Oleh Penulis Khas YaPEIM
MEMBERI nasihat dalam erti kata memberikan teguran dan saranan adalah menepati sunnah Rasulullah SAW. Baginda mengamalkan sikap terbuka apabila ada di kalangan sahabat yang memberikan pandangan terutama dalam persoalan tidak membabitkan wahyu.
Dalam peperangan Badar, misalnya, menggambarkan ketelusan dan keterbukaan Baginda SAW menerima pandangan seorang sahabat supaya baginda mengubah strategi peperangan yang dirancang terutama dalam soal pemilihan lokasi peperangan.
Secara beradab, sahabat berkenaan inginkan kepastian adakah strategi yang dirancang Baginda SAW adalah wahyu daripada Allah. Baginda menyatakan strategi yang diatur bukan wahyu tetapi perancangannya sebagai ketua turus angkatan perang.
Mendengar jawapan Baginda SAW itu, sahabat berkenaan mencadangkan supaya dipilih lokasi lain yang lebih strategik. Baginda SAW menerima cadangan itu dengan hati terbuka demi kemaslahatan tentera Islam.
Ini menunjukkan budaya memberi nasihat dan menerima nasihat, memerlukan keikhlasan, keterbukaan, berlapang dada terhadap kritikan dan teguran. Kesediaan menerima nasihat dalam bentuk teguran dan kritikan membina dilihat sebagai syarat pelantikan imam, raja atau ketua dalam tradisi politik Islam.
Dengan itu rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dan menyuarakan haknya tanpa ada rasa takut terhadap pemerintah. Malah, Islam sendiri menjanjikan suatu keadaan bebas daripada sifat takut dan lapar sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (iaitu Kaabah), Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan." (Surah Quraysh, ayat 3-4)
Inilah yang ditunjukkan pemimpin Islam selepas era pasca nabawi sebagai menterjemahkan amalan dan sunnah Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar al-Siddiq umpamanya, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai khalifah meminta umat membetulkannya jika dia melakukan penyelewengan. Kata beliau, "andainya aku melakukan kebaikan, bantulah; tetapi andainya aku melakukan kesalahan, perbetulkanlah aku... patuhilah aku selama aku mentaati Allah, tetapi andainya aku sudah tidak mentaati Allah, kamu tidak perlu mematuhi aku lagi..."
Mengulas ucapan berkenaan, Imam Malik menegaskan antara syarat untuk menjadi pemimpin harus bersedia menerima teguran rakyat dan taat kepada Allah. Begitu juga dengan Saidina Umar al-Khattab dalam pidato pelantikannya sebagai khalifah menyampaikan mesej yang sama seperti khalifah Abu Bakar al-Siddiq.
Pada ketika itu, seorang hadirin bangun memberikan maklum balas bahawa dia akan membetulkan Umar dengan pedang yang dihunusnya. Sebagai khalifah yang berjiwa besar dan tahu akan tanggungjawabnya, beliau tidak tersinggung dengan kata-kata itu.
Malah, beliau bersyukur kerana masih ada rakyat yang sanggup membetulkannya walaupun secara kekerasan melalui pedang. Ini isyarat jelas betapa Khalifah Umar al-Khattab terkenal seorang yang tegas masih sanggup menerima teguran rakyat dan diperbetul menggunakan pedang.
Pemimpin masa kini yang jauh mengatasi kepemimpinan Umar al-Khattab seharusnya tidak tersinggung, terkilan, merasa jauh hati apatah lagi rasa tercabar atau dimalukan jika ada rakyat dan rakan yang sama berjuang dalam wadah kepimpinan menegur cuma dengan kata-kata.
Abu Dhar al-Giffari pernah menegur Mu`awiyah bin Abi Sufiyyan, yang pada ketika itu menjawat jawatan penguasa wilayah Syam, lantaran pembazirannya dalam projek pembinaan istana mewah Qasr al-Khadra'.
Abu Dhar berkata, "takutlah kepada Allah... sesungguhnya harta ini bukan harta kamu dan bukan harta ayah kamu. Andainya ia memang harta kamu sekalipun, ia adalah suatu lambang kemewahan dan pembaziran. Andainya ia diambil daripada harta rakyat maka ini adalah suatu pengkhianatan."
Begitu juga al-`Izz bin `Abd al-Salam, yang digelar Sultan al-Ulama atau sultan bagi ulama, pernah bersuara dengan agak lantang membantah keputusan dan tindakan pemerintah yang memungut cukai khas daripada rakyat untuk membiayai kos peperangan.
Bagi beliau, rakyat tidak perlu mematuhi pekeliling yang dikeluarkan pemerintah di zaman al-Mamalik Mesir pada ketika itu, sebaliknya harta kekayaan yang dihimpun oleh pemerintah itulah yang sepatutnya membiayai kos peperangan berkenaan.
Begitu juga Mundhir bin Sa'id yang mengkritik Khalifah Abd al-Rahman al-Nasir membangunkan projek mewah di bandar al-Zahra, Sepanyol sebagai pembaziran yang nyata. Khalifah akhirnya menerima kritikan dengan lapang dada dan menyederhanakan projek pembangunan itu.
Walau bagaimanapun, cara memberi nasihat dalam bentuk teguran itu mesti beradab, penuh berhikmah, meyakinkan dan menyenangkan supaya mesej hendak disampaikan benar-benar didengari oleh penerima.
Pemberi nasihat menepati ciri seorang pendakwah. Al-Quran memaparkan kisah Nabi Musa dan Nabi Harun yang dititah Allah supaya mendatangi Firaun dengan bahasa yang lunak dan sopan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Surah Taha, ayat 43-44)
Begitu juga dengan kisah Khalifah al-Ma'mun ibn Harun al-Rashid, khalifah kerajaan Bani Umayyah, yang pernah didatangi seorang pendakwah mengkritik kepimpinannya dengan bahasa yang keras dan pedas.
Reaksi khalifah, "Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat daripada aku dan Nabi Musa itu lebih baik daripada kamu, namun demikian Nabi Musa menggunakan bahasa yang lunak."
Memberi nasihat tidak seharusnya diiringi dengan rasa benci dan dendam kesumat kerana nasihat sukar diterima jika elemen kebencian tersemat dalam diri pemberi nasihat. Malah nasihat dan benci amat bertentangan antara satu sama lain.
Sehubungan itu, al-Marhum al-Shaykh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah Bayna al-Muslimin mendedahkan pengalamannya berdialog dengan Almarhum al-Imam Hasan al-Banna.
Sebagai orang muda yang masih menuntut pada ketika itu mempamerkan semangat pemudanya dengan bertanya kepada al-Imam Hasan al-Banna, "Kenapa kita tidak membenci si polan dan si polan."
Dengan tegas al-Imam Hasan al-Banna menjawab, "Jangan sekali-kali menaruh kebencian terhadap seseorang! Kamu boleh membenci perbuatan mereka tetapi mintalah petunjuk buat mereka. Bukankah sebaik-baik saja terjadinya musibah dalam peperangan Uhud, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah! Berikanlah petunjuk kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui."
Begitulah budaya nasihat menasihati akan terus berlangsung selagi manusia memerlukan manusia lain untuk membantu kehidupannya. Manusia berakal waras akan mematuhi nasihat baik yang memandu kehidupannya di dunia dan di akhirat tanpa melihat siapa yang memberi nasihat itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment