Sunday, October 19, 2008

Ulul Albab: Kebahagiaan dunia banyak muslihat

Oleh Abdurrahman Haqqi


MEMBUAT amal kebajikan seperti bersedekah boleh jadi bekalan bagi umat mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. - Gambar hiasan


Kemewahan, kesenangan mudah lalaikan umat jika tak guna untuk amal kebajikan


ALLAH SWT mengehadkan pengertian kehidupan dunia sebagaimana dalam firman-Nya bermaksud: "(Dan ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Surah al-Hadid: 20)

Ayat dengan edisi bahasa yang sama boleh kita dapati dalam ayat 185 surah Ali 'Imran, manakala dalam pelbagai edisi bahasa tapi mempunyai makna sama boleh didapati dalam tiga ayat iaitu ayat 33 surah Luqman, ayat 5 surah Fatir, dan ayat 14 surah al-Hadid.

Dalam menjelaskan ayat ini, Syeikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan Arrahman berkata: "Oleh itu awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semua itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak." (Nota: 135)

Kesenangan dan kebahagiaan dunia adalah relatif dengan pengertian berbeza esensinya daripada seseorang kepada seorang yang lain. Kebahagiaan pemimpin ada pada kepemimpinannya; kebahagiaan pekerja ada pada pekerjaannya; kebahagiaan pedagang ada pada perniagaannya; kebahagiaan petani ada pada pertaniannya; kebahagiaan guru ada pada profesionnya; kebahagiaan pelajar ada pada pembelajarannya, dan seterusnya.

Kerelatifan makna kebahagiaan membawa kepada kerelatifan sebaliknya yakni kesengsaraan. Jadi kesengsaraan pemimpin ada pada kepemimpinannya; kesengsaraan pekerja ada pada pekerjaannya; kesengsaraan pedagang ada pada perniagaannya; kesengsaraan petani ada pada pertaniannya; kesengsaraan guru ada pada profesionnya; kesengsaraan pelajar ada pada pembelajarannya, dan seterusnya.

Kebahagiaan dan kesengsaraan di atas adalah takdir dan qada' Allah SWT yang tidak boleh dielakkan sesiapa pun yang memperolehnya. Dan sesuatu yang ditakdirkan itu boleh dihadapi dengan dua penyikapan, kata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam Risalah fi Amrad al-Qulub (Lembaran Penyakit-Penyakit Hati). Pertama, istikharah sebelum takdir itu berlaku. Kedua, reda selepas takdir itu berlaku. Kebahagiaan seorang hamba ialah dengan menghubungkan kedua-dua hal terbabit seperti disebutkan dalam al-Musnad, dan lain-lain bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya di antara kebahagiaan anak keturunan Adam ialah istikharah kepada Allah dan keredaannya terhadap apa yang diputuskan Allah. Dan sesungguhnya kemalangan anak keturunan Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan kebenciannya terhadap apa yang diputuskan Allah." (Hadis riwayat Ahmad)

Ketika mentafsir ayat al-Quran bermaksud: "Maka janganlah harta benda dan anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir," (Surah at-Taubah: 55) Ibn Qayyim dalam kitab yang sama berkata: "Penafsiran yang benar mengenai ayat di atas, wallahu a'lam, ialah bahawa penyeksaan mereka dengan harta boleh dilihat dan penyeksaan pemburu dunia, pencinta dunia dan orang yang lebih mengutamakannya daripada akhirat dalam bentuk ambisi untuk mendapatkannya, kelelahan luar biasa dalam mendapatkannya dan menemui banyak sekali ke dalam upaya mencarinya.

Anda tidak melihat orang yang lebih lelah dan orang menjadikan dunia sebagai matlamat besarnya dan ambisi untuk mendapatkannya. Begitulah orang yang menjadikan dunia sebagai matlamat atau matlamat terbesarnya seperti disabdakan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud: "Barang siapa akhirat menjadi matlamatnya, maka Allah menjadikan kekayaannya dalam hatinya, menyatukan perpecahannya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan patuh kepadanya. Dan barang siapa dunia menjadi matlamatnya, maka Allah akan menjadikan kemiskinannya di antara kedua-dua matanya, memecah belah persatuannya, dan dunia tidak datang kepadanya kecuali apa yang ditentukan untuknya."

Di antara seksa dunia yang paling menyakitkan ialah pemecah belahan persatuan, perpecahan hati dan kemiskinan diletakkan di pelupuk matanya dan tidak meninggalkannya sedetik pun. Seandainya perindu dunia tidak mabuk kepayang dengan cinta dunia, mereka pasti berteriak meminta perlindungan dari dunia. Disebutkan dalam al-Jami' al-Sahih karangan Imam at-Tirmizi diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Allah berfirman: 'Hai anak Adam, berilah tumpuan untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku memenuhi dadamu dengan kekayaan dan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukannya, Aku memenuhi kedua-dua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kemiskinanmu."

Termasuk seksa dunia yakni kesibukan hati dan badan menanggung seksa dunia, bersaing dengan manusia dalam memperebutkan dunia dan memusuhi mereka seperti dikatakan seorang daripada generasi salaf: "Barang siapa mencintai dunia, hendaklah ia menyiapkan dirinya untuk menanggung banyak musibah."

Pencinta dunia tidak pernah lepas daripada tiga perkara: Pertama, galau yang selalu berlaku. Kedua, kelelahan yang berpanjangan. Ketiga, kerugian yang tidak berakhir. Ini disebabkan setiap kali pencinta dunia mendapatkan sesuatu, pasti jiwanya berhasrat mendapatkan sesuatu yang lebih besar lagi seperti disebutkan dalam hadis maksudnya: "Jika anak Adam memiliki dua lembah berisi harta, pasti menginginkan lembah ketiga." (Muttafaq 'alaihi)

Nabi Isa bin Maryam a.s mengibaratkan pencinta dunia seperti peminum minuman keras. Semakin banyak dia minum minuman keras, rasa dahaganya semakin meningkat.

Ibn Abi Dunya menyebutkan bahawa Hasan Basri menulis surat kepada Umar bin Abdul Aziz: "Sesungguhnya dunia adalah negeri yang akan pergi dan tidak abadi. Adam diturunkan kepadanya sebagai hukuman baginya. Oleh kerana itu berhati-hatilah terhadapnya wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya bekal di dunia ialah dengan meninggalkannya dan kaya di dalamnya ialah dengan tidak memilikinya.

Dunia selalu meminta korban dalam setiap waktu. Ia merendahkan orang yang mengagungkannya dan membuat miskin orang yang mengumpulkannya. Ia seperti racun yang diminum orang yang tidak mengetahuinya dan di dalamnya terdapat kematiannya. Maka jadilah baginda, wahai Amirul Mukminin di dalamnya seperti orang yang mengubati lukanya. Ia memilih bertahan menghadapi pantangan sebentar daripada sakit lama dan bersabar terhadap sakitnya pengubatan daripada berasakan sakit dalam jangka waktu lama.

Berhati-hatilah terhadap dunia yang menipu, berkhianat dan memperdaya. Ia berhias dengan tipuannya, berdandan dengan muslihatnya, membuat gila dengan angan-angannya dan membuat rindu kepada pelamarnya sehingga ia menjadi seperti pengantin yang menjadi pusat perhatian. Semua mata melihat kepadanya, semua hati rindu kepadanya dan semua jiwanya tertarik kepadanya. Ia pembunuh bagi suaminya, namun kenyataannya orang yang masih hidup tidak mahu belajar daripada orang yang sudah meninggal dunia dan generasi terakhir tidak mengambil pelajaran daripada generasi pertama." Demikian hujah Ibn al-Qayyim mengenai tipu daya dunia yang membawa maut, bagaimana pula dengan hujah anda? Wallahu a'lam.

No comments: