih salah seorang di kalangan pasukan itu menggantikannya. Saidina Uthman terpilih. Demikian juga pelantikan Saidina Ali ditunjukkan oleh Saidina Uthman dan dipersetujui oleh sahabat besar yang lain.

Berdasarkan analisis pemilihan pemimpin di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin, ternyata caranya berlainan. Nabi Muhammad SAW tidak menentukan pengganti tetapi menyerahkan kepada amalan syura.

Begitu juga dengan amalan Khulafa' al-Rasyidin walaupun ditentukan pengganti tetapi diluluskan secara syura. Antara ciri penting kepimpinan Rasulullah SAW dan sahabatnya ialah kepimpinan melalui teladan dalam pematuhan perintah Allah dan beramanah.

Persoalan besar timbul ialah mengapa syura penting dalam pemilihan pemimpin. Syura secara mudahnya bermaksud bermesyuarat. Pada dasarnya syura adalah sebahagian proses demokrasi. Sebagai perbandingan kita boleh qiaskan dalam kepimpinan sembahyang.

Islam sendiri mengajarkan bahawa seseorang yang tidak disukai orang ramai tidak boleh menjadi iman dalam solat. Ketika mengulas perkara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga jenis manusia yang tidak akan diangkat pahala solat mereka sejengkal pun daripada kepala mereka. Salah satu antaranya ialah seorang imam yang memimpin kaumnya (dalam solat) sedangkan mereka (pengikut) tidak suka terhadapnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Pengajaran besar daripada hadis ini ialah pemilihan pemimpin secara syura dapat mengelakkan pemimpin yang tidak disukai rakyat. Dengan demikian, pemilihan pemimpin yang dibuat secara individu, melalui pertemuan rahsia empat mata, dibeli undi, tidak adil dan pemilihan secara 'Pak Turut' akan melahirkan pemimpin yang tidak disukai rakyat terbanyak.

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments: