Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
Al-Quran, al-Sunnah rujukan terbaik selesaikan sengketa antara ummah
AL-QURAN sebagai rujukan utama tamadun Islam sarat pelbagai mesej menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan ummah. Sesungguhnya semangat bersatu padu membentuk umat yang menjunjung dasar persaudaraan.
Allah berfirman bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Al-Quran juga menunjukkan kesan buruk persengketaan supaya menjadi pengajaran yang tidak wajar diulangi sama ada melalui bentuk penceritaan atau pernyataan umum. Dalam sambungan ayat itu, Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa nabi Allah). Dan mereka yang bersifat sedemikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-Imran, ayat 105)
Golongan berpuak dan sering bersengketa diisyaratkan Allah sebagai mencontohi perbuatan golongan musyrik. Ini disebut dalam firman-Nya bermaksud: "Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal bakti) serta bertakwalah kamu kepada-Nya, dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna, dan janganlah kamu menjadi daripada mana-mana golongan orang musyrik. Iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka, mereka berselisih mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (daripada fahaman dan amalan yang terpesong itu)." (Surah al-Rum, ayat 31-32)
Seperti ditegaskan pada awal perbincangan, sesungguhnya kesatuan, kesepakatan dan perpaduan adalah faktor kepada pembentukan umat terbaik. Pengiktirafan Allah bahawa umat Islam adalah umat terbaik dijelaskan melalui firman-Nya bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad), adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)
Pengiktirafan umat Islam sebagai umat terbaik mesti memenuhi tiga syarat iaitu umat itu mesti menjalankan tugas menyeru kepada kebaikan, mencegah perlakuan mungkar serta beriman kepada Allah dengan iman yang sahih, benar dan sempurna.
Syeikh Wahbah al-Zuhayli dalam tafsirnya menyebut, apabila tiga syarat ini tidak lagi dipenuhi, maka pujian Allah kepada umat Islam sebagai umat terbaik akan hilang dan akan menjadi punca kepada kejatuhan umat Islam secara keseluruhannya.
Ciri ini menyamai sifat yang dimiliki sebahagian ahli kitab kerana mereka adalah golongan yang tidak mencegah kemungkaran berlaku di sekeliling mereka, beriman dengan sebahagian isi al-Quran serta kitab terdahulu. Bahkan mereka secara jelas menerima kerasulan sebahagian nabi seperti Nabi Musa dan Nabi Isa, tetapi menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Merujuk fakta sejarah, punca kepada pergeseran yang membawa perpecahan sesama umat Islam daripada perbalahan pendapat yang akhirnya menjadikan umat Islam terpecah kepada pelbagai fahaman politik, fanatik mazhab dan kecelaruan pemikiran.
Bahkan ketika hayat Nabi SAW dan sahabat, Baginda sudah memperingatkan umat Islam bahaya perpecahan dan perbalahan. Pada haji perpisahan tahun ke-9 hijrah, ketika menyampaikan khutbahnya Baginda bersabda bermaksud: "Janganlah selepas kematianku kamu kembali kepada kekufuran, saling bertelagah dan berbunuhan sesama kamu, sesungguhnya aku sudah tinggalkan kamu sesuatu yang mana jika kamu berpegang teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selamanya iaitu al-Quran dan sunnah nabi-Nya."
Selepas kewafatan Baginda SAW, ruang berlakunya perselisihan semakin melebar. Ketika peperangan antara tentera Saidina Ali dengan Muawiyah kerana berebut jawatan Khalifah, keadaan umat Islam sudah berpecah, tetapi masih pada peringkat boleh diselamatkan.
Peperangan antara Ali dan Muawiyah berakhir apabila wakil Ali, Abu Musa al-Asyaari mengumumkan peletakan beliau sebagai Khalifah seperti dipersetujui dalam perbincangan dengan wakil Mua wiyah, Amru al-As.
Namun, Amru yang sepatutnya mengumumkan peletakan jawatan Khalifah oleh Muawiyah seperti dipersetujui dalam perbincangan dengan Abu Musa al-Asyaari sebaliknya mengumumkan bahawa Muawiyah bin Abu Sufyan adalah khalifah yang sah.
Begitulah bagaimana permulaan perpecahan amat dahsyat di kalangan umat Islam bermula apabila pihak yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Muawiyah menyalahkan Saidina Ali dan menghalalkan darah kedua-dua Ali dan Muawiyah serta membentuk kumpulan Khawarij.
Sementara penyokong Muawiyah berpesta dengan kemenangan dan kebijaksanaan pemimpin mereka, penyokong Saidina Ali yang setia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Muawiyah yang merampas hak jawatan khalifah disandang Saidina Ali.
Akhirnya perbalahan siasah makin merebak dan menjadikan umat Islam hingga kini berpuak-puak dan sering berbalah sesama sendiri. Tidak dapat dinafikan perbezaan pendapat suatu yang tidak dapat dielakkan, tetapi janganlah sampai ke tahap permusuhan yang akhirnya merugikan umat Islam.
Jalan keluar kepada permasalahan sudah dijelaskan lebih awal oleh Baginda SAW yang menyarankan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Semoga umat Islam bersedia membuka ruang persepakatan ke arah melahirkan umat contoh dan terbaik serta menjunjung nilai terpuji saranan agama bagi merealisasikan pembentukan generasi Islam cemerlang, gemilang dan terbilang.
Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment