Thursday, April 16, 2009

Berusaha mencari rezeki halal adalah perjuangan

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

DUNIA tanpa sempadan mengilhamkan pelbagai ruang dan peluang untuk mencari sumber kewangan bagi menampung keperluan hidup. Bagi yang rajin dan tekun, tiada yang mustahil, malah sesukar mana pun ranjau menghalang, mereka tetap cekal menggenapkan apa yang wajib dinafkahkan.

Apatah lagi bagi seorang suami dan bapa, walau tidak diminta, mereka wajib menyediakan seadanya supaya tiada tanggungan yang tidak terbela.

Malangnya, ada juga yang mengharapkan wang sekepuk tiba-tiba muncul depan mata tanpa perlu berbuat apa-apa. Lalu, mereka lakukan apa saja asalkan pulangannya lumayan dan tidak perlu berfikir, apatah lagi melaburkan tenaga.

Tambahan pula kecanggihan teknologi mencipta pelbagai wadah dan cara, lalu ramai yang mengambil kesempatan tanpa mengira halal haramnya.

Rezeki yang halal untuk disuapkan ke mulut anak adalah tanggungan seorang bapa, atau jika tidak berkemampuan, daripada waris si bapa.

Bukan soal senario semasa, keluhan apabila ada tanggungan dibiar kelaparan, tetapi soal segelintir kita yang sangat mudah bertimbang rasa dengan judi dan taruhan, curi dan rompakan, tipu dan rampasan, riba dan penindasan, apa saja asalkan ada wang dibawa pulang untuk anak.

Berjuang dalam kehidupan sebenarnya termasuk berusaha mendapatkan wang halal untuk menampung keperluan diri sendiri dan tanggungan serta tidak meminta dengan orang lain untuk menyuap mulut isteri dan anak.

Jika pencari rezeki tidak sanggup melakukannya, timbullah pelbagai cara 'mencari rezeki' yang mudah dan tangkas. Skim cepat kaya yang begitu cepat menular dan menarik minat pencari rezeki ingin pantas bergelar jutawan juga mudah membutakan hati hingga akhirnya bukan rezeki untuk anak dibawa pulang tetapi hutang keliling pinggang.

Setiap manusia dikurniakan kelebihan oleh Allah dan perlulah dimanfaatkan semaksimum mungkin supaya kemampuan itu dapat diwakafkan kepada ahli Islam lain yang tidak bernasib baik. Allah menyuruh kita mencari daripada apa yang disediakan dengan tidak menolak keimanan kepada-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah, ayat 10)

Sesuatu yang sering dilupakan bahawa pemberian Allah kepada setiap hamba-Nya ialah untuk sementara saja, segala kemewahan dan kesenangan bukanlah milik mutlak sesiapa melainkan Dia. Malah, berapa banyak ingin diberikan kepada yang berusaha dan berikhtiar juga tiada siapa berhak mempersoalkannya, apatah lagi mempertikaikan kelebihan rezeki orang lain.

Cuma, yang penting, setiap yang mencari rezeki haruslah berniat untuk memelihara agamanya walau apa juga bentuk pekerjaan halal dilakukan. Usah malu jika kita tidak semampu orang lain mengecap kemewahan dunia jika kita mencari rezeki halal.

Tetapi jika sebaliknya, perlu diingat aib yang akan dihadapi di akhirat kelak adalah lebih menakutkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dari Abi Hurairah berkata: Nabi SAW bersabda: Akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau haram."

Hadis itu jelas memberikan peringatan kepada yang berfikir, bahawa mempedulikan rezeki yang dicari sangatlah penting untuk menjaga agama, sehingga Rasulullah SAW meyakini hal yang sedemikian akan berlaku suatu hari nanti dan ditakuti ia sangat menghampiri.

Bukan saja memakan benda haram itu besar akibatnya tetapi yang haram bercampur dengan halal juga menyebabkan kelangsungan tidak baik.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dari Ibnu Umar katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga 10 dirham, satu dirham daripadanya wang yang haram, maka Allah tidak akan menerima solatnya selama pakaian itu masih dipakainya.

Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kerana tidak mahu mendengarkan kata-kata daripada Nabi SAW ini." (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada peringatan itu tentulah kita memahami Islam tidak akan bertolak ansur dengan sumber pendapatan daripada cara tidak dibenarkan sama sekali.

Ketika Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, pernah berlaku satu peristiwa terhadap dirinya yang menunjukkan beliau sangat bertegas terhadap sumber rezeki diperoleh dan menjadi darah daging.

Suatu hari, ketika Saidina Abu Bakar memakan suatu makanan, hambanya memberitahu makanan yang dimakannya itu adalah hasil diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam.

Lantas Saidina Abu Bakar mengeluarkan semua makanan dari mulut dan perutnya seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang dimakannya, lalu beliau ditegur. Saidina Abu Bakar berkata dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Badan yang tumbuh subur dengan makanan haram pasti akan merasai api neraka."

Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku.

Hari ini ramai yang menipu dalam perniagaan, memberatkan timbangan yang ringan, memaklumkan fakta salah kepada orang lain untuk mendorong mereka membeli dan sebagainya tidak boleh dinafikan lagi.

Ia berlaku di mana-mana dan terjadi kepada sesiapa saja. Tanpa berhati-hati dan ketegasan terhadap sumber diperoleh, sesiapa saja boleh memakan rezeki yang haram, jika ia tumbuh subur di dalam tubuh badan pasti menyebabkan kemusnahan dan kebinasaan di akhirat kelak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

No comments: