Wednesday, April 29, 2009

Hak ibu bapa tak terputus jika anak peluk Islam

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Keputusan jemaah menteri belum jadi peraturan, sedia terima pandangan

KEPUTUSAN Kabinet bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agamanya, diterima dengan rasa terkejut dan perasaan cemas 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Keputusan Kabinet itu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada NGO Islam, mufti serta pakar perundangan Islam. Dalam kenyataan bersama serta beberapa pandangan mufti dan badan profesional, menyarankan keputusan itu dikaji semula kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mahkamah Persekutuan serta hukum syarak.

Keputusan Kabinet mengecewakan NGO Islam kerana ia diambil tanpa perbincangan dengan pihak yang mungkin terkesan daripada pengumuman. Sebagai NGO Islam yang terbabit secara langsung dengan masalah berkaitan proses pemelukan Islam oleh penganut agama lain, sewajarnya maklum balas mereka diambil kira.

Hakikatnya, bantahan NGO terhadap keputusan itu bersandarkan kepada alasan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia serta Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya". Berdasarkan peruntukan itu persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan status agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, atau ditetapkan penjaganya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai ibu bapa.

Perkataan 'parent or guardian' pada perkara 12 (4) bermaksud ibu atau bapa atau penjaga, bukan ibu bapa atau penjaga. Ia bermakna ibu atau bapa sudah cukup untuk menentukan status agama anak.

Peruntukan itu diterjemahkan dalam kes Teoh Eng Huat lawan Kadi Pasir Mas (1990) 2 MLJ 300 dan keputusan Mahkamah Tinggi (1986) 2 MLJ 228. Dalam kes itu, seorang bapa membawa tindakan terhadap kadi yang mengislamkan anak perempuannya yang dilahir dan dibesarkan sebagai penganut Buddha ke mahkamah.

Seseorang belum mencapai 18 tahun tidak ada hak untuk memilih agamanya sendiri tanpa kebenaran ibu atau bapa atau penjaganya. Dalam membuat keputusan, mahkamah merujuk kepada laporan suruhanjaya dan menekankan soal keharmonian agama.

Perlu ditegaskan walaupun Islam ditetapkan agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, hak penganut agama lain tetap dijaga mengikut Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Penentuan status agama anak apabila ibu bapa memeluk Islam perlu dilihat kepada aspek hukum syarak dan perundangan Islam. Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

Peruntukan akta itu jelas bahawa ibu atau bapa atau penjaga mempunyai kuasa untuk membenarkan seorang anak bawah umur 18 tahun memeluk Islam tertakluk kepada keizinan bapa atau ibu atau penjaga anak itu.

Kes R Subashini lawan T Saravanan juga menjadi rujukan kepada NGO Islam untuk meminta Kabinet menilai semula keputusan kerana Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi negara memutuskan bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan itu, agama seseorang bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya. Justeru, dalam kes ini suami berhak mengislamkan anaknya walaupun ibu tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya.

Mengikut hukum syarak jika bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak sudah berumur 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri.

Ibu atau bapa tidak Islam seharusnya tidak bimbang jika pihak satu lagi memeluk Islam dan mengislamkan anak mereka bawah 18 tahun kerana hak mereka terhadap anak itu tidak terputus. Walaupun anak memeluk agama Islam, hubungan dengan ibu atau bapanya tidak akan terputus.

Seseorang yang masuk Islam adalah soal hidayah Allah. Persoalan sama ada seseorang memeluk Islam atas tujuan lain di luar batas kita untuk menentukannya kerana ia membabitkan soal niat atau hati.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersama NGO Islam lain berharap keputusan dinilai semula dengan maklum balas daripada pihak terbabit secara langsung dalam proses pemelukan Islam penganut agama lain serta pakar seperti mufti dan pengamal undang-undang syariah.

Keputusan jemaah menteri belum lagi menjadi peraturan atau undang-undang, justeru masih ada ruang untuk mengkaji semula apa yang diputuskan demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan pada masa sama mengekalkan semangat hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.

Memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, bahawa kerajaan bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak, diharap suara PGSM dan 100 NGO Islam lain mendapat perhatian sewajarnya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments: