Bersama Prof Dr Siddek Baba
KESEDERHANAAN Islam terhubung dengan prinsip akidah yang teguh. Keyakinan kepada Allah sebagai Pencipta memberikan asas dan tunjangan dalam keyakinan manusia mengenai yang nyata dengan ghaib. Keyakinan terhadap yang ghaib mendorong manusia mengkaji dirinya, alam sekitar dan alam langit.
Kesederhanaan dalam Islam bukan bermakna meninggalkan yang prinsip atau mengetepikan yang usul. Tetapi bagaimana prinsip dan usul diolah hingga menimbulkan keselesaan dan kesejahteraan kepada umat dan manusia.
Kaedah fiqah dalam memahami maqasid syariah dinamik yang sifatnya mengikut konteks mampu memberikan arah kesederhanaan.
Kesederhanaan dalam konteks pertengahan menjadikan Islam dan umatnya sebagai pengimbang. Cerminan peribadi contoh yang boleh menjadi sumber ikutan orang lain. Pancaran ketinggian ilmu dan tamadun sehingga orang lain tertarik dengannya.
Inilah asas kehebatan Islam suatu ketika dulu sehingga Barat terhutang ilmu kepada Islam dan merasakan kehebatan umat dalam membangun tradisi sains bersumberkan nilai.
Islam tidak hanya difahami sebagai agama yang menekankan kepentingan rohaniah tetapi juga kepentingan ilmu mengurus sistem bersumberkan sains, perubatan, matematik, teknologi, falsafah dan ilmu kemanusiaan lain.
Tradisi Islam dalam memahami diri, alam sekitar dan alam langit sentiasa terhubung dengan keperkasaan Pencipta. Tidak mungkin dalam asas ilmu Islam diri terpisah dengan Pencipta, Pencipta terpisah dengan alam sekitar atau alam langit terpisah dengan alam ghaib.
Inilah asas sains Islam yang tidak saja mengkaji mengenai apa yang nyata dan terlihat tetapi beriman kepada perkara ghaib dan tidak terlihat kerana sifat ghaib itu adalah suatu kewujudan.
Daripadanya terlihat bukti mengenai kewujudan Pencipta kerana keajaiban diri manusia menemukan manusia dengan makna jasad dan roh. Kehadiran roh dalam jasad manusia adalah sesuatu yang ghaib.
Ternyata wujudnya yang ghaib (roh) dalam diri manusia menyebabkan kehidupan berlaku. Kekuatan roh menyebabkan manusia boleh berfikir, ilmu berkembang dan jalan hidup manusia terpedoman. Dengan roh juga manusia memiliki perasaan dan pertimbangan.
Daripadanya keputusan manusia terhadap sesuatu perkara terarah. Tanpa roh iaitu faktor yang ghaib, jasad tidak memberi apa-apa makna. Al-Quran memberikan pedoman bahawa, "Roh itu adalah datangnya dari Allah, dan yang diketahui oleh manusia mengenainya amat sedikit."
Rahmat dan nikmat yang Allah limpahkan kepada manusia serta bumi menyebabkan kehidupan berlaku. Melihat alam sekitar dengan pelbagai hikmah yang terjadi sama ada di daratan, lautan dan perut bumi membuktikan secara fitrah kewujudan suatu Kuasa yang Maha Mencipta dan Mentadbir kerana kewujudan dan fitrah peranannya tidak mampu dilakukan dan ditadbir oleh manusia.
Apalagi dengan menyaksikan keajaiban alam langit yang di luar mampu manusia untuk mentadbir serta menguruskannya dengan tertib dan teratur, tidak berlaku secara kebetulan. Pada logik akal, manusia diurus oleh suatu kuasa Yang Maha Berkuasa.
Manusia mengatur sistem jalan raya dengan baik tetapi sebaik mana sistem diatur perlanggaran dan kesesakan tetap berlaku. Bayangkan planet, cakerawala dan galaksi yang berbilion jumlahnya bergerak di angkasa raya berjalan dengan tertib dan teratur. Pastinya ada suatu kuasa yang Maha Berkuasa mengaturkan semua itu bukan berlakunya secara kebetulan.
Memahami diri, alam sekitar dan alam langit dalam konteks seorang pendakwah dan pendidik seharusnya dimanfaatkan kepada seluruh umat manusia. Akhirnya kebenaran yang menjadi titik tolak pencarian manusia.
Interaksi nilai dan budaya, tradisi dan tamadun tentunya dalam konteks keperluan manusia tetapi untuk menemui makna dan hakikat pastinya manusia akan meneruskan perjalanan intelektual serta rohaniah sehingga sampai ke suatu titik mengenai kebenaran hakiki.
Perjalanan dakwah yang berliku adalah jauh dan kompleks. Kesabaran dan kebijaksanaan adalah kunci terbaik. Kegopohan dan sifat melampau bukanlah jawapan terbaik untuk menimbulkan kesedaran bahawa Islam mendukung maksud yang alamiah.
Kesederhanaan dan jiwa lemah lembut amat perlu supaya proses didikan dan pembelajaran menjadikan manusia selesa untuk mempelajari serta memahami sesuatu. Mempelajari sesuatu dalam konteks Islam tidak saja terlihat apa yang dikata tetapi merujuk apa yang dikota.
Islam adalah agama yang membina keyakinan sekali gus terlihat dalam amalan. Sikap dan watak yang sederhana tetapi istiqamah atau teguh dengan tautan prinsip adalah suatu rahmah tidak saja bagi orang Islam tetapi juga untuk umat manusia.
Hal yang berbeza dari sudut aqidah dan kepercayaan, berbezalah. Titik persamaan yang banyak di kalangan manusia perlu disuburkan. Jika kesuburan terhadap yang fitrah menjadi amalan umat Islam, ia akan menjadi contoh kepada yang lain.
Jika yang lain juga menganut nilai murni dalam dirinya, ia bakal serasikan fitrah manusia dengan nilai yang sifatnya alamiah dan memudahkan manusia kembali kepada fitrah.
Ekstremisme atau sifat melampau dalam apa perkara pun boleh menyebabkan konflik, salah faham dan prasangka. Islam sebagai agama dakwah mempunyai kualiti mengajak dan menyeru yang tinggi. Jika rukun dakwah diolah dalam kreativiti fitrah manusia natijahnya akan lebih memikat dan memenangi hati insan.
Kesederhanaan yang bertaut dengan prinsip dan pedoman mampu mencetuskan makna rahmah alamiah dalam erti kata yang luas. Apalagi jika ia didukung dengan kekuatan ilmu dan ketinggian hemah Islam, bakal dilihat sebagai faktor alamiah yang mempersatukan.
Tuesday, March 25, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment