KANAK-KANAK daripada pelbagai agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi berkumpul di depan bangunan Parlimen New South Wales. Perhimpunan bertujuan menyemai keharmonian dan mengikat persefahaman antara agama dan budaya.
Suruhanjaya ditubuh galak rakyat pelbagai budaya fahami ajaran masing-masing
TEMPIAS konflik antarabangsa yang dikaitkan dengan Islam berikutan tindakan pihak tertentu memenuhi agenda masing-masing akan sentiasa mensasarkan umat Islam terutama masyarakat minoriti di sesebuah negara.
Pengerusi Suruhanjaya Perhubungan Komuniti (CRC) untuk rakyat pelbagai budaya di New South Wales (NSW), Australia, Stepan Kerkyasharian, berkata masyarakat Islam di Australia tidak terkecuali dan terpaksa menanggung kesan daripada tindakan pihak tertentu menggunakan Islam untuk mencapai agenda hanya kerana mereka beragama Islam.
Namun katanya, pelbagai pendekatan serta usaha dilakukan kerajaan dan pertubuhan Islam di negara itu banyak membantu merapatkan jurang antara komuniti selain memberi gambaran sebenar apa yang berlaku bagi mengelak timbul salah anggap yang boleh menjurus kepada konflik lain.
"Apa yang berlaku seperti Perang Teluk, Peristiwa 11 September 2001 dan pengeboman di Bali, memberi kesan secara tidak langsung kepada komuniti Muslim khususnya penduduk NSW. Akibatnya wujud semangat perkauman yang menggugat keharmonian dalam masyarakat.
"Walaupun umat Islam di sini tidak mahu terbabit tetapi tetap merasai kesannya apabila ada segelintir menjadikan ia isu besar hingga menimbulkan masalah," katanya pada pertemuan di pejabatnya dengan kumpulan media yang menyertai program Lawatan Media Antarabangsa anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia, kelmarin.
Lawatan selama sembilan hari membabitkan tiga negeri iaitu (NSW), Canberra dan Melbourne itu, bertujuan memberi pendedahan mengenai kehidupan masyarakat Islam di Australia.
Stepan berkata, majoriti rakyat Australia termasuk yang berhijrah ke negara itu seperti komuniti Islam tidak peduli dengan apa yang berlaku pada peringkat antarabangsa kerana hasrat mereka adalah untuk memulakan penghidupan baru.
Justeru katanya, melalui CRC yang ditubuhkan pada 2001, kerajaan mengambil langkah ke depan dalam usaha memelihara dan mempromosikan keunikan kepelbagaian budaya dalam masyarakat pelbagai etnik dan bangsa.
Mengikut Akta Suruhanjaya Perhubungan Komuniti dan Dasar Kepelbagaian Budaya 2000, kerajaan negeri mengiktiraf bahawa rakyat NSW yang terdiri daripada berbilang etnik, agama dan bahasa, bebas mengamalkan serta mengekalkan bahasa, agama dan warisan etnik masing-masing.
Malah, akta itu juga menetapkan pihak berkuasa tempatan memastikan empat dasar kepelbagaian budaya dilaksanakan. Empat dasar itu ialah semua rakyat NSW mempunyai peluang untuk terbabit dalam semua aspek kehidupan termaktub dalam undang-undang.
Dasar lain ialah semua pihak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan, membabitkan diri dalam program dan aktiviti anjuran kerajaan dan semua institusi perlu mengiktiraf dan mempromosi bahasa dan budaya sebagai aset untuk pembangunan negeri.
Stepan berkata, selain langkah proaktif kerajaan, persatuan mewakili masyarakat pelbagai bangsa di NSW turut mengambil inisiatif memelihara keharmonian serta meningkatkan persefahaman antara mereka melalui pelbagai pendekatan.
Beliau berkata, ada antara usaha itu memberi kesan positif dan tidak dinafikan ada yang tidak dimanfaatkan sebaiknya seperti dialog antara agama yang sering dianjurkan kepemimpinan persatuan keagamaan dan masyarakat.
"Di sini kita ada dialog antara agama membabitkan Islam, Yahudi dan Kristian yang memberi kesan positif dan pada masa sama, tidak seperti diharapkan. Perkara ini saya sering bangkitkan secara terbuka kerana saya rasa ada yang tidak kena.
"Pada dialog antara agama itu kita ada imam, paderi dan rabbi yang mengatakan agama kita semua sama kerana kita adalah ahli kitab. Tetapi saya yakin paderi tidak sebarkan perkara itu kepada orang Kristian, imam tidak sampaikan kepada orang Islam dan rabbi tidak menjelaskan kepada orang Yahudi.
"Itu sebabnya kita masih berdepan masalah seperti tentangan terhadap orang Islam untuk membina masjid atas alasan menyebabkan masalah serta menimbulkan kesesakan lalu lintas. Ini tidak berasas.
"Saya yakin jika masyarakat memahami agama bangsa lain dan keperluan mereka, tidak akan timbul tentangan. Dialog antara agama sepatutnya mengakui perbezaan yang wujud dan mengambil usaha menjelaskan serta memahami supaya wujud rasa saling menghormati," katanya.
Beliau yakin lama kelamaan keharmonian dapat ditingkatkan seterusnya dikekalkan dengan syarat semua masyarakat bersedia menerima antara satu sama lain tanpa sebarang prejudis selain peka dengan apa yang berlaku di peringkat antarabangsa.
Bukti ke arah itu dapat dilihat melalui program Festival Jalanan Pelbagai Budaya yang diadakan setiap tiga tahun oleh pihak berkuasa tempatan mendapat sambutan masyarakat setempat yang mempersembahkan kebudayaan masing-masing dalam suasana harmoni.
Jika begitu keadaannya, sewajarnya tidak timbul sebarang masalah membabitkan masyarakat pelbagai bangsa dan budaya.
Menjawab persoalan itu, Stepan berkata, di Sydney usaha itu memang berjaya dengan kerjasama pemimpin masyarakat Islam yang memahami tetapi susah untuk mengelak daripada segelintir pihak yang suka membuat penghakiman tanpa mengetahui apa sebenarnya berlaku.
Katanya, CRC akan terus memastikan keharmonian terus terjamin dan objektif ke arah itu tercapai melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Perhubungan Komuniti 2012 yang menekankan empat objektif iaitu kepemimpinan, keharmonian, kesamarataan dan peluang ekonomi serta budaya.
"Kita semua perlu semaikan iaitu tidak kira apa agama, bangsa dan latar belakang, kualiti yang kita ada adalah kualiti semua rakyat Australia. Ini menepati lagu kebangsaan yang dinyanyikan, kita semua satu tetapi kita ramai, semua adalah rakyat Australia," katanya.
No comments:
Post a Comment