Monday, April 6, 2009

Tadbir urus korporat Islam utama kebajikan sosial

Oleh Rohami Shafie

Pengurusan tak berhemah Barat punca kes penipuan syarikat terhadap pelabur, wang rakyat

TADBIR urus korporat adalah istilah yang sering kali diperkatakan di kalangan pemimpin negara, golongan korporat, ahli akademik dan orang awam. Istilah itu sebenarnya sudah lama bermula di Amerika Syarikat (AS) sejak 1980-an lagi, manakala di Malaysia, ia bermula sejak krisis ekonomi 1997/1998.

Punca utama ia diperkatakan pada waktu itu, kerana pihak Barat menyalahkan negara Asia tidak mengamalkan tadbir urus korporat yang baik. Malaysia juga dipersalahkan kerana kononnya tidak mempunyai tadbir urus korporat yang baik, tidak telus dan tidak membuat pendedahan mencukupi.

Jika dilihat apa yang terjadi kepada ekonomi AS dan Barat sekarang ini, bolehkah mereka mampu mempertahankan bahawa mereka sudah mengamalkan tadbir urus korporat yang baik? Dulu mereka menyalahkan negara kita, kini apa sudah terjadi kepada mereka?

Bermula kes skandal korporat Enron, skandal korporat terbesar dalam sejarah AS pada 2001, sehinggalah krisis subprima, tidaklah keterlaluan dikatakan AS dan Barat sendiri masih terpinga-pinga mencari maksud dan inti pati sebenar tadbir urus korporat.

Dalam skandal korporat Enron, penipuan terancang antara juruaudit syarikat dan pengurusan atasan dilakukan secara terperinci dengan memanipulasikan laporan kewangan. Syarikat mengalami kerugian dinyatakan memperoleh keuntungan.

Begitu juga dalam krisis subprima, penipuan terancang bagi pihak bank untuk mengaut keuntungan berlebihan. Ini menggambarkan bahawa ada satu yang tidak kena dengan tadbir urus korporat ala AS dan Barat. Bagaimana pula dengan tadbir urus korporat Islam?

Perbezaan ketara antara tadbir urus korporat Islam dengan tadbir urus korporat barat ialah pegangannya. Tadbir urus korporat Islam berdasarkan tauhid dan hanya semata-mata kerana Allah.

Islam itu 'Addin' dan ini menunjukkan Islam amat menyeluruh dalam kehidupan seharian, sehinggakan bagi urusan tadbir urus korporat pun, ia mesti dilaksanakan semata-mata kerana Allah. Islam bukan hanya setakat hal keagamaan, tetapi meliputi semua perkara dalam kehidupan.

Bagaimana pula dengan tadbir urus korporat Barat? Barat lebih mementingkan rasional dalam kehidupan mereka. Bermakna hanya berdasarkan pemikiran logik semata-mata. Apa yang baik untuk mereka secara logik, diperkenalkan dalam tadbir urus korporat.

Sedangkan apa yang baik secara rasional tidak semestinya baik untuk dilaksanakan kerana manusia tidak mampu membuat keputusan terbaik hanya semata-mata berlandaskan rasional tanpa adanya pegangan lebih kukuh iaitu pegangan agama. Itu perbezaan utama di antara tadbir urus korporat Islam dan Barat.

Disebabkan oleh pegangan Barat terhadap pendekatan rasional, maka mereka mengejar keuntungan paling maksimum. Keuntungan itu diberikan semula kepada pemegang saham. Apa yang terjadi kepada umat manusia sama sekali tidak perlu difikirkan.

Inilah yang terjadi kepada bank di AS. Mereka memberi pinjaman kepada orang awam hanya semata-mata ingin mendapatkan keuntungan paling maksimum tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

Keuntungan daripada pinjaman itu akhirnya dipulangkan kepada pemegang saham saja. Sementara pihak pengurusan pula terkejar-kejar dengan bonus kewangan yang bersifat duniawi semata-mata.

Contoh mudah, walaupun American International Group (AIG), syarikat insurans terbesar di dunia diselamatkan oleh kerajaan AS akibat masalah kewangan, eksekutif mereka masih mementingkan diri sendiri apabila mengisytiharkan bonus untuk mereka sebanyak AS$165 juta (RM594 juta).

Cuba bayangkan betapa ramainya rakyat AS yang tiada rumah dan tidur di kaki lima tidak tentu hala kerana masalah kewangan yang membelenggu, sementara eksekutif AIG pula dengan mewahnya menggunakan wang rakyat untuk diri sendiri.

Islam tidak mengajar umatnya melakukan perkara sedemikian. Dalam tadbir urus korporat, berdasarkan pegangan tauhid yang kuat terhadap ke-Esaan Allah, Islam mengajar umatnya mementingkan keseluruhan masyarakat.

Kepentingan itu mesti berdasarkan lunas syariah. Islam itu menyeluruh maka bukan hanya semata-mata untuk menjaga kepentingan pemegang saham, tetapi juga orang awam. Contoh, konsep tanggungjawab sosial korporat yang diuar-uarkan dalam tadbir urus korporat Barat adalah sebahagian daripada tadbir urus korporat Islam.

Perkara ini sudah lama diperjuangkan Islam, padahal baru kini Barat ingin memperjuangkannya. Inilah cantiknya Islam yang sudah diketahui kebanyakan cendekiawan Barat, mereka dengan bongkaknya tidak mengakui kehebatan Islam bahkan cuba menyorok fakta sebenar tadbir urus korporat Islam.

Mengikut Islam, lembaga syariah mentadbir urus syarikat, manakala untuk tadbir urus korporat Barat, ahli lembaga pengarah menjalankan tugas itu. Ahli lembaga syariah terdiri daripada golongan berpendidikan agama seharusnya memastikan perniagaan dijalankan mengikut prinsip syariah yang betul, mementingkan ummah dan tidak terbabit aktiviti perniagaan haram.

Perniagaan juga mesti dijalankan secara jujur supaya mendapat keberkatan Allah. Ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: "Dan Kami mengutuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Syuaib. Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya sudah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Maka sempurnakanlah tukaran dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang tukaran dan timbangannya, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu betul-betul orang beriman." (Surah al-A'raf, ayat 85)

Sementara ahli lembaga pengarah dalam tadbir urus korporat barat berfungsi untuk memastikan syarikat memperoleh keuntungan semaksimum yang boleh untuk kepentingan pemegang saham.

Berbalik kepada skandal korporat Enron, ahli lembaga pengarahnya menggunakan pendekatan menipu pelabur dengan mengisukan laporan kewangan palsu. Tujuannya untuk memaksimumkan keuntungan pemegang saham tidak kira apa cara sekalipun.

Akhirnya, pelabur baru tertipu dengan membeli saham syarikat itu kerana berpendapat syarikat memperoleh keuntungan besar sedangkan pemegang saham utama yang mengetahui penipuan ini sudah menjual saham mereka pada kadar yang mahal.

Apabila penyelewengan ini diketahui umum, pelabur berkenaan mengalami kerugian besar. Beribu-ribu pekerja bawahannya kehilangan pekerjaan selepas Enron diisytiharkan muflis.

Di bawah lembaga syariah, ada majlis syura yang terdiri daripada pemegang saham dan pembabitan masyarakat. Pembabitan masyarakat penting kerana apa saja dilakukan syarikat pastinya memberi kesan kepada masyarakat sama ada secara langsung atau tidak.

Pembabitan masyarakat dalam syarikat membolehkan syarikat mengetahui sejauh mana mereka mementingkan masyarakat dan ini secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

Tadbir urus korporat Islam, pembabitan pihak berkuasa amat minimum sekali berbanding tadbir urus korporat Barat. Pembabitan pihak berkuasa yang tinggi menyebabkan pelbagai peraturan, prosedur, undang-undang dan akta diperkenalkan.

Islam memudahkan kehidupan umatnya dan tidak menyusahkan dengan pelbagai peraturan. Inilah konsep sebenar sepatutnya diamalkan dalam tadbir urus korporat bagi menjaga kemaslahatan ummah manusia secara keseluruhannya.


Penulis ialah Pensyarah Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

No comments: