Wednesday, March 5, 2008

Bersama YaPEIM: Memperkuat hati dengan iman, akal

Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia

BERSIH HARTA DAN JIWA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin menyampaikan bantuan pendidikan kepada anak yatim dalam projek Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Miskin/Anak Yatim Nasional (SANTUN) yang diperkenalkan YaPEIM.

Hawa nafsu didorong syaitan menzahirkan tingkah laku bertentangan hukum

UMUM mengetahui hati ibarat raja dalam diri manusia. Segala suruhan hati akan dipatuhi jasad. Jika hati kata mengantuk, mata dan seluruh anggota bersedia untuk tidur dan jika hati kata lapar, seluruh anggota tubuh bersedia mencari makanan. Itulah kuasa hati.

Benarlah sabda junjungan Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Di dalam tubuh manusia ada seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad, namun apabila ia rosak, maka rosaklah keseluruhan jasad. Itulah hati."

Hati yang baik akan menzahirkan tingkah laku yang baik, manakala hati jahat biasanya akan menzahirkan tingkah laku yang jahat. Kadang-kadang berlaku di mana hati yang jahat menzahirkan tingkah laku baik. Keadaan ini dinamakan sebagai nifaq (munafik).

Satu persoalan yang timbul, adakah di sana wujudnya hati yang baik, namun tingkah lakunya tidak baik? Memang wujud keadaan sebegini. Contohnya, seorang ahli terapi sedang menjalankan sesi rawatan tiba-tiba melompat ke atas meja dan berperangai seperti monyet.

Lalu dia bertanya kepada pesakitnya: "Adakah saya ini monyet?" Pesakitnya menjawab: "Tidak!" "Kenapa?" tanya ahli terapi kembali. "Ia kerana tuan bertindak sedemikian dengan sesuatu tujuan."

Contoh ini menjelaskan bahawa hati yang baik mungkin dizahirkan dalam tingkah laku sebaliknya kerana ada sebab musababnya, seperti faktor paksaan atau menjadi mangsa kepada keadaan. Sebab itu dalam proses perundangan, latar belakang seseorang pesalah harus diambil kira sebelum sebarang penghakiman diberikan.

Di sebalik kekuasaan hati, umum mungkin tidak menyedari hati ibarat raja boneka. Boneka bermaksud hati hanya sekadar mengeluarkan arahan, namun arahan itu disediakan dan ditentukan penasihatnya terdiri daripada hawa dan nafsu jahat dan akal di sebelah pihak yang baik.

Konflik antara baik dan jahat adalah bersifat universal di mana ia wujud dalam semua agama dan ideologi. Dalam hati manusia, kedua-dua pihak ini bersaing untuk menguasai hati kerana dengan menguasai hati, hakikatnya mereka menguasai keseluruhan diri manusia.

Pihak baik diketuai akal, dipandu arah oleh ilmu dan makrifah, manakala di pihak jahat diketuai hawa dan nafsu yang didalangi musuh terbesar umat manusia iaitu syaitan. Hawa dan nafsu sebenarnya anugerah Allah kepada manusia. Tanpa nafsu makan, manusia akan mati kelaparan dan tanpa nafsu farj, manusia akhirnya akan pupus.

Secara fitrahnya, kedua-dua unsur itu dijadikan Allah untuk tunduk patuh kepada akal. Punca masalahnya ialah iblis yang bertindak mempengaruhi dan memanipulasi kedua-duanya demi kepentingan jahatnya.

Imam Al-Ghazali mengibaratkan hawa dan nafsu seperti pekerja yang sekali-sekala mendongak kepala melihat kepada tuannya. Apabila mendapati tuannya lalai, maka mereka bertindak menguasainya dan memperhambakannya. Maka jadilah akal manusia itu diperhambakan hawa nafsunya.

Berbalik kepada konflik tadi, cuba bayangkan hati ibarat satu bulatan. Pihak yang baik terzahir daripada tengah hati dalam bentuk cahaya yang menyinari keseluruhan hati. Cahaya itu disebut sebagai cahaya iman. Lebih kuat kuasa di pihak baik, maka makin kuatlah cahaya sehingga kadang-kadang cahayanya terpancar keluar pada wajah empunya hati itu.

Sementara pihak yang jahat pula menyerang daripada luar hati dalam bentuk kegelapan menghitam. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang menyatakan apabila seseorang melakukan dosa, satu titik hitam akan terbentuk di hatinya.

Rasanya pada ketika ini berapa banyak dosa yang kita sudah lakukan? Dengan senjata kegelapan tadi, hawa dan nafsu cuba menutupi lapisan hati supaya cahaya iman tidak dapat keluar. Bagi muslim yang peka dengan keadaan ini, mereka akan mengambil langkah memperkuatkan kembali cahaya iman tadi dengan menambah ilmu serta beramal.

Fenomena lemah dan kuatnya pancaran cahaya tadi menjelaskan keadaan di mana bertambah dan berkurangnya iman kita. Jika iman kita lemah, kita akan rasa berat untuk beramal, tetapi jika ia kuat, kita akan rasa ringan untuk beramal mendekatkan diri pada Allah.

Namun bagi hawa dan nafsu, sekali menguasai hati, mereka akan terus menguasainya. Mereka tidak akan memberi ruang kepada cahaya iman untuk kembali kuat. Segala usaha dilakukan dengan pertolongan syaitan melemahkan cahaya tadi seterusnya melenyapkan terus daripada hati.

Jika ini berlaku, maka malanglah bagi empunya hati itu kerana tiada yang lain dirasainya melainkan segalanya jahat belaka. Orang dengan ikhlas memberi nasihat, dianggap dengki dengannya. Hatinya ditutup Allah seperti firman-Nya bermaksud: "Allah menutup hati-hati mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 7)

Ibarat tentera yang berjaya menawan kawasan pihak lawan, maka semua pos kawalan akan diambil alih, begitu jugalah apabila pihak jahat itu menguasai hati, mereka akan mengisi segenap ruang yang ada dengan bala tentera seperti hasad dengki, sombong, kedekut, malas, buruk sangka, dan segala macam sifat negatif.

Natijah daripada konflik rohani yang tidak bernoktah ini akan tampak pada tingkah laku kita. Jika pihak yang baik menang, hati akan menjadi baik lantaran memiliki penasihat yang baik, dan hati baik menzahirkan tingkah laku baik.

Demikian pula jika hati dikuasai pihak jahat, hati akan menjadi jahat, maka natijahnya adalah tingkah laku yang jahat juga. Hasil daripada konflik ini jugalah yang menentukan jenis nafsu yang ada pada kita sama ada nafsu tenang, nafsu mendesak kepada kejahatan dan nafsu yang menyalahkan diri.

Nafsu tenang terhasil apabila hati dikuasai pihak baik di mana hawa dan nafsu tunduk taat kepada arahan akal makrifah. Nafsu amarah dialami bila keadaan terjadi sebaliknya di mana hati dan akal dikuasai hawa nafsu.

Namun, bagi kebanyakan Muslim, keadaan hati mereka berubah-ubah. Kadang-kadang dikuasai iman dan ada kalanya dikuasai nafsu. Apabila hati dikuasai nafsu, kita pun melakukan dosa walaupun kita menyedarinya.

Apabila hati dikuasai iman semula, maka timbullah rasa bersalah. Dengan mengetahui hakikat hati, maka sewajarnya kita berusaha memastikan hati sentiasa dikuasai akal. Jangan kita biarkan ia diperkudakan nafsu. Kuasa dan pilihan di tangan kita dan ingatlah kita yang menentukan hala tuju perjalanan sama ada diredai Allah atau sebaliknya.

INTIPATI

Hati yang baik akan menzahirkan tingkah laku yang baik, hati jahat biasanya akan menzahirkan tingkah laku yang jahat, manakala hati yang jahat menzahirkan tingkah laku baik dinamakan munafiq.

Pihak baik diketuai akal, dipandu arah oleh ilmu dan makrifah, manakala di pihak jahat diketuai hawa dan nafsu yang didalangi musuh terbesar umat manusia iaitu syaitan.

Lebih kuat kuasa di pihak baik, sehingga kadang-kadang cahayanya terpancar keluar pada wajah empunya hati itu. Sementara pihak yang jahat pula membentuk kegelapan menghitam.

Jika iman kita lemah, kita akan rasa berat untuk beramal, tetapi jika ia kuat, kita akan rasa ringan untuk beramal mendekatkan diri pada Allah.

Nafsu tenang terhasil apabila hati dikuasai pihak baik di mana hawa dan nafsu tunduk taat kepada arahan akal makrifah. Nafsu amarah apabila hati dan akal dikuasai hawa nafsu.

Dengan mengetahui hakikat hati, maka sewajarnya kita berusaha memastikan hati sentiasa dikuasai akal dan tidak membiarkan ia diperkudakan nafsu.

No comments: