Thursday, March 20, 2008

Analisis: Pemilihan Zahid, Mashitah tepat

Oleh Hasliza Hassan

Latar belakang agama boleh dimanfaat jayakan gagasan Islam Hadhari

PELANTIKAN Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diamanahkan untuk menjaga hal ehwal Islam disambut baik oleh pelbagai pihak kerana percaya pendekatan yang lebih profesional termasuk menyebarkan konsep pendekatan Islam Hadhari, akan menjadi lebih berkesan.

Untuk tugas itu, Zahid yang dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh akan dibantu oleh senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Justeru, pendekatan Islam Hadhari yang bermatlamat mengajak umat Islam menghayati 10 prinsip berteraskan ajaran al-Quran dan sunnah memerlukan pengalaman kedua-duanya yang memiliki latar belakang kepemimpinan bersifat global.

Dalam erti kata lain, mereka bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan, malah mampu mengaplikasi ilmu yang ada dalam sistem pentadbiran bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat dan negara serta memikirkan kaedah terbaik menangani cabaran akan datang.

Gabungan mereka yang mempunyai pengalaman menterjemahkan ajaran Islam dalam sistem pentadbiran diharap dapat memenuhi aspirasi kerajaan menjayakan gagasan Islam Hadhari bukan saja pada peringkat kepemimpinan, malah kepada akar umbi untuk bersama membangunkan Islam secara bijaksana.

Walaupun penampilannya tidak mencerminkan ketokohan sebagai ulama, Zahid sudah terbabit secara langsung dalam usaha memperjelas pendekatan Islam Hadhari sejak mula dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2004.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Amal Islam Hadhari banyak bergaul dengan tokoh agama termasuk Mufti serta ahli akademik yang terbabit dalam program Bicara Mufti dan Forum Perdana Ehwal Islam ketika menyandang jawatan Timbalan Menteri Penerangan.

Pastinya, pengalaman itu memberi banyak kelebihan kepada beliau untuk berhadapan dengan kumpulan yang masih keliru atau terus mempersoalkan gagasan Islam Hadhari seterusnya menjelaskannya secara terperinci supaya pendekatan itu dapat difahami sebaiknya.

Anak kelahiran Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak itu juga mungkin tidak menyerlah sebagai penceramah agama tetapi itu tidak mengehadkan sumbangannya melalui penulisan apabila menghasilkan buku Islam Dalam Menghadapi Gelombang Globalisasi dan Gelombang Globalisasi: Menggarap Keampuhan Ummah Di Malaysia.

Sementara itu, Dr Mashitah, bekas pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga berpengalaman sebagai penceramah bebas diyakini mampu memberi sumbangan dari aspek ilmu keagamaan.

Beliau yang juga penulis buku Wanita dari Perspektif Undang-undang Keluarga Islam, dengan kemahiran serta kebolehan yang ada pastinya dapat memenuhi hasrat Perdana Menteri yang mengharapkan beliau untuk membantu wanita dalam hal-ehwal berkaitan Islam.

Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Dr Abd Malek Awang Kechil, berkata YaPEIM mengalu-alukan pelantikan dua pemimpin itu untuk meneraju bahagian hal-ehwal Islam.

Katanya, gandingan mantap itu mampu menjayakan hasrat besar barisan kepemimpinan dan menjadi penggerak utama kepada pelaksanaan Pendekatan Hadhari dalam agenda pembangunan negara.

"YaPEIM akan terus bekerjasama dengan semua pemimpin yang dipertanggungjawabkan dan mempunyai kaitan dengan peranan institusi ini dalam rangka membantu kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam di negara kita.

"Insya-Allah berkat sokongan dan dokongan kepemimpinan negara, umat Islam akan terus bergerak ke hadapan dalam usaha untuk mewujudkan masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya.

Beliau berkata, YaPEIM turut menyatakan penghargaan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang banyak memberi sokongan kepada perjalanan YaPEIM selama tempoh perkhidmatan beliau.

Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata PGSM menyambut baik pelantikan Ahmad Zahid yang mendapat pendidikan aliran agama pada peringkat sekolah menengah serta banyak menyumbang ke arah kemajuan Islam.

Katanya, pembabitan secara langsung dalam jabatan berkaitan pembangunan hal ehwal Islam bukan sesuatu yang asing kepada Ahmad Zahid kerana ibu bapa beliau sudah lama menyumbang dalam penyebaran ilmu Islam.

"Ahmad Zahid pun memang pelajar sekolah agama dan dengan latar belakang pendidikan itu kita pasti beliau mampu memberi sumbangan yang diharapkan. Begitu juga dengan Dr Mashitah yang agama menjadi bidang utama beliau.

"Apa yang kita harapkan dengan ada Dr Mashitah untuk memberi tumpuan kepada golongan wanita, akan banyak program kesedaran mengenai undang-undang syariah diadakan. Hakikatnya 99 peratus hak untuk wanita tetapi kenapa kes di Mahkamah Syariah lambat adalah kerana mereka tidak faham undang-undang syariah," katanya.

Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri adalah nama baru yang diberikan kepada Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri iaitu urus setia yang mula ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada 1968.

Pada mulanya bahagian ini dinamakan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Antara fungsi awalnya ialah membincang, menimbang dan menguruskan perkara yang dirujuk ke majlis oleh Majlis Raja-Raja serta memberi nasihat mengenai perundangan atau pentadbiran agama Islam dengan tujuan hendak membaiki, menyamakan atau menggalakkan persamaan undang-undang serta pentadbiran.

Pada 1984 bahagian itu disusun semula, diperbesarkan dan ditukar kepada Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri yang memiliki pelbagai agensi di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Melihat kepada keluarga besar yang perlu dipimpin Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri ini, pastinya tugas dipikul Ahmad Zahid dan Dr Mashitah bukan satu tugas mudah sementara pengharapan kepada mereka begitu tinggi.

Perkara itu diakui Ahmad Zahid yang mengharapkan sokongan semua pihak yang mahukan Islam direalisasikan sebagai ad-din atau cara hidup meliputi semua aspek kehidupan rakyat di negara ini.

Sebagai permulaan kepada banyak lagi tugasan bakal digalas, Ahmad Zahid akan memberi ucapan sulungnya sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Islam pada Majlis Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi ini.

PROFIL

Dr Mashitah Ibrahim

Tarikh lahir: 9 Oktober 1964
Tempat lahir: Alor Setar, Kedah
Pendidikan: Maktab Mahmud Alor Setar; Ijazah Sarjana Muda Tafsir dan Hadis Universiti al-Azhar Mesir (1987); Sarjana Ilmu Wahyu dan Warisan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1992); Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Tafsir dan Hadis, Universiti Darul Ulum Kaherah, Mesir (1997)
Suami: Abdul Shakor Abu Bakar
Anak: Ameerah Suad, Fatin Sajeeda, Muhammad Wafi, Adel Wajdi

Dr Ahmad Zahid Hamidi

Tarikh lahir: 4 Januari 1953
Tempat lahir: Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak
Pendidikan: Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, Ipoh; Ijazah Sarjana Muda (Sastera) Universiti Malaya (1976); Sijil Program Pembangunan Pengurusan Kanan Sekolah Perniagaan Harvard, Amerika Syarikat (1981); Sarjana Sains Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia (2000)
Isteri: Datin Hamidah Khamis
Anak: Nurulhidayah, Nurullizawani, Ahmad Khairul Hafies, Ahmad Syafiq Hazieq, Ahmad Asyraf Arief

No comments: