Bersama Dr Juanda Jaya
KESATUAN UMMAH: Berdiri rapat dalam saf ketika solat menandakan umat Islam sentiasa bersatu seperti dituntut Rasulullah. Membina umat lebih penting daripada berpuak-puak dan bermazhab-mazhab yang menyumbang kepada perpecahan dan ketidakstabilan umat.
Ingat kepada Rasulullah tetapi tidak cinta dan ikuti sunahnya adalah sia-sia
BERMACAM cara Muslim mengingati keagungan peribadi Rasulullah SAW. Ada yang terkenang kepada Baginda hanya setahun sekali iaitu pada setiap peringatan Maulidur Rasul, ada pula yang cuba sedaya upaya menghadirkan bayangan wajah Baginda yang mulia setiap menghadiri majlis ilmu, ketika membaca ayat al-Quran dan mendengarkan hadis Baginda SAW.
Jika kecintaan kepada Baginda SAW sudah sebati menjadi darah daging, pastinya setiap gerak geri seseorang akan sentiasa dibayangi gerak geri Rasulullah SAW. Seperti perbuatan Abdullah bin Umar yang bertanya kepada siapapun yang mengenali Baginda secara rapat, di manakah tempat Rasulullah SAW duduk atau berdoa? Tempat Rasulullah berhenti dan sujud, bahkan cara Baginda berjalan pun diikut oleh Ibnu Umar yang kerinduan.
Perbuatan Rasulullah SAW menjadi warisan berharga yang direbutkan sehingga Abdullah bin Masud berkata dengan bangga: "Sudah mewasiatkan kepadaku kekasihku Rasulullah SAW. Sedangkan sahabat lain sibuk bertanya kepada isteri Baginda yang paling dikasihi Saidatina Aisyah: "Wahai ibunda bagaimanakah peribadi Rasulullah SAW? Wahai ibunda apakah yang dilakukan Baginda SAW di rumahnya?" Bagaimanakah cara ibadatnya, pergaulannya dan perjuangannya?
Sememangnya perbicaraan mengenai diri Rasulullah SAW tidak pernah kehabisan tajuk dan kekeringan petunjuk. Akan sentiasa mengalir hingga akhir zaman sirah Baginda yang mulia diperkata, disanjung dan dijadikan pegangan, sandaran ilmu dan asas bagi melaksanakan prinsip kehidupan.
Ingat kepada seseorang tanpa melahirkan apa-apa perasaan selepas itu adalah ingatan yang sia-sia. Ingat kepada Rasulullah SAW tetapi tidak wujud rasa cinta kepada Baginda dan tidak diikuti perbuatan yang sesuai dengan sunnahnya, bahkan tidak berasa bertanggungjawab menjaga syariat dan ajarannya adalah ingatan yang sia-sia.
Ketika kita sujud, tiba-tiba teringat bagaimana Rasulullah SAW sujud di depan Kaabah lalu datang seseorang yang membencinya melumur kepala Baginda dengan kotoran sambil ditertawakan orang kafir laknatullah.
Sujud kita itu terasa lebih berat kerana menanggung rasa kasihan, sekali gus kerinduan kepada Baginda seandainya saat itu kita hidup di sana membantu Fatimah puteri Baginda menyapu kepala insan mulia itu, memeluk Baginda dengan rasa kasih sayang atau sekadar menangis menumpahkan perasaan pilu dan sakit hati.
Atau jika kalau boleh kita berada di sisi Abu Bakar menolong beliau membela Rasulullah SAW, bukankah waktu itu hanya Abu Bakar seorang yang rela dihentam dengan caci maki dan penghinaan juga pukulan yang mengalirkan darah di sekujur tubuh badannya?
Tetapi kita tidak hadir di sana, hanya membaca daripada sirah yang harum kemudian lupa untuk kesekian kalinya. Jika sentimen yang membakar hati Hamzah juga membakar hati kita mungkin di situlah puncak kecintaan tertinggi yang mampu kita miliki daripada diri Rasulullah SAW.
Ibnu Hisyam menceritakan: "Suatu hari Abu Jahal bertemu Rasulullah SAW di bukit Safa lalu menyakiti Baginda. Rasulullah SAW diam tidak bercakap dengannya. Kemudian Abu Jahal memukul Baginda dengan seketul batu sehingga luka kepala Baginda dan berdarah.
Kemudian dia pergi ke tempat perkumpulan Quraisy di sisi Kaabah lalu duduk bersama mereka. Tidak lama kemudian Hamzah pulang daripada berburu sambil memegang busur panahnya. Seorang wanita yang menyaksikan peristiwa itu mengadu kepada Hamzah.
Lantas beliau, seorang anak muda yang perkasa di kalangan Quraisy dan tegas menjadi marah. Dia mencari Abu Jahal kemudian berkata: "Hai si punggung kuning, berani engkau menghina anak saudaraku sedangkan aku mengikuti agamanya?" Kemudian Hamzah memukul Abu Jahal dengan busur panahnya hingga berdarah. Tiada seorang pun berani melawan Hamzah ketika itu. (Sirah Al-Rahiq al-Makhtum)
Layakkah kita disenaraikan dalam barisan pembela Rasulullah SAW? Dengan amalan yang tidak cukup markah, pengorbanan yang tidak pernah wujud kecuali sekecil hujung kuku, dengan kepura-puraan mencintai tetapi mempergunakan semangat cinta Rasul sebagai cara mengaut keuntungan dunia?
Bukankah ramai orang yang mempergunakan agama sebagai cara mendapatkan simpati orang, kejayaan dalam perniagaan, berpolitik atau sekadar menarik simpati calon mentua. Aduhai umat Muhammad SAW yang malang.
Setiap hari ramai cerdik pandai dan ilmuwan Islam mengkaji sirah Rasulullah SAW sehingga menelurkan beberapa resolusi penting untuk masa depan umat. Seiring dengan usaha mulia itu banyak perubahan positif berhasil mendewasakan umat tetapi tidak mungkin kita menutup mata terhadap penyelewengan terang-terangan yang dilakukan generasi Islam abad moden dan canggih ini.
Mereka lahir 1,500 tahun selepas kewafatan Nabi SAW, diasak oleh tamadun yang lahir selepas kejatuhan Islam sehingga luntur semangat Islam dalam diri generasi kini. Sememangnya transformasi budaya sudah membentuk generasi Islam menjadi tiga lapisan.
Yang pertama adalah mereka yang meninggalkan pegangan agama dalam kehidupan, condong ke Timur atau ke Barat mengikuti fahaman dicipta manusia tanpa mengambil secebis pun prinsip peninggalan Rasulullah SAW.
Lapisan kedua ialah yang menolak semua selain Islam dan sayangnya interpretasi mereka mengenai Islam terlalu kolot dan tidak berkompromi. Sering mentafsirkan prinsip agama secara tekstual, tidak memahami tempat dan suasana semasa yang memerlukan pendekatan berbeza dalam mengaplikasikan syariat.
Al-Qaradhawi memberi contoh nyata dalam masyarakat Islam, ramainya orang Islam yang memberatkan masalah remeh temeh dan meringankan perkara penting yang mesti didahulukan.
Bagaimana perbezaan pendapat mengenai sunnah berjanggut dengan jubah dan serban hingga sampai pada tahap memakai jam tangan di sebelah mana yang mengikut sunnah. Tetapi masalah kemiskinan dan kelemahan ekonomi umat tidak disentuh, ramainya orang Islam yang tidak amanah dan kurang cekap mentadbir tidak diperbaiki.
Padahal sunnah Rasulullah SAW sudah merakamkan sejarah pembinaan umat yang cemerlang hingga mendahului gergasi kekaisaran Rom dan Parsi hanya memerlukan masa 25 tahun selepas kerasulan Nabi SAW. Perjuangan membina umat nyata lebih penting daripada berpuak-puak dan bermazhab-mazhab yang menyumbang kepada perpecahan dan ketidakstabilan umat. (Al-Qaradhawi - Fiqh Awlawiyat)
Lapisan ketiga ialah umat yang sederhana, dalam bahasa al-Quran disebut Ummatan Wasatha umat pertengahan yang menerima konsep baru di luar Islam selama tidak menyalahi prinsip Islam dan berpegang kepada tali kukuh pegangan ahli sunnah wal jamaah.
Umat yang memandang ke Timur dan Barat dan ke mana-mana saja tempat segala kebaikan dapat dimanfaatkan untuk kejayaan agama Allah. Mereka sentiasa berfikir apakah sumbangan yang dapat diberi untuk Islam, supaya perjuangan Rasulullah SAW dapat disambung sehingga tiada yang lebih tinggi melainkan agama Allah.
Memperingati hari kelahiran Baginda SAW bukan sekadar nostalgia mainan perasaan, bahkan suatu peringatan bahawa perjuangan mesti digembleng lebih gigih lagi bermula daripada sekarang.
Siapakah yang boleh menggantikan Hamzah di sisi Baginda SAW yang setia membela hingga terkoyak dada tercabut jantung dan dilapah-lapah darah daging kecintaan Nabi itu?
Jika bukan kerana Allah dan Rasul-Nya perjuangan setiap hamba tidak akan sampai ke penghujung yang manis. Tidak akan meninggalkan bekas yang harum untuk dikenang sepanjang zaman. Ketika ingat kepada Rasulullah SAW, bertanya pada diri sendiri, di manakah kita ketika dakwah Rasulullah SAW menagih janji penolongnya?
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
Monday, March 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment