Monday, February 18, 2008

Kuasa politik, kestabilan jadi cabaran terbesar

KUASA politik dan kestabilan menjadi cabaran terbesar dalam menghadapi ketamadunan masa kini kerana tanpa kehendak politik, semua perkara menjurus kepada pembinaan tamadun Islam tidak dapat dilaksanakan.

Prof Dr Abu Lubaba Al-Tahir dari Universiti Emiriah Arab Bersatu, berkata kuasa politik adalah kekuatan yang akan memastikan usaha pembinaan tamadun dapat direalisasikan dengan memperbaiki banyak perkara pada peringkat kuasa.

Katanya, banyak seminar serta perbincangan mengenai peranan kuasa politik diadakan dalam usaha mencari penyelesaian kepada cabaran pembinaan ketamadunan tetapi semua itu menjadi sia-sia apabila ia hanya tercatat di atas kertas tetapi tidak dilaksanakan dalam realiti kehidupan.

“Tamadun adalah pembangunan keseluruhan dan ia hanya dapat dilaksanakan jika kita ada kehendak politik yang kuat,” katanya pada pembentangan kertas kerja bertajuk Cabaran Ketamadunan pada sesi ketiga Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar 2008 yang membincangkan Warisan dan Sempadan Pembaharuan.

Justeru, katanya, umat Islam perlu melihat kepada realiti yang dilalui mereka seterusnya memikirkan apakah tindakan terbaik yang perlu dilakukan supaya tiada cabaran dapat menghalang umat Islam membina tamadun mereka.

Dr Abu Lubaba menggariskan perkara yang perlu diberi perhatian iaitu mengembalikan jati diri Islam yang kian pupus disebabkan dunia tanpa sempadan, mewujudkan sumber Islam tertinggi, menolak sifat taksub dan menghindari daripada pemikiran sekular.

Beliau berkata, pemikiran sekular yang menjadi cabaran paling bahaya kepada Islam sejak kurun ke-20 hingga kini ibarat barah yang terus membesar menyebabkan hilang kekuatan badan yang akhirnya menghilangkan jati diri umat Islam.

“Seperti golongan sekular Arab yang menuntut supaya dipisahkan agama daripada kehidupan, sedangkan mereka mengaku Islam tetapi sentiasa memerangi Islam untuk memenuhi hasrat mereka dengan membawa hujah yang batil,” katanya.

Katanya, cara mengatasi cabaran ketamadunan ialah kerajaan menggunakan kuasa politik yang perlu menghormati kehendak rakyat kerana kerajaan yang menghormati rakyat akan mampu berdiri bersama rakyat untuk membina tamadun.

Sementara itu, Prof Dr Abdullah Najjar dari Universiti Al-Azhar, Mesir menekankan kepada amalan ijtihad yang mana katanya, pintu ijtihad belum tertutup tetapi pembaharuan yang hendak dibuat perlu memenuhi syaratnya.

Asas kepada melakukan ijtihad seperti dicadangkan Imam Al-Maraghi katanya adalah dengan berpegang kepada al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan amalan Khalifah al-Rasyidun serta tidak membataskan hukum taklid kepada empat mazhab saja.

“Dulu mungkin susah tetapi sekarang dengan ada maklumat serta pelbagai kaedah untuk mendapatkannya, ulama boleh menguasai ilmu dengan mudah. Kita boleh membuat pembaharuan memenuhi kehendak semasa. Saya tidak setuju dengan pandangan bahawa pintu ijtihad sudah tertutup,” katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja membincangkan Pembaharuan Fiqh Menurut Imam Al-Maraghi berkata, pembaharuan boleh melihat kepada pendapat yang lemah untuk kemaslahatan ummah dan pelaksanaan hukum syarak menjadi kemestian kepada hakim.

Katanya, setiap fatwa yang dikeluarkan hendaklah direkod dan setiap mukmin adalah pemantau bagi dirinya dalam menilai perkara yang diharuskan.

Dr Abdullah turut mengemukakan syarat diletakkan Imam Al-Maraghi dalam melakukan pembaharuan iaitu mempunyai penyataan yang mantap dan telus, menggunakan kaedah konsisten, hujah yang sahih serta logik dan mengekalkan kesinambungan dengan ulama terdahulu.

Prof Dr Mohammad Kamal Imam dari Universiti Alexandria pula berkata, pembaharuan dan penghapusan dalam fiqh Islam dipelopori Imam Syafie yang menghasilkan kitab penting al-Risalah sebagai panduan kepada ulama.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Fiqh Islam Antara Pembaharuan dan Penghapusan menjelaskan pembinaan asas Islam dipisahkan oleh dua peringkat iaitu peringkat asas yang dipegang sahabat dan peringkat kedua iaitu membuat kesimpulan serta pemahaman tersirat.

“Peringkat kedua ini memperlihatkan ilmu usul fiqh bertambah meluas dalam pemahaman makna dan matlamat syarak. Mereka mengkaji kehendak syarak yang tersirat daripada nas untuk menghasilkan perincian dan kesimpulan pelbagai,” katanya.

Katanya, disebabkan itu timbul perselisihan pendapat dan berlakulah apa yang dikatakan sebagai pembaharuan dalam hukum syarak dan penghapusan hukum tidak bersesuaian peredaran zaman.

No comments: