Sunday, March 23, 2008

Ulul Albab: Selawat lahir nilai spiritual kerohanian

Oleh Abdurrahman Haqqi

PENYATUAN UMMAH: Acara berarak sambil berselawat adalah warisan umat Islam di rantau ini yang melambangkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Umno, BN perlu buat penyesuaian ikut perubahan semasa, puaskan hati rakyat

MENJANA Masyarakat Gemilang adalah tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini. Menerusi tema itu, pentadbiran kerajaan mempunyai niat bekerja bersungguh-sungguh untuk membina masyarakat Malaysia yang sentiasa gemilang pada persada percaturan masyarakat antarabangsa.

Perkara ini diisyaratkan dengan pemilihan tokoh Maulidur Rasul yang mewakili kegemilangan pelbagai bidang termasuk perubatan, akademik dan sains. Kegemilangan mesti ditonjolkan agar pengiktirafan berterusan diperoleh.

Dalam acara gemilang dan penuh khusyuk sambutan Maulidur Rasul, Khamis lalu di seluruh negara terbukti kecintaan umat Islam terhadap junjungan, Nabi Muhammad SAW. Acara berarak sambil berselawat adalah warisan umat Islam di rantau ini sempena menyambut Maulidur Rasul. Ia tidak ada di negara Islam lain, terutama di Asia Barat. Bagaimanapun, dari sudut sejarah Islam global, acara itu pernah dilaksanakan kerajaan Islam terdahulu dalam bentuk lain tetapi pada hari ini tidak wujud lagi kerana sebab tertentu yang mungkin menjadi rahsia umum.

Ratusan ribu umat Islam, bahkan jutaan jika diperlukan, di Nusantara berarak untuk memuliakan keputeraan Baginda 1,482 tahun lalu dalam acara rasmi penuh kebajikan. Perarakan diketuai pemimpin dengan membawa mesej bahawa umat Islam di Nusantara sangat mencintai Nabi Muhammad. Ia juga membawa mesej kepada masyarakat antarabangsa jangan sekali-kali menyentuh kesucian dan keagungan utusan terakhir Allah, Muhammad ibn Abdullah SAW.

Muhammad pilihan Tuhan seru sekalian alam, pada hari ini masih menjadi bahan permainan anasir masyarakat antarabangsa yang tidak bertanggungjawab dan tidak memahami sensitiviti keagamaan. Dengan dakwaan kebebasan bersuara mereka boleh menyuarakan apa saja yang mereka inginkan walaupun untuk mengecam, menghina dan memburukkan agama dan lambang kesuciannya. Mereka lebih dahulukan kebebasan bersuara daripada menjaga keharmonian hidup. Mereka lebih mengutamakan hawa nafsu daripada fikiran waras. Mereka dengan sedar atau tidak lebih mengutamakan permusuhan daripada keamanan dan perdamaian dalam masyarakat global.

Oleh itu, kita mengalu-alukan dan sangat menyokong langkah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam membela dan mempertahankan Islam dan Nabinya seperti dalam resolusi di Dakar, Senegal, 15 Mac lalu.

Pada persidangan berkenaan, pemimpin dunia Islam kini menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mencemar kesucian Islam dan simbol keagamaannya, berikutan meningkatnya perbuatan memfitnah Islam sejak kebelakangan ini. Mereka juga akan menuntut negara seperti Denmark memperbetulkan ketidakadilan berlaku apabila ia membenarkan penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad SAW pada 2006 dan sekali lagi menyiarkannya semula pada Februari lalu.

Dalam satu laporan yang dibentang pada persidangan berkenaan ada dinyatakan bahawa umat Islam menjadi sasaran kempen fitnah, penghinaan, tanggapan stereotaip, tiada tolak ansur dan diskriminasi. Oleh itu, Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu, berkata hubungan dengan dunia Barat sedang melalui masa yang sukar dan masalah Islamofobia tidak boleh diatasi hanya dengan kegiatan kebudayaan tetapi menerusi saluran politik yang tegas.

Di samping aspek politik, perundangan dan budaya yang dibuat untuk mempertahan dan mempromosi imej Islam sebagai agama rahmat turut memerlukan aspek kerohanian. Bagi aspek pembangunan material yang gemilang dalam bentuk ketamadunan zahir pula, kita memerlukan aspek pembangunan spiritual. Aspek kerohanian dan spiritual ini mempunyai kepelbagaian, antaranya adalah aspek selawat ke atas Nabi Muhammad yang semakin luntur sejak akhir-akhir ini.

Dalam Bimbingan Mukmin, Imam al-Ghazali ketika membahas masalah dua kalimat syahadat menulis: "Dan bahawasanya Allah mengutus Nabi yang ummi (tidak pandai tulis-baca) daripada keturunan Quraisy, iaitu Muhammad SAW. Perutusan Muhammad itu kepada sekalian bangsa Arab dan Ajam, jin dan manusia dan dengan perutusannya, maka berakhirlah semua perutusan Rasul dan Nabi. Baginda menjadi penyudah sekalian Rasul, pembawa berita yang menggembirakan dan yang menakutkan serta penyeru kepada jalan Allah dengan izin-Nya dan sebagai pelita yang memberikan cahaya-Nya. Allah menurunkan ke atas Baginda kitab-Nya yang penuh hikmat, memberikan penerangan mengenai agama-Nya yang lurus dan menunjukkan jalan al-Sirat al-Mustaqim (jalan betul). Allah mewajibkan ke atas semua makhluk, agar mempercayai Baginda dengan apa diberitakannya."

Muhammad adalah manusia istimewa. Baginda bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari keturunan Nabi Ismail, dan memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Bani Hashim daripada Quraisy, dan memilihku daripada Bani Hashim." (Hadis riwayat Muslim)

Mengenai Nabi sebagai kesinambungan nabi sebelumnya, Baginda bersabda maksudnya: "Perumpamaanku dan perumpamaan nabi sebelumku bagai seseorang yang membina bangunan, di mana dia membinanya dengan indah dan bagus, tinggal lagi satu batu yang belum terpasang pada satu sudutnya, orang mengitari bangunan itu menikmati keindahannya, mereka berkata, "Duhai andai saja satu batu ini dipasang! Akulah batu itu dan aku penutup Nabi." (Muttafaq alaih)

Pada hari kiamat, Baginda menyifatkan dirinya dengan sabdanya bermaksud: "Aku adalah pimpinan anak cucu Adam pada Hari Kiamat nanti, aku orang yang pertama dibangkitkan daripada kubur, aku orang yang pertama memberi syafaat dan aku orang pertama diberi syafaat". (Hadis riwayat Muslim)

Kita memerlukan pembangunan seimbang antara keduniaan dan akhirat. Kita tidak mahu menjadi pincang dengan cara mengetepikan satu daripada kedua-duanya. Kita tidak mahu menumpukan saja pada keduniaan sehingga akhirat dilupakan dan sebaliknya. Kita tidak mahu hanya melihat akhirat dengan mengetepikan dunia.

Selawat sebagai satu ibadat mempunyai nilai spiritual dan kerohanian yang tinggi dan sangat bermanfaat bagi kehidupan kita sebagai umat Islam secara individu atau bermasyarakat kerana dengan kita mengamalkannya, maka kita akan memperoleh banyak keuntungan dunia dan akhirat.

Berselawat ke atas Nabi adalah satu tuntutan agama Islam dan kesempurnaannya terpulang kepada-Nya. Setiap hari umat Islam wajib mengucapkannya. Dalam al-Quran, Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang yang beriman berselawat kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya." (Surah al-Ahzab: 56)

Makna selawat dalam ayat ini adalah selawat Allah ke atas Nabi dengan memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Baginda kepada-Nya. Selawat malaikat ke atas Baginda pula mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan. Selawat orang beriman ke atas Baginda adalah mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya dan membaca selawat.

Berselawat ke atas Nabi disyariatkan dalam tasyahhud solat, dalam khutbah, saat berdoa serta beristighfar. Demikian pula selepas azan, ketika keluar serta masuk masjid atau mendengar nama Baginda disebut.

Antara faedah berselawat yang didapati daripada beberapa hadis Nabi adalah memperoleh selawat daripada Tuhan Penguasa Alam; memperoleh syafaat daripada Nabi Muhammad SAW mendapat kepemimpinan daripada malaikat yang baik-baik; menghapuskan dosa; mendapat pertolongan dan tercapai keperluan hidup; mempunyai perbezaan dengan orang munafik; memperoleh nur zahir dan batin; mendapat keselamatan daripada azab neraka; membolehkan memasuki syurga; memperoleh ucap selamat daripada Allah. Sabda Nabi maksudnya: "Siapa yang berselawat ke atas ku sekali, sesungguhnya Allah berselawat ke atasnya 10 kali." (Hadis riwayat Muslim)

Mengucapkan selawat ke atas Rasulullah adalah perkara yang disyariatkan. Di dalamnya faedah terbuka seluas-luasnya. Antaranya menjalankan perintah Allah dan menyepakati Allah dan malaikat-Nya yang juga berselawat ke atas Nabi.

Faedah lain adalah melipatgandakan pahala orang berselawat, ada harapan doanya terkabul dan berselawat adalah sebab diperoleh berkat dan abadinya kecintaan kepada Rasulullah. Seperti berselawat menjadi sebab seorang hamba beroleh hidayah dan hatinya hidup. Semakin banyak seseorang berselawat kepada Baginda dan mengingatinya, semakin kental pula kecintaan di dalam hati. Sehingga tidak tersisa di hatinya penentangan terhadap sesuatu pun daripada perintahnya dan tidak pula keraguan terhadap apa yang disampaikannya.

Selawat yang kita berikan kepada Baginda akan diterima oleh Baginda seperti tertera dalam satu hadis bermaksud: "Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang ditugaskan mengitari bumi, mereka menyampaikan kepada-Ku selawat dan salam dari umat–Ku." (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa'i)

Untuk membantu dan memperkukuh kita dalam mengeluarkan masyarakat gemilang, sudah semesti kita membanyakkan selawat ke atas Nabi kerana seperti sabda Baginda maksudnya: "Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang paling banyak berselawat kepadaku."(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Jika kita banyak berselawat maka kita akan dekat dengan Nabi dan apabila kita dekat dengan Nabi maka kita dekat dengan Allah; dan apabila kita dekat dengan Allah, maka Allah akan sentiasa bersama kita dalam gerak geri dan berdiam diri kita ketika menjana kegemilangan umat. Allahumma salli wasallim ala sayyidina Muhammad.

No comments: