Tuesday, April 28, 2009

Tajdid Iman: Usah merendah nilai Islam melakukan jenayah ilmu

Oleh Dr Juanda Jaya


BELAJAR dengan bimbangan pakar atau guru adalah cara terbaik untuk menambah ilmu. - Gambar hiasan


Al-Quran tetap benar tanpa perlu teori manusia serba lemah yang pasti belum berakhir

SAAT ini ramai manusia mengalami tekanan akibat kekejaman dunia, amukan tsunami ekonomi dan politik kucar kacir yang menjadikan kehidupan semakin susah. Kesan putus asa terhadap keadaan ini menyebabkan mereka tercari-cari agama untuk mendapatkan ketenangan.

Maka muncullah ajaran baru berjenamakan Islam moden bagi menyediakan khidmat menyejuk hati manusia yang tertekan ini. Daripada yang berharga murah meriah, hingga beribu gebu untuk satu pakej bimbingan mencari 'ketenangan jiwa', dengan kepelbagaian teknik profesional dan mempesona, daripada berjubah hingga bertali leher, secara tradisional kuno hingga menggunakan khidmat teknologi maklumat terkini serta canggih.

Pendekatan hipnosis ala karismatik Kristian Evangelical digunakan bagi menghipnosis, mengkhayalkan dan mempesona 'pengikut' dengan lantunan zikir yang ada kala membelai jiwa serta diiringi muzik klasik syahdu menusuk jiwa.

Ada pula yang ganas seolah-olah merempit, berpusing-pusing sambil menari, memukul dada dengan iringan 'alat muzik rock' sambil bernasyid memuja syeikh didakwa boleh menyinarkan lampu cahaya Allah SWT di hati mereka.

Muncul pula ajaran songsang yang mempercayai sudah muncul nabi baru membawa 'wahyu' hasil bisikan hatinya, yang kononnya boleh memberi kekayaan dan berkat bagi sesiapa mengikutnya.

Ada pula mengamalkan meditasi umpama yoga Hindu, disulami zikir hasil ciptaan 'nabi baru' yang sama sekali tidak pernah diajarkan Nabi terakhir, Muhammad SAW. Ada cuba mempercayai 'keberkatan' nombor tertentu, sebelum membina bangunan dan melakukan pekerjaan dan urusan.

Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengkaji tafsiran al-Quran sebagai wahyu panduan, tetapi mereka pula menyesatkan umat dengan mengkaji nombor pelik terdapat dalam al-Quran. Gurunya amat terlatih menggoda, mesra 'alam' terlampau dan pandai mengambil hati.

Walaupun tanpa kelulusan diiktiraf mana-mana institusi agama tersohor, atau mungkin hanya bersahabat dengan ulama kontroversi pegangan agamanya, lantas ahli ekonomi dan pakar psikologi ini berani menceroboh dan bercakap mengenai akidah Islam serta tauhid yang murni.

Mereka menafsir nama dan sifat Allah SWT mengikut 'suara hati', padahal latar belakang pendidikannya mendatangkan keraguan terhadap tafsiran Islam mereka. Yang pasti, ia dibuat sesuka hati, sesuai pakej jualan agama baru mereka.

Akhirnya murid berasa cukup dengan mendengar suara hati dan tak perlu melalui kepayahan mujahadah menuntut ilmu. Usaha mengkaji al-Quran dan kitab hadis pun akhirnya tidak penting lagi dan ditolak.

Apa yang disampaikan itu sebenarnya suatu bentuk candu yang mendatangkan nikmat high and fly dan meresap ke dalam hati, mereka tidak perlu menulis, membaca dan mengkaji, hanya memadai mendengar suara hati.

Aneh dan sungguh hebat dakwaan palsu ini. Nabi yang dapat wahyu terus dari langit pun tidak dapat kemampuan sebegini. Sedangkan Baginda sepatutnya lebih layak tahu rahsia penciptaan manusia melalui dokongan wahyu langit, malangnya Allah SWT kekal menjadikan rahsia itu tidak akan disingkap untuk sesiapa.

Oleh itu apakah benar jika hanya dengan mendengar suara hati saja manusia boleh menghayati Islam. Adakah itu ilmu yang diwariskan Nabi SAW? Padahal sahabat Baginda SAW dan golongan salafus salih bersabar mencari ilmu melalui bacaan dan tadabbur ribuan ayat al-Quran dan jutaan hadis yang mesti dikaji, dihayati dan diamalkan.

Bukan kerana mereka tiada aktiviti lain selain bersama Rasulullah SAW dalam majlis ilmu, bahkan mereka adalah pejuang dan tentera yang tangkas, boleh diarah berperang serta-merta jika dikehendaki untuk memerdekakan Islam di belahan dunia lain.

Mereka juga adalah peladang dan petani yang memiliki ladang kurma yang luas, mereka juga adalah usahawan dan hartawan berniaga sampai ke luar negara mengambil masa berbulan-bulan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW menegaskan bahawa Baginda SAW hanya mewarisi ilmu. Dan ilmu itu hanya ada pada ulama yang berautoriti. Jika seseorang hendak belajar ilmu perubatan, apakah relevan jika dia berguru kepada pakar ekonomi yang jahil ilmu perubatan? Bukankah pelik?

Tetapi masa kini, manusia tidak berasa pelik jika belajar akidah dan tauhid daripada seorang guru zikir, pakar motivasi atau seorang guru ekonomi. Janganlah merendahkan nilai Islam dengan melakukan jenayah sebegini. Ilmu Islam itu tinggi, mulia lagi bersyarat dan ada disiplin yang ketat bagi sesiapa yang mahu mengajar dan belajar.

Janganlah mempergunakan Islam untuk kepentingan dunia. Masih banyak lagi barang lain yang halal lagi bersih boleh dijual, jangan jual jenama Islam untuk melariskan produk. Itu perbuatan haram yang berat namanya.

Usaha untuk mengislamkan apa-apa saja produk tidak bermakna seseorang sudah bersih daripada fahaman sekular, seolah-olah mereka bangga dengan slogan jangan pisahkan Islam daripada ekonomi, politik, sains dan segala urusan dunia.

Padahal sebenarnya mereka boleh jadi tanpa sengaja atau memang sengaja mencampurkan yang hak dengan batil, nilai bukan Islam dicampur dengan Islam dan diberi jenama baru semata-mata untuk kepentingan tertentu. Islam yang asli dan bersih hanyalah Islam mengikut al-Quran dan al-Sunnah dalam bentuk serta caranya.

Jika bermaksud hendak mengkaji ilmu politik, sains, fizik, biologi, psikologi, pengurusan atau ekonomi dalam al-Quran, jangan sesekali memaksa idea dan hasil kajian itu kononnya setaraf nilai al-Quran kerana ia boleh mencemarkan kesucian wahyu al-Quran.

Lebih-lebih lagi jika kajian ilmu manusia dikaitkan terus dengan akidah. Ulama al-Azhar pernah menolak fahaman yang menyatakan kajian sains sudah membuktikan kebenaran al-Quran hasil pencarian seorang saintis Perancis, Maurice Bucchaiel.

Apakah al-Quran perlu kepada pembuktian sains? Sedangkan al-Quran itu wajib diimani walaupun tanpa pembuktian sains kerana ia wahyu Allah SWT yang maksum daripada kesilapan. Ilmu hasil pemikiran manusia tidak akan setanding dengan al-Quran, kerana manusia hanya menggunakan akal terbatas.

Bagaimana jika hasil penemuan mereka didapati tidak relevan lagi pada masa akan datang, apakah mereka akan mengatakan al-Quran juga tidak relevan lagi? Ada mendakwa ilmu sains saudara kembar al-Quran mengapa ilmu hasil pemikiran akal manusia yang kerdil boleh berkembar dengan wahyu Allah yang tidak akan tercapai seluruh akal makhluk pun?

Bukankah sains bersifat subjektif, berubah-ubah dan sementara bahkan dapat dipatahkan oleh hipotesis baru, sedangkan al-Quran bersifat benar, mutlak dan tuntas, tidak ada perubahan padanya. Walaupun tanpa teori Big Bang dan God Spot, al-Quran tetap benar dan tidak perlukan sokongan teori manusia yang lemah. Boleh jadi teori itu belum berakhir lagi, masih akan ada penemuan baru yang akan menguatkan ataupun malah menafikan teori lama.

Jadi, jangan kembarkan al-Quran dengan apa saja, apatah lagi ilmu orang kafir, atheis, liberalis, pluralis dan jangan cuba menyedut ilmu yang tidak bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah untuk membincangkan perkara akidah.

Tidak ada masalah jika mahu mentafsir ilmu psikologi atau pengurusan dan ekonomi berlandaskan asas Islam tetapi rujuklah kepada al-Quran yang ditafsir al-Quran sendiri dan hadis sahih. Jangan sewenang-wenang mengambil ayat al-Quran untuk membela idea yang direka cipta kemudian ayat itu dipaksa dan dikembarkan pula dengan tafsiran sarjana kafir dari Barat.

Sama seperti usaha menyampaikan Islam oleh segelintir hamba Allah SWT dalam kursus motivasi kepemimpinan yang anehnya tidak mengaku sebagai organisasi atau badan dakwah Islam padahal mereka sesuka hati mengeksploitasi al-Quran kononnya memberi pencerahan jiwa pesertanya.

Bahkan sampai ke tahap berani mentafsirkan manusia berasal daripada cahaya Allah SWT: "Jadilah cahaya yang menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari cahaya di atas cahaya." Ayat ini memang indah dan mengagumkan sesiapa mendengar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkat, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu."

Siapakah yang dicipta dari cahaya di atas cahaya? Bukankah manusia asalnya hanya dicipta dari tanah dan kemudiannya air mani, manakala roh pula ciptaan Allah SWT? Al-Quran mencurahkan semua bahawa roh adalah rahsia Allah SWT, tidak akan disingkap untuk sesiapa hakikatnya.

Jangan disoal hal itu, apatah lagi mahu menafsir akhlak manusia berasal daripada sifat Allah Yang Maha Tinggi. Tidak pernah disebut melalui lisan Nabi-Nya perkara itu. Hanya Allah SWT berada pada cahaya di atas cahaya. Jika mahu menyamakan manusia dengan sifat dan zat Allah, walau tanpa sengaja, maka sudah tentu tidak wajar kita membela fahaman sebegini.

No comments: