Friday, April 24, 2009

Filem wajar jadi wadah, senjata sebar risalah Islam

Oleh Amran Zakaria

MEMPERKATAKAN kerja dakwah bermakna kita melakukan usaha menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali Islam, menerima dan menghayatinya yang dilaksanakan menerusi kaedah, cara serta pendekatan tertentu.

Pendekatan dakwah yang diambil seboleh-bolehnya tidak terlalu stereotaip. Adalah dicadangkan supaya pendekatan dakwah bergerak mengikut peredaran masa dan kecanggihan teknologi yang semestinya dimanfaatkan secara berkesan.

Teknologi yang amat berkesan dan berpengaruh hari ini ialah multimedia seperti video, audio, gambar, grafik, animasi dan teks untuk menyampaikan maklumat. Multimedia kini menjadi instrumen sangat berpengaruh dan berkesan.

Sejarah merekodkan filem pertama diperoleh dari Barat dibawa masuk ke dunia Islam oleh ahli keluarga kerajaan Uthmaniyah dan pengimport tempatan ketika peralihan abad ke-20. Filem pertama ditayangkan di Istana Sultan di Istanbul.

Sementara pekerja filem Islam menghasilkan filem mereka sekitar 1930-an. Sehingga Perang Dunia Kedua, jumlah penghasilan filem mereka tetap kecil. Pada 1960-an, industri filem dunia Islam mulai muncul, sekalipun jumlah penghasilannya jauh lebih kecil berbanding dihasilkan Barat.

Cita rasa umat Islam terhadap filem amat rendah dibandingkan dengan Barat yang sememangnya mengguna dan memanfaatkan filem untuk dijadikan senjata memusnahkan sosiobudaya masyarakat Islam mulai peringkat awalnya pengeluaran filem mereka.

Filem tidak dinafikan banyak menyalurkan maklumat dan memberi hiburan kepada penonton. Peranan filem penting terutama selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat dinafikan. Melalui medium itu sesuatu maklumat menjadi lebih mudah untuk disampaikan kepada kumpulan sasaran.

Penyelidik Barat sudah lama membuat penyelidikan dan mencongak strategi bagaimana cara dan kaedah untuk merombak pemikiran masyarakat Muslim supaya melihat Barat sebagai bangsa yang dikagumi.

Mereka menuntut masyarakat Muslim untuk kagum dan hormat kepada bangsa mereka. Pendekatan itu sebenarnya menjadi senjata perang saraf untuk melumpuhkan idealisme orang Islam. Serangan Barat terhadap orang Islam melalui filem semakin berani.

Contohnya, filem Fitna yang diterbitkan produksi di Belanda dimiliki Ahli Parlimen negara itu, Geert Wilders. Filem itu memaparkan penganut agama Islam yang kononnya membudayakan keganasan dalam kehidupan.

Filem selama 15 minit yang disiarkan dalam laman web Liveleak.com pada 27 Mac 2008 mengkritik Islam dengan menunjukkan surah al-Quran berlatarbelakangkan imej keganasan bagi tujuan memaparkan kepada dunia takrif sebenar Islam melalui pemesongan mereka.

Firman Allah bermaksud: “Mereka ingin memadamkan (tersebarnya) cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah enggan sebaliknya Dia akan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang kafir tidak suka.” (Surah at-Taubah, ayat 32)

Sepatutnya kita lebih kagum dengan Islam dan berusaha menyampaikan keindahan Islam kepada orang lain dan memanfaatkannya berdasarkan sumber penyebaran yang boleh diguna pakai termasuk melalui filem.

Umat Islam seharusnya menggunakan medan tempur baru untuk mempertahankan diri melalui penghasilan seberapa banyak filem berorientasikan keagamaan yang berupaya menyebarkan risalah keamanan dan kedamaian seperti dianjurkan agama.

Filem yang memenuhi aspirasi umat Islam mestilah memenuhi ciri filem yang disyaratkan syariat seperti pandangan Syeikh Yusof Qardawi mengenai maksud filem iaitu alat untuk memberikan pendidikan disamping hiburan. Ia perkara halal dan baik bahkan membawa kepada perkara dituntut tetapi perlu menjaga daripada perkara ditegah oleh syarak.

Filem Sang Murabbi: Mencari Spirit Yang Hilang umpamanya adalah sebuah filem biasa, tetapi cukup hebat dan memberi kesan mendalam kepada penonton. Filem diadaptasi dan berkisarkan kisah hidup sebenar tokoh pendakwah dan Ahli Parlimen terkenal Indonesia iaitu K H Rahmat Abdullah.

Beliau adalah reformis dakwah yang cukup komited menyampaikan gambaran realiti Islam sebenar kepada masyarakatnya tanpa mengenal erti penat dan letih sepanjang filem ini hendak disiapkan.

Melihat kekuatan dan kejayaannya, filem wajar menjadi wadah menyebarkan risalah agama bagi menggantikan filem Barat yang kehilangan arah dan lebih tertumpu kepada usaha melemahkan saraf minda orang Islam.

Filem juga boleh menjadi saluran maklumat untuk menjelaskan pertuduhan Barat bahawa Islam agama yang menghidupkan keganasan sedangkan Islam agama menyeru kepada keamanan dan perdamaian untuk menciptakan keharmonian serta keindahan sebenarnya.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

No comments: