Wednesday, April 1, 2009

Iqra: Buku bincang perbandingan pendapat Al-Ghazali dengan teori Greek

Judul: Al-Ghazali and His Theory of The Soul A Comparative Study Penulis: Noor Shakirah Mat Akhir Penerbit: Universiti Sains Malaysia Pengulas: Hasliza Hassan

NAMA sebenarnya ialah Abu Hamad Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali. Beliau digelar 'Al-Ghazali' bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (al-Ghazzal). Ada yang menyatakan mengambil sempena kampung kelahirannya, Ghazalah.

Beliau berasal daripada keluarga miskin. Bapanya seorang ahli Sufi yang sangat warak. Bapanya mempunyai cita-cita tinggi iaitu ingin melihat anaknya menjadi orang alim dan salih.

Imam Al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir dan ahli falsafah Islam terkemuka hingga kini. Beliau sangat mencintai ilmu pengetahuan dan menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Beliau sanggup meninggalkan segala kemewahan hidup untuk bermusafir demi mencari dan menuntut ilmu.

Beliau mengembara ke beberapa tempat seperti Makkah, Madinah, Mesir dan Baitulmaqdis untuk mendalami ilmu falsafah yang dipelajarinya. Ketika dalam pengembaraan, beliau menulis kitab Ihya Ulumiddin yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan pemikiran Islam dalam semua masalah yang masih menjadi rujukan pada masa kini.

Ihya Ulumiddin yang merangkumi ilmu akidah, fekah, falsafah, akhlak dan tasauf. Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana Allah.

Beliau terkenal sebagai ahli falsafah Islam yang mengharumkan nama ulama Islam di Eropah melalui hasil karyanya yang bermutu tinggi. Beberapa hasil karya Imam Al-Ghazali diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa untuk dijadikan rujukan penuntut pusat pengajian tinggi.

Buku Al-Ghazali and His Theory of The Soul A Comparative Study memfokuskan idea psikologi Al-Ghazali dengan teori ahli falsafah Greek seperti Plato, Aristotle dan Plotinus yang memperlihatkan keunikan pemahaman beliau mengenai personaliti manusia.

Perkara ini dibincangkan dalam bahagian pertama merangkumi perbandingan pendapat dengan teori Greek diikuti perbincangan berikutnya menyentuh teori mengenai jiwa atau roh dan bagaimana ia mempengaruhi personaliti manusia.

Buku setebal 308 dan mengandungi tujuh bab itu adalah usaha penulis untuk menyelami hasil kerja terbaik al-Ghazali itu sesuai menjadi rujukan selain mendalami ilmu berkaitan personaliti manusia dari perspektif Islam.

No comments: