Oleh Faridah Maludin
TUNTUTAN AGAMA: Berarak sambil berselawat ketika meraikan Maulidur Rasul antara bukti kecintaan umat kepada Rasulullah SAW.
Mengingati hari kelahiran pemangkin kecintaan hakiki kepada Rasulullah SAW
ULANG tahun kelahiran Rasulullah SAW atau Maulidur Rasul disambut dengan pelbagai upacara sambutan dan aktiviti keagamaan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, kampung dan sekolah.
Umat Islam menyambutnya dengan satu niat yang sama, yakni menyatakan tanda ingat, rasa kecintaan dan kasih kepada Rasulullah SAW. Mencintai Rasulullah SAW samalah mencintai agama.
Sesiapa menerima keesaan Allah, tetapi menolak kecintaan terhadap Rasulullah SAW, bermakna masih tidak lengkap keimanannya, tidak sempurna agamanya. Kalimah syahadah yang menjadi lambang pengesahan keimanan turut merangkaikan ungkapan persaksian kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Kita memiliki keyakinan bahawa Islam itu hadir membawa rahmat yang sekali gus memancarkan keindahan agama maha suci. Rahmat yang hadir bersama terutusnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW 1400 tahun lalu.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak Kami utus engkau wahai Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107)
Kita mencintai Rasulullah SAW kerana Baginda membawa risalah kebenaran. Rasulullah SAW diutus bersama akhlaknya yang sempurna, sebagai asas moral kepada semua lapisan masyarakat.
Rasulullah SAW memang seorang manusia yang patut dirindui serta dicintai melebihi insan lain di dunia ini. Malangnya kadang-kadang kita terlupa untuk mengenali Baginda dengan lebih mendalam hingga membuahkan keimanan yang dapat menghidupkan jiwa kerana menjadikan Baginda sebagai qudwah dan ikutan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa'i)
Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)
Orang yang benar-benar mengasihi dan mencintai Rasulullah akan sentiasa menzahirkan pernyataan kasih sayang itu dalam segenap dimensi kehidupan. Mereka akan menyemai rasa kasih, membesarkan kedudukan Baginda dan menentang penghinaan atau cercaan terhadap Baginda.
Ulama besar al-Imam al-Qhadi 'Iyadh al-Yahsubi menyenaraikan dalam kitabnya, Al-Syifa' bi al-Ta'rif Huquq al-Mustafa, mengenai tanda, bukti atau dalil bagi orang yang mencintai Rasulullah SAW. Penzahiran cinta kasih, rindu dan sayang kepada Baginda akan terserlah dalam diri individu Muslim itu berdasarkan tanda berikut:
l Mengikuti agama dan cara hidup Rasulullah SAW, mengamalkan sunnah Baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya.
Sentiasa mengamalkan adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira.
l Mereka yang mencintai Nabi SAW akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas Baginda. Selawat kepada Rasulullah SAW adalah ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada Baginda.
Islam memberi ganjaran lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW kerana Baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas Baginda.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya." (Surah al-Ahzab, ayat 56)
Dalam hadis diriwayatkan Anas, bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu dia berkata, "Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku hari kiamat? Jawab Baginda: Apakah yang sudah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat? Jawab lelaki itu: Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, berpuasa (puasa sunat) atau bersedekah, tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasul-Nya. Maka sabda Baginda: Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
l Antara tanda orang yang mencintai Baginda ialah membenci apa yang dibenci Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunnahnya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariat.
Allah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, atau anak mereka, atau saudara mereka atau kaum keluarga mereka sendiri." (Surah al-Mujadalah, ayat 22)
l Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri Baginda Aisyah mengungkapkan bahawa akhlak Baginda adalah al-Quran.
Tanda kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan apa juga perintah yang dibawa Rasulullah SAW kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa juga larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya." (Surah al-Hasyr, ayat 7)
Masyarakat Islam hari ini berdepan dengan gejala hilang jati diri, jauh dari agama, runtuh akhlaknya serta lemah semangat jihad. Penghayatan terhadap ajaran Islam semakin menipis dalam diri. Umat Islam semakin jauh daripada ajaran yang dibawakan Rasulullah SAW.
Sedangkan, ancaman daripada musuh terhadap umat Islam semakin memuncak. Ancaman itu menjauhkan umat Islam daripada membina kecintaan sebenar kepada apa yang sepatutnya mereka cintai.
Mengingati hari kelahiran Rasulullah SAW diharap dapat menjadi pemangkin kepada membangun kecintaan hakiki kepada Baginda. Semoga dengan itu, umat Islam terutama generasi muda hari ini berjaya membina benteng kekuatan untuk menepis dan menghalang segala ancaman dan bahaya.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan juga pengarah PAKSI (Pusat sokongan keluarga) yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com
INTIPATI:
Memupuk kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW
Mengamalkan sunnah Baginda.
Melaksanakan semua suruhan dan menjauhi larangannya.
Mengikuti agamanya.
Mengamalkan cara kehidupannya.
Sentiasa ingat dan berselawat.
Mengamalkan adab kehidupan Baginda ketika susah atau senang.
Memandang berat perkara yang bercanggah syariah.
Membaca dan beriman kepada al-Quran.
Friday, March 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment