Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
TIDAK lama dulu, seorang mufti meluahkan rasa kecewa terhadap kekotoran tandas masjid yang menggambarkan ramai kalangan ahli jemaah dan penduduk setempat masih belum mengamalkan aspek kebersihan sebenar sebagaimana dituntut Islam.
Keadaan itu berkemungkinan berpunca daripada tiada sokongan kuat ahli kariah, penghuni kampung dan ahli jawatankuasa (AJK) sesebuah masjid bagi menanganinya. Kebersihan adalah tonggak kehidupan selesa dan selamat selain menggambarkan manifestasi keteguhan iman kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman." Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan dan impak kesejahteraan kepada umum.
Dalam konteks kebersihan diri, bukan hanya setakat kebersihan luaran, tetapi merangkumi kebersihan hati nurani daripada kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa.
Allah SWT sentiasa menyukai hamba-Nya yang sentiasa menyucikan diri. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)
Membudayakan amalan kebersihan bermakna kita sentiasa mengambil berat aspek kebersihan ini dan memberi keutamaan kepada penjagaan kebersihan diri, tempat tinggal, tempat ibadat, tempat awam dan tempat makan.
Kebersihan diri amat dituntut sewaktu melakukan apa juga tuntutan kewajipan, terutama ketika bersiap sedia untuk mendirikan solat. Pada waktu inilah aspek kebersihan luaran seperti tubuh badan, pakaian dan tempat solat berada dalam keadaan bersih di samping kebersihan dalaman apabila mula mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Oleh kerana itu, masjid atau surau perlu dijaga dan tidak dicemari bau busuk seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran, kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran." (Hadis riwayat Muslim)
Menjadi tugas dan tanggungjawab semua ahli komuniti menjadikan tempat ibadat seperti masjid, surau, tempat rekreasi, tempat makan, pejabat kerajaan, pasar dan tempat awam supaya sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Kita juga digalakkan menjaga kebersihan alam sekitar daripada pencemaran dan kemusnahan, berusaha menjadikan alam sekitar bersih sepanjang masa di samping mengekalkan keindahan alam semula jadi di negara untuk menarik pelancong.
Melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, masyarakat perlu menghayati perkara berikut:
Mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurnian ajaran Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.
Setiap individu bersama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan secara berterusan bagi menghindari berlakunya kekotoran di merata tempat.
Bersama mendisiplinkan diri menjaga imej Islam yang mementingkan kebersihan dengan melahirkan persekitaran sejahtera dan selesa.
Mempertingkatkan amalan tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan cinta kepada kebersihan dan benci kepada kekotoran, di samping memastikan tidak merebak penyakit berjangkit.
Kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT. Menjaga kebersihan akan menjurus kepada kesatuan melalui aktiviti gotong- royong yang merapatkan lagi hubungan kejiranan serta semangat silaturahim.
Usah mengharapkan pihak berkuasa tempatan atau pekerja melakukannya kerana sebagai pengguna dan warga negara yang baik, kita juga memainkan peranan memenuhi tanggungjawab menjaga kebersihan.
Ini bertepatan dengan roh Islam seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan melakukan kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Surah Al-Ma'idah, ayat 2)
Langkah kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan kempen kebersihan turut memberi ruang kepada semua pihak membantu memastikan kebersihan serta keselesaan hidup terjamin pada masa sama mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
Saturday, March 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment