Tuesday, February 26, 2008

Perspektif Ikim: Kepemimpinan berasas wawasan murni

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Kejayaan Khalifah Umar bentuk dasar pengawasan pentadbiran wajar dicontohi

ANTARA ciri yang menjadi asas kejayaan sesebuah kepemimpinan ialah kegigihan mencapai matlamat atau natijah perjuangan. Inilah contoh ditunjukkan Khalifah Umar ibn al-Khattab yang berjaya memimpin Madinah berasaskan matlamat yang suci.

Dalam ucapannya, beliau berkata, "Perumpamaan bangsa Arab adalah seperti unta yang kesakitan hidung. Ia akan mengikut arahan gembalanya. Oleh itu, gembalanya harus berhati-hati, ke arah mana ia patut dipandu. Bagiku, demi Tuhan kepada Kaabah ini, akan kupimpin mereka ke jalan yang benar."

Riwayat lain menyebut bahawa beliau menegaskan, "Ya Allah, aku ini kasar, jadikanlah aku lemah-lembut; aku ini lemah, kurnialah daku kekuatan. Bangsa Arab ini ibarat unta yang tiada pedoman dan tali kekangnya berada di tanganku. Saksikanlah bahawa aku akan memastikannya berada pada landasan yang benar."

Dengan matlamat membawa masyarakat pimpinannya menuju kebenaran, Khalifah Umar mengambil langkah membentuk dasar yang jelas disasarkan bagi mencapai matlamat itu. Lihat saja dasar penting seperti musyawarah (perundingan), pelantikan pegawai kerajaan berasaskan kelayakan dan kepakaran, pengawasan menyeluruh (al-riqabah) yang membabitkan pengawasan pentadbiran dan pengawasan rakyat dan amalan hisbah (menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Menyentuh dasar pengawasan pentadbiran, Khalifah Umar menetapkan pengawasan dan pemantauan terhadap pegawai kerajaan oleh semua pihak. Antara langkah yang diambil bagi menjayakan dasar itu ialah memastikan semua gabenor wilayah dan pegawai kanan kerajaan berada di Makkah pada musim haji, ketika semua penduduk dari seluruh pelosok dunia Islam berkumpul.

Dalam perhimpunan umum diadakan, Khalifah Umar memberi peluang kepada individu atau rakyat yang mahu mengemukakan aduan atau ketidakpuasan hati terhadap pegawai kerajaan secara langsung di hadapan khalifah dengan kehadiran pegawai berkenaan.

Malah, aduan kecil juga dibuat oleh rakyat dalam perhimpunan itu. Selain itu, bagi menjayakan dasar pengawasan pentadbiran negara, pegawai kerajaan diwajibkan membentangkan penyata harta milik mereka ketika mula bertugas, sedang bertugas dan selepas tamat perkhidmatan.

Contohnya, Gabenor Bahrain pernah dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan bukti yang sah bagi sumber pendapatan dan kuda berbaka baik yang dimiliki ketika bertugas di negeri berkenaan.

Langkah lain yang dilaksanakan Khalifah Umar bagi melaksanakan dasar pengawasan ialah beliau dan pembantunya menyusun kegiatan rondaan di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat secara langsung dan jelas mengenai kehidupan rakyat.

Kisah bagaimana Khalifah Umar menyelesaikan dengan sempurna permasalahan dihadapi rakyat seperti kemiskinan begitu masyhur dan ia jelas menggambarkan keadilan dan rasa tanggungjawab yang tinggi sebagai pemimpin.

Bagi dasar pengawasan rakyat pula, setiap rakyat diberikan peluang mengawasi pentadbiran dalam semua segi termasuk sistem pentadbiran khalifah sendiri. Ini memberikan peluang kepada pemimpin dan gabenor menerima teguran dan mengakui kesilapan, jika sememangnya kesilapan itu benar-benar dilakukan.

Di samping itu, pemimpin dan gabenor juga berpeluang meyakinkan orang ramai mengenai kebenaran diri serta tindakan mereka, jika mereka sememangnya berada di pihak yang benar.

Melalui dasar telus dan terbuka ini, ternyata Khalifah Umar mendidik setiap pegawai kerajaannya supaya sentiasa beriltizam tinggi melaksanakan amanah yang diserahkan dengan penuh rasa tanggungjawab, bukan untuk mencapai tujuan atau kepentingan tertentu.

Pemantauan menyeluruh terhadap pencapaian dan kesungguhan melaksanakan tugas juga mendorong mereka untuk sentiasa berhati-hati. Bagi rakyat yang diberi peluang terbabit secara langsung dalam pemantauan urusan pentadbiran negara, mereka dibimbing mencontohi nilai mulia yang dipamerkan pemimpin, terutama khalifah sendiri seperti benar, amanah, bertanggungjawab, adil serta saksama.

Menelusuri zaman pemerintahan Khalifah Umar, ternyata beliau sudah mencatat kejayaan begitu besar walaupun tempoh pemerintahannya agak singkat, iaitu kira-kira 10 tahun. Antaranya termasuklah mengasaskan Baitulmal, mahkamah dan pelantikan hakim (qadi), pembentukan beberapa jabatan penting seperti jabatan perang dan ketenteraan (Diwan al-Jund), Diwan al-Kharaj, jabatan jenayah dan polis.

Pencapaian lain ialah pembinaan terusan, pewujudan cukai terhadap hasil laut dan perlantikan pegawai pemungut cukai bagi hasil berkenaan, pembinaan rumah tumpangan untuk jemaah haji di antara Makkah dan Madinah, penubuhan kota penting seperti Basrah dan Kufah.

Selain itu, pada zamannya juga wilayah penguasaan tamadun Islam diperluas lagi. Beliau berjaya menakluk Mesopotamia dan sebahagian Parsi serta Mesir, Palestin, Sham, Afrika Utara dan Armenia.

Jika diteliti dengan mendalam, setiap ciri kehidupan diberikan perhatian tinggi oleh Khalifah Umar seperti ibadat, siasah, pentadbiran negara, muamalat dan kewangan, undang-undang dan keadilan serta pendidikan keilmuan.

Dalam bidang keilmuan, Khalifah Umar memberi dorongan terhadap usaha menuntut ilmu dan menjadikan Madinah sebagai kota atau pusat pengeluaran fatwa serta ilmu fiqh.

Sesungguhnya Khalifah Umar menjadi lambang pemimpin agung yang memiliki makna diri yang tinggi. Berasaskan ketakwaan, beliau berupaya mengenali dirinya dan mengetahui dengan jelas makna serta arah tujuan hidupnya.

Maka, beliau memiliki keupayaan membimbing rakyat pimpinannya menuju matlamat, jalan yang benar dan diredai Allah. Kisah perjuangan dan kepemimpinan Umar juga memberi isyarat penting bahawa bukan pemimpin saja yang menggalas tanggungjawab dan amanah berat, malah rakyat juga memiliki tanggungjawab yang sama.

Ini kerana, di tangan merekalah letaknya kuasa memilih pemimpin. Jika yang menjadi pilihan ialah pemimpin yang benar, bertanggungjawab dan bertekad mahu memimpin mereka kepada kebenaran seperti ditegaskan Khalifah Umar, maka mereka akan dibimbing dan dipimpin ke arah kebenaran.

Jika yang sebaliknya dipilih oleh mereka, maka kesan dan mudarat yang akan ditanggung mereka. Benarlah kata-kata Khalifah Umar bahawa kekuasaan adalah suatu bentuk ujian, sama ada bagi pemimpin, mahupun rakyat dipimpin, "Tuan-tuan sekalian, aku ini hanyalah salah seorang daripada kamu. Jika tidak disebabkan cadangan Khalifah Rasulullah yang lalu, yang tidak sepatutnya ditolak, maka aku tidak akan menerima jawatan ini. Sesungguhnya Allah menguji kamu dengan pelantikanku, seperti Dia mengujiku dengan memimpin kamu."

Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

No comments: