Sunday, April 12, 2009

Ulul Albab: Mengaplikasi konsep menteri dalam al-Quran

Oleh Abdurrahman Haqqi


BARISAN jemaah menteri adalah penyokong dan tonggak utama kepemimpinan dan pentadbiran negara.


Amanah, tidak tamak serta utama kepentingan rakyat antara ciri kepemimpinan kerajaan Islam silam

PERBEZAAN ketara antara kitab al-Ahkam al-Sultaniyah yang di dalamnya dibahas persoalan berkaitan menteri dan kementerian, karangan al-Mawardi (w 405H) dan buku Menteri-Menteri Malaysia 1955-2008 yang dilancarkan awal tahun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) adalah perbezaan antara teori dan amalan.

Jika kitab yang pertama disebut membincangkan teori menteri dalam sejarah khalifah Islam hingga zaman Imam al-Mawardi yang wafat pada 405 Hijrah, maka buku yang terakhir disebut memperkatakan mengenai 'sepak terajang' 117 menteri Malaysia sejak pramerdeka hingga awal 2008.

Selain kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah, al-Mawardi menulis satu kitab khas yang membincangkan konsep menteri dalam Islam iaitu kitab Qanun al-Wizarah wa Siasah al-Mulk (Tata Tertib Kementerian dan Polisi Pemerintahan). Ada lagi khazanah ilmu Islam mengenai menteri ini iaitu kitab Qanun al-Wizarah wa al-Isharah ila man Nala al-Wizarah (Tata Tertib Kementerian dan Nasihat Bagi Sesiapa Yang Menjadi Menteri) karangan Ali bin Munjib al-Sairafi. Satu lagi kitab rujukan lama mengenai pentadbiran kerajaan termasuk kementerian adalah kitab Subh al-A'sha karangan al-Qalqashandi.

Dalam kitab di atas menteri disebut 'al-wazir' sedangkan perkataan 'wazir' disebut al-Quran pada dua tempat iaitu dalam surah Taha ayat 29 dan Surah al-Furqan ayat 35. Dalam kedua-dua ayat ini kata 'wazir' tidak diterjemah 'menteri' saja, tetapi ia juga diterjemah dengan 'penyokong'. Bagaimanapun, kata 'penyokong' lebih luas ertinya kerana menteri juga termasuk di dalamnya. Barisan jemaah menteri adalah penyokong dan tonggak utama kepemimpinan dan pentadbiran negara.

Perkataan wazir berasal daripada kata 'wizr' yang mempunyai makna bebanan atau tanggungan kerana wazir memikul bebanan dan tanggungan pemerintah. Ia disebutkan beberapa kali dalam al-Quran termasuk ayat yang maksudnya: "�dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja." (Surah al-An'am: 164)

Satu lagi kata yang disebut al-Quran adalah 'wazr' yang bermaksud ditumpu.

Mungkin ia juga satu daripada sebab mengapa menteri disebut wazir dalam bahasa Arab kerana dia adalah pusat tumpuan orang ramai dalam soal berkaitan kehidupan mereka.

Wazir juga berasal daripada perkataan 'azr' yakni 'belakang' kerana pemerintah mendapat kekuatan dari menteri seperti tubuh badan mendapat kekuatan dari belakang.

Ketika Nabi Musa mula memikul tugas risalah dan kenabian, Baginda berasakan ada sesuatu yang kurang pada dirinya, oleh itu Baginda memohon kepada Allah maksudnya: "Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku, iaitu Harun, saudaraku." (Surah Taha: 29-30)

Harapan Nabi Musa untuk mendapatkan sokongan ini adalah maksudnya: "Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku." (Surah Taha: 31) Sedangkan tugas Nabi Harun yang dimohon Nabi Musa adalah maksudnya: "Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku." (Surah Taha: 32)

Dengan sokongan saudaranya itu, maka Nabi Musa akan lebih selesa menjalankan tugasnya seperti maksud ayat al-Quran: "Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu, dan supaya kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu, sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami." (Surah Taha: 33-35)

Ketetapan Allah untuk memberikan seorang penyokong kepada Nabi Musa ini kerana tugas berat Nabi Musa yang akan diutus kepada Firaun. Al-Quran menyebut maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa dan kami lantik saudaranya � Nabi Harun, sebagai menteri bersertanya. Lalu Kami perintahkan: "Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami; maka (kesudahannya) Kami binasakan kaum itu sehancur-hancurnya." (Surah al-Furqan: 35-36)

Dalam sejarah Islam, pemerintahan Islam tidak pernah kosong daripada kewujudan menteri yang menyokong dan memperkuat kepemimpinan. Abu Bakar menteri Nabi Muhammad SAW; Umar bin al-Khattab menteri Abu Bakar; Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib menter Umar; Ziyad bin Abihi adalah menteri Muaawiyah bin Abi Sufyan, pengasas Khalifah Umawiyyah; dan Abu Salamah al-Khalla' adalah menteri Abul 'Abbas, pengasas Khalifah Abbasiyah.

Pada masa Khalifah Abbasiyah � al-Mawardi hidup pada zaman ini � dikenal dua jawatan menteri iaitu Wazir Tafwid atau menteri yang berkuasa dan Wazir Tanfiz atau menteri pelaksana, eksekutif. Dalam konteks pemerintahan moden, yang pertama boleh disamakan dengan Perdana Menteri, manakala yang terakhir adalah jemaah menteri.

Wazir ini dalam Islam seperti ditulis al-Mawardi dikehendaki mempunyai beberapa sifat antaranya amanah, supaya dia tidak mengkhianati apa pun perkara yang diamanahkan kepadanya dan tidak menipu pada perkara yang dia diminta nasihat mengenainya; petah bercakap iaitu supaya khabar yang disampaikannya dapat dipercayai dan larangannya dipatuhi; tidak bersifat tamak haloba supaya dia tidak dapat dipengaruhi untuk menerima rasuah dalam apa juga tugasnya dan tidak terpedaya sehingga dia bersikap cuai.

Wazir Tanfiz juga harus mempunyai sifat tidak bermusuh dan tidak berdendam dengan orang lain kerana permusuhan akan mengaburi sifat adil dan rasa dendam akan menegah sifat kasih sayang; dia juga mesti cerdik dan pandai supaya perkara yang dihadapinya tidak mendatangkan keliru sehingga dia kesamaran dan supaya perkara itu tidak terlindung daripadanya sehingga perkara itu bercampur aduk, kerana azam yang kuat tidak dapat dibuat dengan adanya kesamaran. Begitu juga kemantapan tidak akan wujud jika disertai oleh keadaan yang bercampur aduk dan tidak jelas.

Wazir Tanfiz juga mesti mempunyai sifat yang tidak dikuasai oleh hawa nafsu kerana hawa nafsu boleh mengeluarkannya daripada kebenaran kepada kesalahan, dan dia akan ragu serta dalam keadaan samar dalam menghadapi pelbagai perkara iaitu mana yang benar dan mana yang salah, kerana hawa nafsu itu boleh menipu fikiran dan memalingkannya daripada kebenaran; dia juga mesti bersifat bijaksana dan berpengalaman kerana sifat ini boleh membantu dalam mengeluarkan buah fikiran yang sihat dan mentadbir dengan baik sebab pengalaman itu suatu kepakaran yang boleh memberi kesan kepada suatu perbuatan.

Sengaja penulis tidak memasukkan sifat atau syarat lelaki dalam senarai sifat Wazir Tanfiz di atas kerana pada masa ini ia sudah tidak relevan untuk dibincangkan seperti membincangkan masalah hamba sahaya atau budak.

Seorang ulama terkenal yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Islam silam, Taqiyuddin al-Subki (w 771H) dalam kitabnya Mu'id al-Ni'am wa Mubid al-Niqm (Pemberi Nikmat dan Pemusnah Petaka) menyenaraikan 13 perkara yang patut dilakukan oleh orang yang menerima lantikan bagi satu-satu jawatan termasuk berusaha melihat dan memikirkan perkara rakyat; hendaklah adil dan bertimbang rasa; menjauhi hawa nafsu; tidak mendengar percakapan kecuali dengan hujah dan keterangan; hendaklah bersyukur akan nikmat jawatan itu dan lain-lain. Sudahkah kita melakukannya?

No comments: