Tuesday, April 21, 2009

Tajdid Iman: Al-Quran, sunnah panduan raih ketenangan hidup

Oleh Dr Juanda Jaya


MEMBACA dan mendalami kandungan al-Quran mampu menjadikan jiwa tenang, kuat serta dikurniakan rahmat Illahi.


JIKA ada mendakwa tidak bahagia dengan Islam yang dianuti, kerana al-Quran dibaca tidak dikenal maknanya dan ajaran Islam diamal secara ritual tidak melahirkan kesedaran maknanya, maka orang mengalami perjalanan hidup sebegini sedang dalam kebingungan yang dahsyat.

Hakikatnya mereka tidak perlu bingung, sedih dan banyak soal dalam mencari ketenangan hidup jika mahu menghayati Islam mengikut bimbingan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Adalah dikhuatiri mereka akan terus mengalami keraguan dalam hati terhadap ajaran Rasulullah SAW jika terus membiarkan hati bertanya yang bukan-bukan, membiarkan hati bebas menyuarakan jeritannya tanpa panduan wahyu.

Alangkah berbahaya jika seseorang mengosongkan mindanya tanpa panduan wahyu dan memilih sendiri lintasan dalam hatinya. Pendekatan berbahaya sebegini cuba dilakukan segolongan pakar motivasi masa kini yang cuba 'mempakejkan perkahwinan' Islam yang murni dengan pendapat kafir jahiliah yang tidak mengenal Allah apatah lagi wahyu Ilahi.

Sebenarnya, tanpa al-Quran dan al-Sunnah, mana mungkin manusia boleh memilih dan menentukan yang mana satu bisikan malaikat dan mana satu hasutan syaitan laknatullah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya syaitan mempengaruhi dalam lintasan hati manusia dan malaikat juga ada pengaruhnya. Pengaruh syaitan ialah mengilhamkan manusia melakukan kejahatan dan membantah kebenaran. Adapun lintasan malaikat ialah mengilhamkan melakukan kebajikan dan membenarkan kebenaran." (Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasa'i dan Ibnu Hibban)

Hanya hamba Allah terdidik jiwanya dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW mampu membezakan kebenaran dan kebatilan. Bukan semata-mata kerana mengikut bisikan hati yang sudah dikosongkan daripada pengaruh apapun.

Jika seseorang melepaskan dirinya daripada pengaruh al-Quran dan al-Sunnah serta membiarkan hatinya mencari-cari dan meneka antara haq atau batil, maka lama-kelamaan jiwanya akan memberontak dan cuba mentafsirkan Islam mengikut acuan hati dan nafsunya sendiri, yang pasti akan membawa kepada kehancuran.

Bagaimana jika jiwanya dipengaruhi oleh fahaman materialistik, maka sudah tentu dia akan mentafsir Islam ikut idea materialistik. Begitu pula jika dia terpengaruh dengan fahaman sekular, sosialis, kapitalis atau liberalis.

Jika didengar di dunia Barat ada satu penemuan baru mengenai fungsi otak ketiga yang dinamakan 'god spot'. Lalu bagai melatah berebut-rebutlah sebahagian orang Islam mengatakan itu adalah prinsip Islam. Sejak bila pula kafir jahiliah kenal Allah dan tahu di manakah 'signal' ketuhanan itu boleh 'diterima' dan 'diaktifkan'.

Jika nanti ditemukan otak kelima atau keenam, adakah mereka akan melatah juga, bahawa itu adalah kebenaran sesuai dengan prinsip Islam? Bagaimana jika suatu hari nanti sarjana Barat tiba-tiba menemukan kesilapan hasil kajian mereka mengenai 'god spot' itu, bukankah akan jelas amat memalukan.

Islam tidak sama sekali bermaksud menumpulkan ketajaman minda manusia untuk mencari jawapan atas apapun persoalan atau melarang kajian ilmiah dilakukan atas nama ilmu pengetahuan. Bahkan al-Quran menyuruh hamba Allah berfikir, bertadabbur, mengkaji, tapi dengan syarat ikut jalan yang Rasulullah SAW lalui.

Tetapi jangan sampai kajian mengenai perkara ghaib pun hendak diterjemahkan dengan akal yang kemampuannya amat terbatas. Perkara mustasyabihat dilarang sama sekali untuk dipersoalkan. Apapun, kajian masalah ilmu duniawi diberikan kebebasan oleh Baginda SAW sendiri melalui sabda bermaksud: "Kamu lebih memahami urusan dunia kamu."

Tetapi, jika terbabit dengan masalah akidah tauhid maka ia hak mutlak al-Quran dan al-Sunnah untuk menjawab setiap persoalan manusia mengenai hal itu. Tidak dibenarkan berkompromi dalam masalah akidah dan rujukannya hanya wahyu.

Juga dilarang membebaskan akal manusia yang rendah untuk menjawab ketinggian hakikat ketuhanan, apatah lagi hanya menggunakan hati dan jiwa kotor untuk memahaminya. Tiada pilihan lain, manusia hanya perlukan wahyu dan bimbingan Rasul untuk mendaki ketinggian tauhid.

Seperti masalah suara hati, keyakinan mengenai sifat dan nama Allah dalam Asmaul Husna yang boleh dilebur dengan akhlak manusia, mentafsirkan roh manusia berasal dari zat Allah sehingga sifat Allah itu berada dalam diri manusia.

Manusia yang mencari jati dirinya dengan cuba memahami prinsip sebegini sebenarnya terlalu berani menceroboh dan melanggar batas dijaga oleh wahyu. Bukankah al-Quran sudah menjawab pertanyaan mengenai roh bahawa urusan roh itu hanyalah urusan Allah yang ghaib tanpa wujud mana manusia pun yang tahu dan mampu menyingkap hakikatnya. Ia menjadi hak mutlak Allah untuk tidak membuka rahsia-Nya kepada manusia.

Jika ada mentafsirkan roh yang ditiupkan ke dalam diri anak Adam adalah dari zat Allah, maka sesungguhnya dia cuba menceroboh daerah kekuasaan Allah dan cuba menerapkan fahaman sesat 'Wehdatul Wujud' sebagai kesudahannya. Rasulullah SAW tidak pernah mengkhabarkan sedemikian bagi urusan amat sulit ini, maka fahaman sebegitu hanya fahaman orang yang tidak kenal hakikat tauhid.

Islam menerapkan disiplin paling ketat dan tegas dalam soal akidah. Jika dalam aspek ibadah, akhlak, adab dan muamalat timbul ikhtilaf yang banyak, namun ia bukan bermakna seseorang boleh mengambil pendapat sesuka hati tanpa disiplin ilmu serta dalil bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah.

Inikan lagi persoalan tauhid yang paling mudah menerima pengaruh percampuran agama lain, ideologi, adat, budaya atau sejarah suatu bangsa serta pengaruh ilmu falsafah, kalam dan yang paling terkini bernama pluralisme agama.

Ia suatu bentuk agama baru bersifat global, fahaman menyatakan semua agama adalah baik kerana lahir dari suara hati yang membisikkan kebaikan. Inilah idea cuba diserap dalam jiwa umat Islam moden yang mendakwa tidak cukup membaca al-Quran dan ibadah ritual untuk menjawab setiap persoalan hatinya yang selalu memberontak.

Padahal, sebenarnya dia tidak sabar mendaki anak tangga berjuta banyaknya dalam menuntut ilmu Islam. Takkanlah baru belajar membaca huruf al-Quran dengan makhraj yang betul sudah putus asa kerana tidak memahami maknanya. Lalu hatinya ragu-ragu, sedih dan putus asa mencari makna hidup.

Lalu dia pun merajuk dan menganggap belajar membaca al-Quran sudah tidak relevan lagi. Dia perlu belajar sesuatu yang cepat dan terus membawanya ke puncak kenikmatan perasaan, kepuasan hati dan ketenangan jiwa.

Padahal untuk menghayati Islam, seorang hamba Allah perlu duduk lama dengan ulama yang berautoriti dan diyakini thiqahnya, seraya menadah ilmu dengan sabar, banyak bertanya, mengamalkan apa dihayati dan mencari ketenangan hati dengan banyak membaca, bermuzakarah dan berdiskusi ilmu syarak.

Dia mesti meletakkan keutamaan tinggi untuk belajar Islam di samping komitmen keduniaan yang dijalani setiap hari. Jika untuk ilmu dunia manusia sanggup membelanjakan segala harta, masa dan nilai hidupnya, kenapa untuk agama yang menjadi tunjang hidup dunia dan akhirat mereka tidak mahu berusaha lebih kuat.

Paling penting ialah dia wajib mencari Islam dengan mengikuti jalan sunnah Rasulullah SAW. Jika dia cuba menggunakan cara selain daripadanya maka sebenarnya usaha itu sudah tertolak dengan sendirinya oleh agama.

Sesungguhnya bidaah zaman moden sudah muncul di sana-sini dalam pelbagai bentuk dan wajah. Jika dulu orang gemar menyembah kubur, memakai tangkal dan azimat, sekarang lebih canggih lagi penemuan baru dalam menyampaikan unsur bidaah.

Teknologi terbaru yang terkini, hebat, menghiburkan, penuh unsur falsafah mengelirukan, mereka mendakwa sudah mengenal dan menghayati Islam dalam jangka masa tiga hari saja melalui simbol dan rumusan angka tertentu, kemudian hati berasa yakin inilah kesempurnaan Islam dicari.

Sahabat Baginda SAW dan golongan salafus saleh bersabar mencari Islam melalui bacaan dan tadabbur ribuan ayat al-Quran serta jutaan hadis yang mesti dikaji, dihayati dan diamalkan.

Tiada jalan lain, hanya ilmu dituntut mengikuti jalan sunnah Rasulullah SAW boleh merungkai kekusutan jiwa seorang hamba Allah.

Bersambung minggu depan

No comments: