Wednesday, April 8, 2009

Bersama YaPEIM: Emas, perak dicadang ukuran nilai semua transaksi kewangan

KEMELESETAN ekonomi akan mengakibatkan kegagalan orang awam melangsaikan hutang pinjaman dan pembiayaan. Jika bank Islam mengambil sikap sama seperti bank konvensional dengan menutup akaun dan mengisytiharkan muflis terhadap pelanggan, maka tindakan itu pastinya tidak berupaya meningkatkan apatah lagi melindungi pemilikan kekayaan ummah.

Setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan bank Islam sudah berjaya meningkatkan ekonomi ummah. Di Pakistan dan Sudan, di mana keseluruhan bank mengamalkan perbankan Islam pun, mengalami kegagalan dalam sistem sedia ada.

Kajian membuktikan bahawa kadar kemiskinan di Sudan meningkat walaupun perbankan Islam dilaksanakan keseluruhannya. Bank Islam tidak seharusnya menjadi perbankan rizab sebahagian jika benar-benar ingin menyumbang ke arah kebaikan ummah.

Fokus bank Islam tidak seharusnya kepada kaedah pembiayaan pinjaman seperti Murabaha, BBA dan Ijarah. Ia harus mengambil kira aktiviti berbentuk ‘pengurusan dana’ serta mengambil risiko menggunakan lebih banyak kaedah Musharakah.

Bagi pembiayaan rumah, koperasi perumahan Islam sesuai dilaksanakan. Kaedah itu menggunakan konsep sewa berbanding faedah dan ia memberi manfaat kepada pembeli. Pembeli boleh memperoleh rumah dengan cepat berbanding BBA yang banyak merugikan pembeli.

Institusi kewangan Islam lain seperti zakat, wakaf dan baitulmal turut berperanan penting meningkatkan ekonomi ummah. Institusi zakat contohnya dapat diperbaiki dengan beberapa kaedah, seperti menggalakkan orang ramai membayar zakat, ketelusan dalam pengagihan wang zakat dan mempelbagaikan cara pengagihan wang zakat.

Institusi wakaf seperti diabaikan. Dalam sejarah dunia Islam, institusi wakaf memainkan peranan utama dalam pembiayaan, pembangunan dan pengurusan ekonomi empayar Islam. Banyak kemudahan awam dibiayai dengan harta wakaf.

Oleh demikian, wakaf seharusnya dikaji semula bagi membiayai sistem persekolahan, universiti, hospital dan sebagainya. Wangnya juga boleh dimanfaatkan bagi membiayai pendidikan golongan miskin atau program penyelidikan.

Baitulmal berperanan besar mengurus sistem kewangan Islam. Dalam ekonomi dinar, ia boleh memainkan peranan sebagai pembuat duit dan penjaga emas. Dinar emas akan menjaga serta mempertahankan kekayaan ummah.

Apabila kita menerima dolar sebagai mata wang antarabangsa, mereka boleh menciptanya begitu saja lalu membeli barang daripada seluruh dunia. Itulah yang dilakukan dengan wang yang digunakan untuk menyelamat syarikat yang dicipta Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani krisis kewangan.

Kebanyakan wang itu digunakan untuk membeli barang dari luar AS kerana ia mampu melakukan apa saja mengikut kehendak mereka memandangkan masyarakat dunia sudah mengiktiraf dolar sebagai mata wang antarabangsa. Kini wang itu digunakan untuk menaja lebih banyak peperangan, contohnya di Palestin dan akan datang dengan Iran.

Bank Islam, sebahagian daripada sistem perbankan rizab sebahagian turut terbabit dalam keseluruhan permainan ini. Untuk itu, dalam usaha meningkatkan ekonomi ummah, pendekatan menyeluruh diperlukan. Bukan hanya peranan bank Islam perlu diteliti, malah institusi kewangan lain, turut harus dikaji.

Memandangkan kejatuhan kewangan sedang merebak ke seluruh dunia, pasti ia akan turut memberi kesan kepada perbankan Islam dan institusi kewangan lain. Kerapuhan kredit diakibatkan krisis ini menyamai krisis kewangan melanda pada 1997. Ia akan mengakibatkan ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat, kelembapan perniagaan dan sebagainya. Harga dan nilai aset akan turut jatuh.

Fenomena itu berlaku disebabkan sistem kewangan yang ada membenarkan bank ‘mencipta wang’ semudah memberi pinjaman dengan mengenakan kadar faedah atau menggunakannya membeli pelbagai aset dijual balik, disewakan seperti dalam kewangan Islam. Untuk itu, kerajaan sepatutnya menghalang penutupan dalam keadaan ini kerana ia akan menyukarkan rakyat akhirnya.

Saat ini, kita seharusnya mengakui gagasan murni bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan penggunaan dinar emas, khususnya bagi urusan perniagaan antarabangsa. Malaysia seharusnya menjual hasil minyak, petroleum serta barangan eksport lain dengan tukaran nilaian emas.

Dalam situasi politik ekonomi global kini, apa seharusnya dilakukan institusi kewangan Islam dalam meningkatkan dan mempertahankan ekonomi ummah ialah mengkaji emas dan perak sebagai ukuran nilai dalam semua transaksi kewangan. Emas dan perak dijadikan ukuran nilai mata wang dalam prinsip Syariah bukanlah sesuatu yang sia-sia, pasti terkandung hikmahnya.

INTI PATI

# Institusi kewangan Islam lain seperti zakat, wakaf dan baitulmal turut berperanan penting meningkatkan ekonomi ummah. Pendekatan institusi ini perlu dikaji dalam menangani krisis ekonomi global.

# Sistem kewangan yang ada membenarkan bank ‘mencipta wang’ semudah memberi pinjaman dengan mengenakan kadar faedah atau menggunakannya membeli pelbagai aset dijual balik, disewakan.

# Dalam meningkatkan dan mempertahankan ekonomi ummah ialah mengkaji emas dan perak sebagai ukuran nilai dalam semua transaksi kewangan.

Sambungan kertas kerja penasihat (Ekonomi) Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)

No comments: