Monday, March 24, 2008

Tajdid Iman: Nikmat kejayaan menerusi iman

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

BERBALOI: Kejayaan diraih dengan usaha berlandas keimanan mampu kecapi nikmat dalam kehidupan.

DEFINISI berjaya berkumpul pada satu pakej lengkap yang berisi butiran pengiktirafan masyarakat kepada seseorang, iaitu kaya, bijak, sihat, muda atau sentiasa berjiwa muda, berjawatan tinggi, terkenal, memiliki hamba yang sedia mengabdi, mentaati, membela dan sanggup mati demi kejayaan tuannya, disempurnakan dengan nikmat tertinggi iaitu keluarga bahagia dan kawan setia.

Jika semua itu terkumpul pada diri seorang Muslim, tiada alasan untuk menyatakan dia gagal kecuali satu kekurangan yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata biasa iaitu apabila segala kejayaan itu tidak didampingi iman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Ia hanya dapat dirasa oleh diri yang membawa anugerah bintang cemerlang yang memenuhi jubah kejayaannya itu. Tanyalah pada orang yang merasai nikmatnya berada di puncak kejayaan, pasti nurani mereka mengeluh: "Jika tiada iman semua terasa hampa, kejayaan yang diperoleh tidak mampu memuaskan diri."

Apabila kejayaan membuat seseorang lebih mengenal Allah, maka dia akan berusaha untuk mengabdikan seluruh hidupnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Apa-apa keuntungan duniawi diperoleh dengan cemerlang seharusnya disumbangkan untuk kepentingan agama Allah.

Jika tiada visi dan misi untuk membela agama Allah melainkan untuk kepentingan diri sendiri, selama itu manusia tidak akan berasa puas menjadi hamba kepada nafsunya.

Orang yang mengejar harta semata-mata mahu jadi kaya dan orang yang mengintai jawatan ataupun pangkat terhormat kerana gila kuasa tidak dapat disamakan dengan peribadi Abdul Rahman Auf yang kaya-raya ataupun Usman bin Affan tokoh ekonomi terulung dan khalifah bijak menjana kekayaan umat.

Kedua-dua tokoh itu terlalu agung untuk dibandingkan dengan diri kita yang sungguh lemah iman. Apabila mereka berjuang menguasai dunia umpama singa pada siang hari dan menghabiskan malamnya dengan sujud yang panjang, menangisi dirinya seraya mengingati perjumpaan dengan Tuhannya seolah-olah itulah malam terakhir untuk mengucap selamat tinggal kepada semua yang dimiliki.

Mungkin diri kita sedang terlena oleh mimpi mahu cepat kaya, tetapi kurang berusaha. Jika untuk kepentingan dunia saja kita masih tidak serius bagaimana untuk kepentingan akhirat? Mungkin dilupakan sudah masa depan ke negeri akhirat.

Mengapa kuat sungguh azam sahabat yang merampas Rom dan Parsi, tetapi tidak sedikit pun hasil rampasan itu menjejaskan kecintaan mereka kepada akhirat? Sesungguhnya ingatan mereka kepada wasiat Rasulullah SAW, insan yang paling dikasihi tidak pernah luntur.

Baginda banyak memberi inspirasi yang melonjak semangat cinta dunia dan akhirat sekali gus seperti sabdanya yang bermaksud: "Demi Allah bukanlah kemiskinan yang aku takutkan ke atas kamu, melainkan aku khuatir jika terhampar luas bagimu dunia seperti terhampar pada orang sebelum kamu, kemudian kamu berlumba-lumba sebagaimana mereka berlumba-lumba sehingga membinasakan kamu sebagaimana telah membinasakan mereka." (Hadis riwayat Bukhari Muslim)

Hadis itu menjadi kayu ukur bagi setiap Muslim yang bercita-cita menguasai dunia. Jangan lupa, lalai dan tenggelam dalam keasyikan berada di mercu kejayaan hingga lupa tanggungjawab kepada Tuhan yang penghujungnya menjadi lupa diri.

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu seperti orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang yang fasik." (Surah al-Hasyr, ayat 19)

Namun, bukan bermakna Rasulullah SAW menentang usaha mencari kekayaan dan kuasa di muka bumi ini, malah wajib bagi setiap Muslim menguasai pelbagai bidang penting untuk kemaslahatan umat supaya cahaya agama Allah itu menjadi rahmat bagi sekalian manusia.

Bagaimana hendak menguasai dunia jika umat Islam masih jauh berada bawah paras kemiskinan? Sesungguhnya orang kaya pasti bahagia jika ia bersyukur dan yang miskin pasti sengsara kecuali yang reda.

Hanya bagi mereka yang kaya dan berjaya, perlu lebih berhati-hati dan waspada dengan fitnah harta yang akan menjejaskan iman apabila tidak dapat dikawal baik. Semestinya orang kaya lebih kuat ibadatnya daripada yang miskin, kerana tidak susah memikirkan sumber pendapatan seperti orang miskin yang membanting tulang menyara keluarga.

Namun, kenyataannya kekayaan banyak membutakan hati dan merapuhkan azam mengabdikan diri kepada Allah. Begitulah ujian bagi orang yang hebat, berjaya dan terbaik yang pernah dilahirkan di dunia.

Jika tidak kuat iman dalam hati, manusia akan tenggelam ke dalam gelombang tsunami yang dihasilkan berpunca daripada nafsu serakah angkara harta, wanita, takhta dan kuasa melainkan Allah menolong hamba-Nya dan menyelamatkan daripada kejahatan diri sendiri.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments: