Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Nahas jalan raya terus berlaku, jemputan hari terbuka utama orang luar daripada jiran
KITA baru saja sempurna mengerjakan ibadat puasa sebulan Ramadan dan Aidilfitri 1429 Hijrah disambut sudah seminggu. Semua umat Islam menzahirkan kegembiraan atas kejayaan itu dengan keluar beramai-ramai mengerjakan solat sunat Aidilfitri mengenakan pakaian baru.
Aidilfitri disambut meriah oleh segenap masyarakat Malaysia tanpa mengira umur dan tempat, termasuklah mereka yang bukan beragama Islam. Tiada salahnya orang bukan Islam ingin memeriahkan suasana perayaan Aidilfitri dengan syarat tidak melanggar batasan ditetapkan syarak.
Keunikan rakyat Malaysia ini sukar dicari di negara lain. Kegembiraan menyambut hari raya ada kalanya tercalar dengan pelbagai peristiwa sedih. Laporan akhbar dan statistik dikeluarkan pihak polis menunjukkan kes kemalangan jalan raya dan kematian maut sepanjang cuti hari raya meningkat hari demi hari.
Ada juga kes pergaduhan sehingga membawa perceraian hanya kerana berselisih faham memutuskan tempat beraya sama ada di kampung isteri atau suami. Tidak kurang juga kes anak mangsa perceraian menjadi orang paling sedih kerana ibu bapa saling berkelahi untuk membawa mereka beraya bersama.
Seharusnya kita mengambil iktibar atas perkara yang berlaku supaya hari raya yang suci dan mulia seharusnya dilalui dengan gembira serta kembali kepada fitrah murni sesama insan. Sebulan ini juga ramai yang akan mengadakan rumah terbuka meraikan saudara serta sahabat handai.
Rumah terbuka sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia seolah-olah perayaan tidak akan lengkap tanpanya. Jika diperhatikan, perubahan budaya itu terutama di bandar secara tidak langsung menyebabkan satu kesan baru di mana tetamu hanya datang ketika rumah terbuka diadakan.
Ia berbeza dengan budaya silam. Namun, perubahan itu seolah-olah diterima ramai dan sebati dalam hidup kita. Kita tidak membantah pelaksanaan rumah terbuka tetapi konsepnya hendaklah tidak meminggirkan apa yang biasa diamalkan terdahulu dalam masyarakat Melayu Islam.
Apatah lagi keadaan ekonomi yang agak ketat memberi kesan kepada seluruh kehidupan kita. Penting untuk direnung adalah berusaha mengeluarkan perbelanjaan sewajarnya dan jangan keterlaluan sehingga boleh membawa kepada pembaziran.
Mengadakan rumah terbuka ini juga jangan kita lupa golongan tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah seperti kehilangan orang tersayang dan sebagainya. Kadang-kadang ada berlaku rumah terbuka diadakan tetapi jiran tetangga dan orang miskin berdekatan tidak dijemput sama. Ia adalah suatu yang tidak wajar dan perlu dielakkan. Raikanlah mereka juga kerana mereka ini adalah saudara seagama dan orang yang hampir dengan kita.
Tanggalkanlah pakaian adat yang kita pakai dalam meraikan Aidilfitri dan kenakanlah busana Islam ketika menyambut hari kemenangan itu. Lihatlah perspektif Aidilfitri ini dari kaca mata Islam yang sebenar. Aidilfitri adalah hari kebesaran Islam yang berbeza dari perayaan lain yang semata-mata untuk kemeriahan tanpa menyelitkan sebarang unsur agama di dalamnya.
Selepas berhari raya, ramai juga di antara kita yang memulakan ibadat puasa enam. Beruntunglah mereka yang tidak ketinggalan melakukan ibadah puasa enam ini kerana Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menyempurnakan puasa Ramadan dan diikuti dengan puasa selama enam hari pada Syawal. Jangan pula disebabkan terlalu banyak rumah terbuka kita tidak berkesempatan berpuasa enam.
Sebagaimana hari raya sebelum ini, Aidilfitri ini pasti ceria di kalangan kanak-kanak. Tentulah yang paling menyeronokkan tatkala menerima duit raya. Mereka berlumba-lumba menziarahi rumah ke rumah semata-mata untuk mendapatkan duit raya tersebut. Itulah sifat kanak-kanak yang mana kita sebagai orang dewasa tidak patut menyalahkan mereka. Namun sebagai ibu bapa, kita boleh memberi panduan dan menanam semangat menabung hasil wang kutipan duit raya.
Semailah sifat berjimat cermat ini sewaktu mereka masih di awal usia. Begitu juga janganlah mengajar mereka membazir dalam kehidupan seharian kita.
Tentu juga ada sebahagian kita yang meninggalkan kampung halaman untuk kembali semula ke bandar kerana tuntutan kerja di ibu kota. Kedua orang tua akan kembali kesepian mengenangkan anak cucu mereka di kota yang pulang hanya sekali setahun. Jenguk-jenguklah kedua orang tua kita sementara mereka masih ada. Jika kita harap anak kita nanti akan menziarahi dan memuliakan kita, maka tunjukkanlah teladan yang baik dengan memuliakan ibu bapa kita sementara mereka masih ada.
Sempena hari raya ini juga, rapatkan hubungan sesama adik-beradik, maaf bermaafan dan raikan saudara mara yang sudah tua. Menziarahi datuk, nenek dan lain-lain wajar diutamakan. Santunilah semua orang keliling kita dengan cara terbaik kerana ia adalah sebahagian tuntutan agama.
Sebenarnya banyak pengajaran yang dapat kita ambil sempena Aidilfitri ini. Bukalah mata, bukalah minda kita bagi menerima pengajaran ini dengan penuh ketulusan hati. Dengan cara itu kita akan kembali kepada fitrah manusia iaitu dalam keadaan suci bersih daripada noda dan dosa.
Semoga Aidilfitri ini disambut dengan baik dan menjadi titik tolak perubahan kita ke arah mencapai keredaan Allah. Moga kita tidak akan mengulangi kesilapan kita yang lalu dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah kita lalui.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment