Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Penyucian jiwa tuntut umat mohon keampunan, tekad tidak mengulangi dosa lalu
SUDAH namanya manusia, sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada disengaja, ada pula tidak disedari, tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali ada yang suka mempersenda hukum Ilahi, terlupa tiba masanya kita perlu berserah pada Empunya segala-galanya.
Kala itu, usah berasa terlambat, kerana kita sememangnya ketinggalan daripada orang lain yang puas memungut rahmat dan berkat kehidupan untuk dibawa sebagai bekalan kemudian hari.
Kehidupan di dunia penuh dugaan dan cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu tidak baik, kadangkala hasad dengki membelenggu hati hingga tidak dapat menerima hakikat kelebihan orang lain.
Dunia ini penuh dengan permainan melalaikan, walau cuba mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga apatah lagi jika balasannya lambat tiba, tidak berasa janji Allah itu akan sampai akhirnya.
Firman Allah bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am, ayat 32)
Benar manusia boleh dibohongi tetapi bukan Dia Yang Maha Kuasa. Sebab itulah negeri akhirat itu pasti, kepada yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dengan kezaliman terhadap diri sendiri, pastilah kegembiraan ditunggu bagai tidak sabar dirasai, tetapi jika sebaliknya tentulah balasannya tidak tertanggung.
Akal dikurniakan Allah untuk berfikir supaya kita tidak mengulangi kesalahan sama berulang kali, sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba di dunia ini. Mana yang hak dan mana yang batil, usaha sendiri memilihnya, apa yang halal dan apa yang haram pula jangan dikompromi sehingga menjadikan hati kita buta.
Walaupun mencuba menjadi hamba yang baik dan taat, kadangkala kita lalai serta terlupa. Kata hati rupanya tidak semuanya memihak kepada kebenaran, bahkan ada kalanya membuka pekung di dada. Justeru, segala keterlanjuran jangan sampai kita tidak bertaubat, jika di akhirat ingin selamat.
Menyesali dosa yang dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu jika itu membuatkan kita terus 'merindui' kejahatan dan kemaksiatan, sebaliknya kenanglah ia sebagai pengajaran tidak mungkin berulang.
Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah At-Tahriim, ayat 8)
Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi dosa dan kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mesti menyesali dosa yang sudah dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Inilah dikatakan menyucikan diri, menghilangkan segala kotoran terlekat di hati mudah-mudahan kebaikan itu mendorong kepada pembersihan jiwa sebenar.
Kita juga harus berjanji mengelak daripada melakukan dosa selagi hidup melainkan jika tidak disedari. Seboleh-bolehnya hidup hendaklah dipandu dengan garis panduan dimuktamadkan Allah dan Rasul-Nya yang sememangnya membantu kita menggapai kebahagiaan hakiki serta abadi.
Segala bentuk maksiat dan ingkar terhadap perintah Allah hendaklah dimohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, walau apa juga bentuknya perlulah disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil.
Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan. Apabila hati sudah memperoleh cahaya, segala dosa ingin dibersihkan dengan rela, inilah masanya kita perlu terus berusaha.
Penangguhan akan memungkinkan seribu tragedi yang boleh menggagalkan hasrat pengampunan kita daripada Yang Esa. Usahlah ditangguh peluang, kerana ajal bila-bila masa akan datang dan syukurlah jika sempat menyedari dosa dan kejahilan serta tekad tidak akan mengulanginya.
Firman Allah bermaksud: "Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah an-Nisaa', ayat 18)
Mengingati bahawa hidup ini hanya sementara, maka perlulah berhati-hati apabila berbuat dan berkata, bimbang jika ada hati terluka. Bukan mudah meminta ampun atas segala dosa kerana hati yang disakiti lukanya sukar sembuh, bahkan parutnya pasti akan mengingatkan segala.
Sungguhpun begitu, selagi ada usia, selagi itulah pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan kita sombong dan malu memohon ampun dan maaf daripada sesiapa, bahkan Allah Maha Pengampun terhadap hambanya.
Firman Allah bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri dengan melakukan maksiat kemudian ia memohon ampun kepada Allah nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisaa, ayat 110)
Paling penting, jangan berputus asa, jika kita benar-benar mengharapkan rahmat-Nya, lakukan seberapa terdaya, selagi tidak menutup mata, mohonlah keampunan-Nya kerana pintu taubat sentiasa terbuka.
Firman Allah bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan yang mereka lakukan dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan." (Surah Asy-Syuura, ayat 25)
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment