Wednesday, April 8, 2009

Iqra: Panduan berinteraksi dengan bukan Muslim, kisah srikandi beriman


Judul: Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim Penulis: Mohammad Nidzam Abd Kadir Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd Pengulas: Hasliza Hassan Harga: RM20 (Semenanjung) RM22 (Sabah dan Sarawak)


BUKU Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim memberi gambaran jelas mengenai batasan dan keindahan hidup dalam kelompok berbilang bangsa di negara ini termasuk penerangan lengkap tatacara bergaul dengan bukan Islam.

Bab satu menyentuh isu iman dan agama berkisar kepada perbahasan kongsi menyambut perayaan masyarakat bukan Islam.

Kefahaman perihal isu itu penting supaya umat Islam memahami garis panduan syarak untuk bergaul dengan masyarakat bukan Islam serta meredakan ketegangan kerana kejahilan menyebabkan berlaku perselisihan.

Ada umat Islam yang tidak membenarkan bukan Islam memasuki masjid sedangkan ada dalil serta keterangan membenarkan mereka berada dalam kawasan masjid. Begitu juga dengan perebutan jenazah dijelaskan dengan mudah bersandar dalil.

Cara menjawab salam dari bukan Islam kerana fuqaha berbeza pendapat dalam hal itu. Perkara perlu diberi perhatian apabila berjiran dengan bukan Islam sedangkan kita diharuskan berjiran dengan bukan Islam.

Selain membentangkan isu membabitkan hubungan umat Islam dengan bukan Islam, buku 12 bab ini turut membentangkan penyelesaian dan penerangan diiringi firman Allah serta hadis sahih.


Judul: Riwayat Bidadari Syurga Penulis: Munif Ahmad Penerbit: Hijjaz Records Publishing Pengulas: Hasliza Hassan Harga: RM25.90 (Semenanjung) RM27.90 (Sabah dan Sarawak)


Riwayat Bidadari Syurga mengajak pembaca menghayati dan menyusuri liku hidup serta pengorbanan srikandi Islam kerana mempertahankan keimanan mereka kepada Allah hingga sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri.

Buku menghimpunkan 32 srikandi Islam termasuk isteri Baginda SAW, Khadijah dan anakanda Baginda, Zainab, adalah teladan kepada wanita hari ini supaya dapat melayari kehidupan diredai Allah.

Kisah cinta mereka terhadap Allah, pasangan, anak, keluarga serta agama membuktikan jantina bukan penghalang atau alasan untuk mencapai kejayaan serta kebahagiaan hidup di dunia yang menjadi jambatan membina kebahagiaan di akhirat.

Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana mereka lebih penyayang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang penyayang tidak akan sia-sia.”

Itulah antara 50 keistimewaan wanita didedahkan buku Riwayat Bidadari Syurga untuk mengangkat darjat kaum hawa, seperti juga kata-kata azimat yang terus diucapkan hari ini iaitu syurga di bawah tapak kaki ibu.

Sewajarnya kisah yang diketengahkan buku setebal 244 halaman itu dibaca serta dihayati dengan penuh insaf memandangkan cabaran dihadapi wanita hari ini, mereka memerlukan semangat untuk meneruskan hidup serta memenuhi tanggungjawab.

Walaupun kita tidak mungkin mampu meletakkan nama sebaris serikandi Islam, kita perlu berusaha untuk memperbaiki diri serta meningkatkan keimanan supaya dapat bersama nama indah yang sudah terukir di syurga.

No comments: