Thursday, April 9, 2009

Hak Muslim: Penjaga ad-litem miliki kuasa pengawasan anak bawah umur

KES tuntutan harta saya sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Mahkamah sudah mengarahkan pihak defendan melantik penjaga ad-litem kepada anak saya yang masih bawah umur. Saya dimaklumkan bahawa penjaga ad-litem ini mempunyai kuasa penuh ke atas anak saya dan apa-apa keputusan dibuat penjaga itu akan memberi kesan kepada anak saya. Boleh saya tahu apa maksud penjaga ad-litem, siapa yang boleh dilantik dan benarkah apa dimaklumkan mengenai peranan ad-litem itu.

Bapa prihatin,
Sabak Bernam

Untuk menerangkan maksud penjaga ad-litem ini, saya perlu merujuk kepada undang-undang tatacara mal. Diharap rujukan undang-undang itu tidak mengelirukan anda. Saya akan cuba kupas dengan bahasa semudah mungkin untuk difahami.

Penjaga ad-litem ada dalam bab 2 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003. Seksyen 24 Enakmen itu memperuntukkan bahawa, “Mana-mana orang tidak berkeupayaan boleh mendakwa atau didakwa melalui penjaga ad-litemnya yang diluluskan dengan wajar oleh mahkamah.”

Orang tidak berkeupayaan didefinisikan dalam seksyen 3 enakmen sama sebagai termasuk seseorang budak, seseorang tidak sempurna akal dan seseorang yang ditegah menguruskan hartanya.

Dalam enakmen itu, tidak ditakrifkan apakah maksud ‘seseorang budak’. Tetapi dalam seksyen yang sama, ada takrifan kepada orang yang belum dewasa ertinya seseorang yang belum mencapai umur 18 tahun. Jadi dapat disimpulkan seseorang di bawah umur 18 tahun boleh ditakrifkan sebagai seorang budak.

Enakmen itu juga tidak dinyatakan siapakah boleh dilantik sebagai penjaga ad-litem kepada seseorang yang tidak berkeupayaan namun, seksyen 25 enakmen sama menyatakan sesuatu persetujuan diberikan atau pengetepian dibuat bagi pihak seorang yang tidak berkeupayaan oleh penjaga ad-litemnya dengan kelulusan mahkamah hendaklah mengikat orang yang tidak berkeupayaan itu.”

Seseorang penjaga ad-litem hendaklah diluluskan dengan wajar oleh mahkamah. Maksudnya seseorang yang ingin menjadi penjaga ad-litem perlu memohon kepada mahkamah dan mahkamah hendaklah menyiasat serta membuat pertimbangan adil, kerana kesannya apa-apa persetujuan atau pengetepian dibuat penjaga ad-litem akan mengikat orang yang tidak berkeupayaan itu.

Penjaga ad-litem juga boleh dipecat mahkamah dan digantikan dengan penjaga lain, jika ada alasan mencukupi mengikut hukum syarak yang dia wajar dipecat. Penjaga ad-litem tidak semestinya orang yang ada hubungan dengan kanak-kanak itu. Mahkamah juga boleh melantik pegawai mahkamah untuk menjadi penjaga ad-litem.

Jika dilihat hukum syarak, kuasa pengawasan (wilayah) ialah pentadbiran yang dijalankan orang sudah matang terhadap hal ehwal orang tidak berkemampuan mentadbir diri dan harta. Sementara orang yang tidak berkeupayaan itu disebut sebagai (al-qasir) iaitu orang yang tidak sempurna kelayakan melaksanakan pengurusan, sama ada tidak ada kelayakan langsung (kanak-kanak yang belum mumayyiz) ataupun keahliannya tidak sempurna.

Untuk mendapatkan pandangan dan nasihat lebih lanjut, saya sarankan anda mendapatkan khidmat nasihat peguam syarie bertauliah.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

No comments: