Oleh Dr Irfan Mohamad
MENDIDIK pengguna jalan raya melalui pelaksanaan Ops Sikap, penguatkuasaan undang-undang tali pinggang sama ada bagi penumpang hadapan mahupun belakang, penggunaan topi keledar dengan bentuk dan cara selamat antara penekanan yang dijangka dapat mengurangkan kadar kemalangan.
Namun, paling penting ialah sikap pemandu yang menyumbang kepada bertambahnya statistik kemalangan jalan raya di Malaysia.
Islam adalah agama sejahtera dan membawa kesejahteraan kepada penganutnya. Ajaran dan aturannya menjadi panduan dalam segenap aspek kehidupan. Solat antara amalan konsisten yang dilakukan setiap hari. Malah, dalam solat itu sendiri mempunyai elemen jika diteliti turut mengajar manusia menjadi yang terbaik dalam hubungannya dengan Ilahi dan sesama insan.
Dalam hal memandu di jalan raya, seseorang yang menjaga dan melaksanakan solatnya dengan baik seharusnya akan memberikan watak seorang pemandu yang baik apabila berada di jalan raya.
Sebelum bersolat, kita dianjurkan memastikan tempat dan pakaian berada dalam keadaan bersih lagi suci. Begitu juga dengan persekitaran yang kondusif. Aspek membuat persediaan ini juga seharusnya diguna pakai ketika memandu.
Selain membuat pemeriksaan fizikal kenderaan terutama membabitkan perjalanan jauh, persediaan keadaan diri dari segi cukup rehat, tiada tekanan ketika memandu, keupayaan memandu dalam keadaan trafik teruk menjadi elemen penting.
Solat itu sendiri mempunyai rukun dan syarat sahnya. Sesiapa yang melanggar atau tidak melaksanakan, tidak sah ibadatnya. Apabila kita berada di jalan raya, pasti kita maklum segala peraturan seperti kawasan memotong, pematuhan lampu isyarat, kewujudan jalan sehala dan berada di lorong kiri jika tidak memotong.
Jika kita berulang kali belajar dalam solat lima kali sehari pentingnya mengikut peraturan, pastinya kita sepatutnya tidak sukar mengikut peraturan jalan raya yang sememangnya dibuat untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin.
Ketenangan adalah kunci kebahagiaan. Begitu juga dalam solat seharian yang wajar ditunaikan dalam keadaan tenang. Tama’ninah dan tertib adalah sebahagian rukun solat. Justeru, apabila memandu, tidak boleh dan tidak perlu untuk kita memecut laju.
Kelajuan sememangnya membuat kita mudah hilang kawalan, selain membahayakan orang lain. Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Kebanyakan masalah di jalan raya disebabkan sikap mementingkan diri dan mengabaikan hak pemandu lain. Dalam solat, aspek menghormati makmum di sebelah amat ditekankan. Tidak boleh kita mengangkat suara sehingga mengganggu rakan di sebelah. Segala pergerakan dilakukan atas kapasiti dan ruang yang layak untuk kita saja.
Alangkah indahnya jika amalan itu turut diterapkan ketika memandu di jalan raya. Tiada lagi memotong barisan, memandu secara berbahaya dan memberi isyarat apabila hendak menukar lorong supaya pemandu lain mengetahui apa yang kita lakukan dan mengelakkan daripada kemalangan.
Solat juga mengajar kita fokus dan tidak membiarkan fikiran melayang memikirkan perkara lain. Fokus dalam solat atau khusyuk amat diberatkan kerana hanya dengannya ibadat solat itu akan mencapai kualiti seperti diharapkan.
Al-Quran juga ada menyebutkan bahawa solat adalah sesuatu yang berat melainkan kepada mereka yang khusyuk. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mu’minun, ayat 1-2)
Fokus ketika memandu akan dapat menghindarkan kenderaan dipandu melencong ke tempat tidak sepatutnya. Keadaan itu biasa terjadi jika kita memandu dalam keadaan terlalu letih atau banyak gangguan dalam kereta itu.
Diriwayatkan daripada Anas, “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bermaksud: Apabila seseorang mengantuk ketika mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).”
Kita dilarang menunaikan solat dalam keadaan mengantuk dan memandu dalam keadaan mengantuk juga membahayakan. Selaras saranan Nabi Muhammad SAW, jika pemandu mengantuk hendaklah diganti pemandu lain atau berhenti untuk tidur sebentar sebelum menyambung perjalanan.
Sifat suka menunjuk-nunjuk akan kehebatan dengan kemampuan diri atau kenderaan dipandu satu daripada punca awal kemalangan. Contohnya, jika kereta dipotong, jangan kita berasa tercabar atau ingin menzahirkan bahawa kita sebenarnya lebih hebat.
Jika ini tidak mampu dikawal maka pada saat itulah nafsu akan mula menguasai diri. Pedal minyak ditekan hingga rapat semata-mata untuk menunjukkan yang kita tidak boleh ‘tewas’. Amalan suka menunjuk kehebatan diri sifat tercela dalam Islam apatah lagi jika ia dilakukan dalam solat.
Firman Allah bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat, orang yang lalai dari solatnya, orang yang riak.” (Surah al-Maa’uun, ayat 4-6)
Sampai ke destinasi dengan selamat adalah takrifan kepada kejayaan sebuah perjalanan. Orang yang menunaikan solat berjaya apabila menghayati roh dan pengajaran yang ada di dalamnya kerana tiada suatu apa pun diciptakan melainkan disertakan sebab dan faedahnya kepada manusia baik yang jelas di dunia apatah lagi akhirat nanti, sekiranya kita berfikir.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Otorinolaringologi (ORL) Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment