Friday, October 17, 2008

Umat Islam Canberra bebas laksana tuntutan agama

Laporan oleh Hasliza Hassan dari Canberra, Australia

Ketiadaan penempatan khusus berdasar etnik bolehkan penduduk hidup aman dengan penganut agama lain

BANGUNAN kelabu dengan pintu kecil, kubah putih di tengah dan dua menara di kiri kanan berhadapan Kedutaan Malaysia di Yarralumla, Canberra, adalah satu-satunya masjid yang ada di ibu negara Australia itu yang dibina atas inisiatif tiga kedutaan iaitu Malaysia, Indonesia dan Pakistan.

Kedatangan kumpulan media yang menyertai program Lawatan Media Antarabangsa anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia pada jam 3.30 petang ke masjid itu di sambut Presiden Persatuan Islam bagi Wilayah Ibu Negara Australia (ISACT), Ahmed Hijazi dan Ahli Jawatakuasa ISACT, Muhammed Quzag.

Sambil memohon maaf kerana imam masjid masih bercuti menjaga isterinya yang baru bersalin serta tidak dapat bersama, Ahmed membawa kami melawat kawasan dalam masjid yang dianggarkan boleh memuatkan kira-kira seratus jemaah pada satu masa.

Selepas melawat ketua masyarakat Islam, ketua persatuan dan ketua jabatan kerajaan yang kebanyakan membangkitkan permasalahan sama iaitu kesan Islamophobia di kalangan rakyat negara itu, agak melegakan apabila mendapat tahu masyarakat Islam di Canberra tidak terkesan dengan isu atau peristiwa membabitkan umat Islam di peringkat antarabangsa.

Ahmed berkata, ketiadaan kawasan penempatan masyarakat Islam berasaskan kepada etnik dan negara asal mereka mungkin menjadi faktor yang membolehkan penduduk Islam di situ hidup dalam suasana aman damai bersama bukan Islam.

"Mungkin di negeri lain di Australia masyarakat Islam turut menerima kesan daripada konflik antarabangsa tetapi kami di Canberra sebaliknya. Mungkin kerana masyarakat Islam di sini tidak terbahagi kepada etnik atau negara kelahiran menyebabkan tidak wujud perasaan curiga di kalangan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata, seperti masyarakat minoriti di negeri atau tempat lain, umat Islam di Canberra turut berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di tempat baru ketika mereka mula tiba di Canberra tetapi perlahan-lahan keadaan berubah mengikut perkembangan semasa.

Jika dulu sukar bagi umat Islam di sana mendapatkan daging halal, kini sudah ada peniaga yang menjual daging halal, restoran menyediakan makanan halal, malah banyak produk halal diimport dari Malaysia, Indonesia dan Singapura diperoleh dengan mudah di sini.

Selain itu, Canberra turut mempunyai Islamic School of Canberra, sekolah persendirian yang menyediakan pendidikan berkualiti untuk pelajar Islam dalam persekitaran yang menitikberatkan nilai murni ke arah mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Ahmed berkata, walaupun saiznya agak kecil, Masjid Canberra berfungsi sebagai pusat perhimpunan kira-kira 10,000 umat Islam di ibu negara Australia itu dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan termasuk hari terbuka masjid serta sambutan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun.

Katanya, bagi memenuhi keperluan umat Islam dan menampung jemaah yang terus bertambah, kedutaan Malaysia, Indonesia dan Pakistan merancang membina masjid baru lebih besar di tapak sedia ada. Cadangan mengenainya sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan serta peruntukan dan ISACT masih menunggu jawapan terhadap permohonan itu.

Masjid Canberra dibina pada 1961 bagi memenuhi keperluan umat Islam yang bekerja dan berhijrah ke Canberra. Awalnya, bangunan itu hanya mempunyai satu ruang solat utama tetapi kini masjid berusia 47 tahun itu turut mempunyai ruang solat wanita dan kelas pendidikan Islam untuk kanak-kanak setiap Ahad.

Jika awal penubuhan dan sekitar tahun 1970, hanya dua baris jemaah, kini mereka yang datang untuk solat ada yang terpaksa sembahyang di kawasan lapang luar masjid. Pada Aidilfitri lalu, kira-kira 3,000 jemaah berkumpul menunaikan solat sunat hari raya.

"Jika hari biasa, hanya kakitangan awam kedutaan datang solat di sini dan kita juga ada pelancong melawat serta menunaikan solat. Dulu pintu sentiasa dibuka tetapi apabila berlaku kejadian duit tabung hilang, kita mula mengunci dan hanya membuka pintu apabila tiba waktu solat," katanya.

Ahmed berkata, tidak sukar mengamalkan ajaran Islam di Canberra kerana masyarakat tempatan sudah memahami sedikit sebanyak selok belok mengenai Islam dan beliau sendiri tidak berdepan masalah untuk menunaikan solat pada waktunya memandangkan ia sudah menjadi rutin sejak dulu.

No comments: