Sunday, April 12, 2009

Persoalan Agama: Bayar upah lebih tidak dianggap rasuah

Bersama Jakim

Soalan:

SAYA seorang pelanggan tetap sebuah kedai perkhidmatan membaiki komputer di kawasan rumah saya. Atas alasan puas hati dengan perkhidmatan diberikan, saya lazimnya membayar lebih daripada caj dikenakan. Namun seorang rakan mendakwa perbuatan saya itu rasuah kerana memberi imbuhan bagi menjadikan diri pelanggan disenangi pemilik kedai dan ini bertentangan dengan ajaran Islam. Apakah dakwaannya itu betul sedangkan saya tidak mempunyai niat seperti itu langsung.

MOHD AMIN,
Pulau Pinang.

Jawapan:

Aktiviti rasuah adalah perbuatan yang haram di sisi Islam. Mereka yang terbabit dengan amalan rasuah adalah dilaknat dan berdosa kerana ia boleh merosakkan masyarakat di mana sesuatu pekerjaan tidak akan dilakukan dengan ikhlas dan sempurna kecuali 'dibayar' terlebih dulu. Perbuatan rasuah juga menyebabkan seseorang melanggar undang-undang, mengenepikan amanah dan tanggungjawab serta melakukan kezaliman kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah melaknat orang yang memberi rasuah, orang yang diberi rasuah dan orang yang menjadi orang tengah (antara kedua-dua pihak terbabit)." � (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Merujuk kepada persoalan di atas, sebagai peniaga, bayaran yang diminta berkemungkinan menepati pertimbangannya dari sudut keuntungan yang diperoleh, kuantiti dan kualiti perkhidmatan diberikan.

Maka, pemberian tambahan itu adalah ikhlas daripada anda kepadanya sebagai hadiah atau sedekah, tanda penghargaan dan terima kasih. Perbuatan seperti itu tidak bersalahan dengan akhlak Islamiah. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui akan keadaan mereka." (Surah an-Nisa' : ayat 39)

No comments: