Oleh Azrina Sobian
TULISAN Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al Attas bertajuk Cabaran Pendidikan Tinggi antara lain menunjukkan wujudnya salah tanggapan pelajar dan masyarakat keseluruhannya terhadap bidang sains.
Menurut beliau, pelajar dan masyarakat lebih gemar melihat bidang sains dari sudut keuntungan semata-mata. Hal ini terjadi apabila bidang sains diyakini sebagai satu bidang menjanjikan peluang pekerjaan dan jawatan tinggi.
Kesannya, berlakulah kemerosotan dari segi mutu pelajar dan pada masa sama, percambahan ilmu sains menjadi begitu lemah atau mungkin tidak langsung berlaku.
Kertas kerja bertajuk Paradoks Pendidikan Sains yang dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik pada 1996 oleh Dr Mohd Najib Ab Ghafar pula menunjukkan pendapat berbeza.
Pada pandangan beliau, pelajar serta masyarakat mempunyai tanggapan lain terhadap bidang sains. Kemerosotan mutu dan bilangan pelajar dalam bidang sains kerana bidang itu dianggap kurang menguntungkan.
Oleh itu, ramai pelajar beralih ke bidang sains kemasyarakatan (sains sosial) kerana kepercayaan bahawa bidang ini memberikan peluang kerjaya yang lebih, apatah lagi apabila bercakap mengenai bidang ekonomi.
Dalam pada itu, satu kajian bertajuk ‘Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi’ (2004) pula menunjukkan 42.3 peratus rakyat Malaysia berpendapat mata pelajaran Sains adalah mata pelajaran yang sukar. Namun, tidak pula dinyatakan apakah bentuk kesukaran itu.
Kesan daripada tanggapan itu, timbul rasa takut tanpa sebab terhadap bidang dan mata pelajaran Sains, terutama di kalangan pelajar Melayu. Rasa takut ciptaan itu menjadi lebih buruk apabila kajian sama menunjukkan 32.4 peratus penduduk Malaysia menganggap pengajaran sains dan teknologi terlalu akademik.
Sebab lain yang menyumbang kepada tanggapan Sains mata pelajaran sukar adalah kurikulum mata pelajaran itu, pendekatan belajar di kalangan pelajar yang memberi tumpuan kepada penghafalan, suasana sekolah, persekitaran pembelajaran Sains dan keluarga.
Pelbagai salah tanggapan membawa kesan berbeza, namun apa yang pasti kesan itu membawa satu makna penting bahawa masyarakat Malaysia mengalami kerugian dari sudut keilmuan dan ini akan melemahkan masyarakat itu sendiri.
Sebenarnya, kemerosotan mutu dan bilangan pelajar mengambil bidang sains berlaku di seluruh dunia. Ini boleh diibaratkan sebagai keadaan ‘tidak mengenal mangsa’ kerana kemerosotan berlaku sama ada di negara maju, membangun apatah lagi negara mundur di dunia.
Jika dilihat dari sudut negara membangun seperti Malaysia, pasti ia satu keadaan menyedihkan dan merugikan kerana belumpun bidang sains di negara kita mencapai tahap membanggakan, kemerosotan pula berlaku.
Jadi, dalam keadaan ini, bilakah pula kita akan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju lain dalam bidang sains? Masalah dibawa oleh salah tanggapan masyarakat terhadap bidang sains perlu diatasi.
Penting bagi umat Islam menyedari bahawa bidang sains adalah bidang yang sangat dekat dengan diri kita. Jika masyarakat Jepun membangunkan sainsnya dengan dipengaruhi sebab pertanian dan kesihatan, maka bagi umat Islam pula, perkembangan sains berpunca daripada kepercayaan mendalam bahawa semua masalah sains adalah masalah agama (walaupun bukan semua masalah agama adalah masalah sains).
Kenyataan itu disebut Prof Dr Abdul Latif Samian dalam kertas kerja bertajuk Dasar Sains dan Teknologi: Persoalan Epistemologi bahawa kepentingan bidang sains dan matematik dalam hal zakat, sedekah, pembahagian harta, solat, muamalah untuk membuat segala alat peperangan bagi mempertahankan umat dan agama Islam.
Begitulah dekatnya bidang sains dan umat Islam. Oleh itu, bidang sains wajib diteroka dan dikuasai. Walau bagaimanapun, tidak semua ahli masyarakat memahami tuntutan meneroka dan menguasai bidang sains. Oleh itu, bagaimanakah hendak memastikan tuntutan itu difahami dan diterima semua?
Ibu bapa, guru, profesor dan pemimpin negara semuanya bertanggungjawab. Dalam hal ini, kita sendiri perlu benar-benar memahami tuntutan itu dan kemudian barulah kefahaman disampaikan kepada khalayak tanggungan misalnya ibu bapa kepada anak atau guru kepada pelajar. Kita berharap seluruh isi masyarakat dapat mengubah salah tanggapan terhadap sains.
Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment