Friday, March 28, 2008

Pendidikan Islam utama hakikat kejadian manusia

Oleh Ahmad Shukri Hanapi

PENDIDIKAN Islam bertujuan melahirkan insan bermutu dan berjaya melaksanakan tugas serta tanggungjawab seperti dikehendaki Islam. Bagi mencapai tujuan itu, proses pendidikan Islam memainkan fungsi penting.

Dalam mendidik manusia, Islam mengambil kira hakikat kejadian manusia iaitu daripada akal, rohani dan jasmani, tanpa mengenepikan satu aspek pun. Ini bermakna skop pendidikan Islam meliputi semua aspek kehidupan meliputi yang bersifat material dan spiritual.

Mengenepikan salah satu daripada tiga aspek ini menyebabkan ketidakseimbangan sifat keinsanan. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan taraf perhambaan manusia sebagai makhluk pilihan Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: “(Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia daripada semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Rum, ayat 30)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Surah al-Zariyat, ayat 56)

Islam adalah agama Allah atau agama fitrah yang diturunkan untuk kemaslahatan manusia. Oleh itu, Islam memberi penekanan sama rata, adil dan saksama kepada setiap komponen kejadian manusia, iaitu akal, rohani dan jasmani.

Islam mementingkan aspek jasmani supaya umatnya sihat, cergas, kuat, berani dan berdisiplin. Mukmin kuat lebih baik daripada seorang yang lemah, yang sihat lebih baik daripada yang sakit.

Islam menyarankan umatnya bersiap sedia dengan kekuatan dan persenjataan bukan untuk menceroboh, tetapi mempertahankan hak dan agama.

Islam tidak pernah mengabaikan aspek pendidikan jasmani. Dalam hubungan ini, di samping dikehendaki melaksanakan pendidikan jasmani untuk tubuh badan sihat, pemakanan yang baik dan halal adalah wajib.

Jika seseorang itu sihat tubuh badan, kuat dan gagah tetapi tidak memakan makanan halal dan baik, maka kesihatan dan pendidikan jasmani ini tidak menepati tuntutan syarak.

Islam menuntut umat menggunakan akal fikiran secara wajar. Manusia diseru menuntut ilmu yang bermanfaat dan pada masa sama mengajar serta menyebarkannya. Selain itu, disaran berfikir, merenung kejadian alam serta mengambil iktibar kejadian dan ciptaan Allah.

Otak manusia yang diberikan keistimewaan dengan kemampuannya untuk berfikir adalah sebesar-besar nikmat daripada Allah. Inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.

Umat Islam diwajibkan menuntut ilmu yang memberi manfaat dan berfaedah. Kewajipan ini ada kalanya fardu kifayah dan ada kalanya fardu ain.

Pencapaian akademik tinggi dan penguasaan pengetahuan serta kepakaran digalakkan, begitu juga kemampuan membezakan baik daripada buruk, benar daripada salah dan maslahat daripada mudarat atau tidak mudarat, perlu kepada didikan dan panduan Allah melalui wahyu dan Rasul-Nya.

Penguasaan ilmu pengetahuan dan kepakaran, kebebasan berfikir, kemampuan menghasilkan kajian dan seterusnya tertakluk kepada ajaran serta bimbingan wahyu Allah. Dengan cara itu akal fikiran akan melahirkan sesuatu yang bermanfaat dan matang.

Jelas di sini, pendidikan mental menurut Islam penting dan menjadi tuntutan syarak untuk melahirkan insan yang sentiasa berusaha menuju ke arah kesempurnaan. Begitu juga pendidikan rohani supaya hubungan manusia dengan Allah tidak renggang.

Hubungan antara makhluk dengan penciptanya tidak terputus. Asas kejayaan dan kualiti insan tertakluk kepada kejayaan rohaninya. Pendidikan rohani adalah asas kukuh kepada pembentukan peribadi Islam dan tonggak kepada pendidikan Islam.

Seseorang Muslim akan gagal jika tidak berasaskan pendidikan rohani. Ini seperti yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Samalah seperti kami mengutus kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan Kamu (Nabi Muhammad) yang membacakan ayat kami (al-Quran) kepada kamu. Dan membersihkan kamu, mengajarkan al-kitab (al-Quran) dan al-hikmah (sunnah) dan mengajar kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 151)

Adalah jelas di antara fungsi terpenting Rasulullah SAW ialah menyucikan batin supaya bersih daripada segala kekufuran, kefasikan dan kesyirikan. Pada masa sama, Rasulullah SAW mendidik umatnya menerima tauhid, dan menghayati iman, Islam dan ihsan.

Rasulullah SAW mendidik sahabat, memberikan arahan dan latihan untuk meningkatkan pencapaian ketinggian rohani dan menaikkan martabat kemanusiaan seperti dikehendaki Allah.

Kejayaan insan berkualiti mencapai keredaan Allah bergantung kepada sejauh mana insan menjadi mukmin soleh yang menjadikan Rasulullah SAW ikutan.

Islam mendidik jasad, akal dan roh manusia secara bersepadu, terikat di antara satu dengan lain, sejajar kedudukannya sebagai khalifah Allah. Kesannya, lahirlah insan soleh yang mampu memakmurkan bumi ini.

No comments: