Wednesday, April 29, 2009

Iqra: Panduan tingkat keharmonian rumah tangga

Judul: 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam
Penulis: Zawiyah Hassan dan Rohayati Bakri
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM17.50 (Semenanjung) RM19.50 (Sabah/Sarawak).

ISLAM menggariskan undang-undang perkahwinan lengkap bagi memelihara kepentingan umat manusia. Segala peraturan dan disiplin dalam perkahwinan bertujuan memelihara kepentingan suami isteri serta zuriat mereka.

Perkembangan institusi perkahwinan membentuk masyarakat Islam daripada pelbagai bangsa dan keturunan bagi memakmurkan alam. Namun, kebelakangan ini berlaku kepincangan institusi keluarga mengakibatkan gejala sosial dalam masyarakat semakin menjadi-jadi. Antara punca gejala itu kerana tidak mengikut peraturan dan panduan ditetapkan Islam.

Buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam memberi maklumat dan panduan bagi membantu mereka yang menghadapi masalah perkahwinan mencari penyelesaian terbaik seterusnya meningkatkan iltizam menjaga keharmonian rumah tangga.

Dibahagikan kepada empat bahagian, buku setebal 257 halaman membicarakan isu serta persoalan sebelum perkahwinan merangkumi tujuan perkahwinan, merisik dan meminang, sama taraf, bertunang dan haram berkahwin.

Bahagian dua pula mengupas persoalan berlaku ketika perkahwinan seperti isu berlainan pegangan agama, pernikahan dan kenduri kahwin, poligami serta hal membabitkan perceraian iaitu talak, rujuk, tebus talak dan nafkah.

Mutaah, nafkah anak serta penjagaan anak selepas perceraian dimuatkan dalam bahagian tiga yang turut membincangkan masalah wasiat dan harta pusaka. Bahagian empat ialah isu semasa antaranya harta sepencarian, sumbang mahram serta masalah dihadapi masyarakat hari ini.

Buku yang disusun dalam bentuk soal jawab itu cuba merungkai masalah daripada sudut agama kerana tidak dinafikan ada sesetengah pihak memandang ringan hukum hingga menjadikan ia satu budaya yang diterima masyarakat.

Contohnya, wanita bertunang pergi dan balik dari pejabat dijemput serta dihantar tunangnya. Bagi ibu bapa hari ini perbuatan itu dilihat biasa kononnya untuk memberi peluang mereka mengenali hati budi masing-masing sebelum menjadi suami isteri.

Pertunangan bukan tiket untuk pasangan melakukan sesuka hati. Itu bagi yang sudah bertunang tetapi ada juga yang belum mempunyai ikatan tetapi hubungan seperti pasangan suami isteri.

Justeru, buku 501 Soal Jawab Perkahwinan Islam sewajarnya menjadi teman kepada suami, isteri, pasangan bertunang dan pembaca umum supaya dapat memahami lebih lanjut mengenai perkahwinan serta bagaimana dapat dilayari rumah tangga supaya sentiasa mendapat keredaan Allah.

No comments: