Friday, February 15, 2008

Bicara Kalbu: Harus sertai perayaan kaum tidak bersifat agama

SAYA sangat seronok setiap kali menjelang hari perayaan sepanjang tahun contohnya cuti Tahun Baru Cina kerana dapat berehat dan berekreasi. Namun, kadangkala terlintas di fikiran apakah sikap yang sepatutnya saya pegang dan pendirian patut ditegakkan terhadap isu merayakan hari raya, keramaian dan upacara dalam masyarakat berbilang kaum serta agama yang unik di Malaysia ini? Mohon penjelasan.

Ahmad Millenium
Bangsar, Kuala Lumpur

Soalan saudara relevan dengan permasalahan kontemporari yang perlu kita kaji bersama terutama mengenai konsep kongsi raya. Permasalahan itu perlu dihurai dengan pemahaman yang betul untuk mengelakkan salah faham generasi baru.

Berterusan menghadiri perayaan seperti ini (tanpa mengetahui hujah di sebalik hukum boleh dan tidak boleh) berkemungkinan besar membina satu tanggapan salah di kalangan generasi Islam yang mendatang.

Masalah atau isu yang timbul sekarang ialah apakah perayaan di Malaysia perayaan bersifat keagamaan atau hanya perayaan bersifat tradisi dan adat resam. Ada perbezaan jelas antara kedua jenis perayaan itu dan cara kita menanganinya juga berbeza.

Apabila datuk nenek dan ibu bapa mereka hadir dalam perayaan keagamaan, anak cucu dan kawan akan beranggapan perayaan agama lain itu sama saja dengan perayaan Islam. Lebih parah, mereka mungkin beranggapan agama yang dirayakan perayaan itu juga adalah agama yang boleh dianuti, sama dengan agama Islam.

Sedangkan hakikatnya ia adalah berbeza. Perayaan Islam berpaksikan akidah, syariat yang sah dan agama yang benar, sedangkan perayaan agama lain berpaksikan kepada kepercayaan batil.

Oleh itu, turut hadir dalam perayaan jenis itu adalah ditegah berdasarkan kaedah sad al-zari'ah, menutup ruang yang boleh mendatangkan keburukan. Atau dengan kata lain, sebagai langkah berjaga-jaga.

Hubungan dan sikap orang Islam terhadap semua agama dan perayaan bukan Islam dalam masyarakat ialah seperti berikut:

Hubungan yang memberikan kepada penganut agama lain kebebasan melaksanakan ajaran agama mereka selagi ia tidak membawa fitnah dan menggugat akidah penganut agama Islam

Hubungan yang didasarkan kepada usaha dakwah mengajak mereka menganut agama Islam atau paling kurang mereka faham bahawa Islam tidak akan merugi, menindas atau menzalimi mereka. Dakwah ini mestilah dilakukan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, bukan dengan paksaan.

Hubungan lain ialah melaksanakan perintah syarak supaya menghapuskan kemungkaran.

Kemungkaran paling besar di bumi ialah kufur kepada Allah. Penganut agama, selain Islam di dunia adalah kufur kepada Allah atau paling kurang tidak menerima kerasulan Muhammad SAW.

Justeru, sikap dan pendirian orang Islam terhadap perayaan agama lain di Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa antara warga Islam mestilah sama dengan sikap Islam terhadap semua agama yang bukan agama Islam.

Bersabit isu orang bukan Islam merayakan perayaan orang Islam, sama ada sambutan Aidilfitri, Aidiladha atau lainnya, ia adalah diharuskan dalam erti kata mereka bukan melakukan solat hari raya itu.

Jika mereka melakukan solat, ia tidak sah. Namun jika mereka turut serta mendengar khutbah kedua-dua hari raya itu maka ia adalah harus. Tiada tegahan syarak orang bukan Islam mendengar ajaran Islam, termasuk khutbah yang sarat dengan ajaran Islam, digalakkan mendengarnya.

Bersabit dengan orang Islam merayakan perayaan orang bukan Islam, dua keadaan berikut mesti diambil perhatian berat.

Pertama, jika perayaan itu hanya bersifat adat tradisi sesuatu kaum, tidak bersifat dan bercirikan agama, dalam majlis atau perayaan itu tidak ada upacara keagamaan, perayaan itu boleh disertai orang Islam.

Perayaan seperti itu tidak ada kaitan dengan unsur akidah dan doktrin agama yang berkemungkinan membawa fitnah atau subahat kepada akidah dan pegangan agama penganut Islam. Baik mereka yang menghadirinya atau orang lain yang melihat mereka menghadirinya.

Kedua, jika perayaan itu berpunca daripada ajaran atau pegangan agama, mengandungi unsur keagamaan, ada upacara keagamaan maka penganut agama Islam tidak dibolehkan serta dilarang turut serta meraikannya.

Tegahan berdasarkan kepada keadaan di mana perayaan mengandungi upacara keagamaan yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam seperti pemujaan terhadap tuhan atau dewa. Kehadiran orang bukan Islam boleh mendatangkan fitnah.

Dalam Islam sesuatu yang memudaratkan mestilah dihapuskan, syubhat juga mesti dijauhi seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak boleh (berlaku) sebarang mudarat dan tidak boleh (berlaku) yang memudaratkan."

FAKTA

Hubungan dan sikap orang Islam terhadap semua agama dan perayaan

Hubungan yang memberikan kepada penganut agama lain kebebasan melaksanakan ajaran agama mereka selagi ia tidak membawa fitnah dan menggugat akidah penganut agama Islam.

Hubungan yang didasarkan kepada usaha dakwah mengajak mereka menganut agama Islam atau paling kurang mereka faham bahawa Islam tidak akan merugi, menindas atau menzalimi mereka.

Hubungan lain ialah melaksanakan perintah syarak supaya menghapuskan kemungkaran. Kemungkaran paling besar di bumi ialah kufur kepada Allah.

Dua keadaan berikut mesti diambil perhatian membabitkan perayaan orang bukan Islam

Pertama, jika perayaan hanya bersifat adat tradisi sesuatu kaum, tidak bersifat dan bercirikan agama, dalam majlis atau perayaan itu tidak ada upacara keagamaan, perayaan itu boleh disertai orang Islam.

Kedua, jika perayaan itu berpunca daripada ajaran atau pegangan agama, mengandungi unsur keagamaan, ada upacara keagamaan maka penganut agama Islam tidak dibolehkan serta dilarang turut serta meraikannya.

Jawapan disediakan bekas pensyarah Universiti Malaya, Alias Othman. Persoalan boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

No comments: