Saturday, October 18, 2008

Ummah diseru tampil bersihkan nama tercemar

Oleh Hasliza Hassan melaporkan dari Melbourne, Australia


UMAT Islam perlu tampil menonjol diri sebagai ummah yang terbaik supaya masyarakat bukan Islam tidak pandang serong.- Gambar hiasan


ICV rangka program, kegiatan rapatkan jurang agama melalui aktiviti kemasyarakatan

PELUANG mendekati masyarakat Islam di Melbourne memberi perspektif baru mengenai perkembangan Islam di Australia apabila banyak perkara positif dicapai hasil usaha gigih mereka memperjuangkan hak melalui persatuan ditubuhkan serta undang-undang digubal kerajaan.

Tanpa menafikan kesan peristiwa 11 September 2001 yang menyebabkan umat Islam di seluruh dunia berdepan pandangan serong masyarakat lain kerana dikaitkan dengan keganasan, tragedi yang sentiasa mekar dalam lipatan sejarah itu memberi hikmah kepada penduduk Islam di ibu negeri Victoria dan kawasan sekitarnya ini.

Presiden Majlis Agama Islam Victoria (ICV), Ramzi Elsayed, berkata hikmah di sebalik kejadian menggemparkan dunia itu, masyarakat Islam di Melbourne khususnya semakin sedar bahawa mereka perlu tampil menonjolkan nilai Islam sebenar bagi membersihkan nama Islam yang tercemar.

"Peristiwa 11 September ibarat jam loceng yang mengejutkan umat Islam daripada tidur dan melakukan apa yang sepatutnya supaya Islam tidak terus menjadi bahan asakan pihak yang tidak faham isu sebenar. Walaupun ada umat Islam di negara lain didera dan dilabel dengan pelbagai andaian negatif, ia tidak berlaku di Victoria.

"Namun, ia tetap menjadi tamparan bagi umat Islam di Melbourne kerana selama ini kita tidak mengambil langkah serius untuk memastikan kehadiran umat Islam sebagai sebahagian daripada rakyat Australia benar-benar dirasai kerana sikap yang lebih suka berdiam diri," katanya.

Beliau ditemui media yang mengikuti program Lawatan Media Antarabangsa ke Australia anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia, berkata kesan daripada itu juga masyarakat Islam di Victoria khususnya Melbourne kini lebih teratur berbanding 10 tahun lalu.

Malah, kehidupan masyarakat Islam hari ini semakin baik apabila mereka bebas mengamalkan ajaran agama serta dapat memenuhi keperluan harian melalui sokongan kerajaan berlandaskan undang-undang negara itu terutama dalam aspek ibadat serta memenuhi tuntutan syariat.

Ramzi berkata, sebagai badan utama mewakili 100,000 umat Islam di Victoria, ICV membina hubungan baik antara ahlinya yang terdiri daripada 28 pertubuhan Muslim di sekitar negeri itu dengan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan untuk melahirkan masyarakat Islam Australia yang lebih baik.

Beliau berkata, wawasan ICV ialah memperkasakan umat Islam Victoria melalui perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan serta komuniti agama lain, meningkatkan kefahaman mengenai Islam dan isu penting berkaitan masyarakat Islam selain menggalakkan ummah lebih aktif dan bertanggungjawab dalam usaha menyatupadukan masyarakat Australia pelbagai budaya.

Majlis itu turut menjaga kebajikan komuniti Islam dan pada masa sama membangunkan kemampuan mereka dalam bidang kemahiran untuk membantu mencapai wawasan ditetapkan. Tidak ketinggalan ICV menganjurkan seminar serta kelas kepada umat Islam di pusat bandar Melbourne.

ICV juga adalah badan bertanggungjawab menjalinkan hubungan dengan media bagi menyebarkan maklumat tepat mengenai Islam dan memperbetulkan salah faham ditimbulkan pihak tertentu termasuk media yang melaporkan perkara tidak benar.

Bagaimanapun kata Ramzi, ICV mengambil langkah berhati-hati dalam memenuhi tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat Islam seperti membuat kenyataan mengenai isu sensitif bagi mengelak timbul masalah yang nanti akan mendatangkan kesan tidak baik kepada majlis berkenaan.

Contohnya, dalam perbicaraan serta penghakiman membabitkan 12 Muslim dengan enam daripadanya didapati bersalah, menjadi sebahagian daripada kumpulan pengganas yang merancang jihad keganasan di Australia, sementara empat dibebaskan dan dua lagi masih tidak diketahui nasib mereka.

Katanya, ada yang melihat ICV bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu mengenai kes itu tetapi pihaknya melihat perkara apa yang berlaku daripada perspektif berbeza.

"Apa yang ICV harapkan ialah mereka mendapat perbicaraan yang adil dan kini mahkamah sudah membuat keputusan. Yang penting untuk difahami di sini ialah bukan hal Islam yang menghadapi perbicaraan tetapi yang dibicarakan ialah tindakan pihak berkenaan. Perbicaraan dijalankan mengikut undang-undang ditetapkan kerajaan," katanya.

Namun, dalam perkara yang dirasakan perlu untuk ICV bersikap lebih lantang, mereka akan melakukannya selagi ia tidak melanggar peraturan kerana matlamat utama adalah memastikan kepentingan serta keperluan masyarakat Islam terjaga.

Dalam kes membabitkan pembinaan musola di univesiti katanya, ICV memberi penjelasan kepada kerajaan kenapa pelajar Islam memerlukan musola dan alasan bagi memastikan musola itu tidak dikongsi pelajar bukan Islam tetapi dikhususkan untuk pelajar Islam menunaikan solat.

Ramzi berkata, timbul perbincangan mengenainya kerana ada pihak meminta supaya musola di universiti terbuka kepada semua pelajar tidak kira bangsa atau agama sedangkan bagi pelajar Islam untuk berkongsi musola adalah mustahil memandangkan keperluan serta tuntutan yang perlu dipenuhi bagi menunaikan solat.

"Memang susah untuk pelajar Islam dan bukan Islam berkongsi musola walaupun mereka juga mengamalkan ajaran agama mereka. Pelajar Islam perlu solat lima kali sehari dan menjaga aspek kebersihan. Banyak masalah akan timbul dan ini yang ICV jelaskan kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana mendapat sokongan kerajaan yang menerima pandangan serta penjelasan diberikan dan kini sudah banyak universiti di Victoria menyediakan musola bagi kemudahan pelajar Islam.

Bukan itu saja, banyak tempat awam lain seperti lapangan terbang dan pusat perubatan menyediakan kemudahan umat Islam bersembahyang dan difahamkan, majikan serta syarikat juga kini diminta menyediakan bilik untuk memudahkan pekerja Islam menunaikan tanggungjawab kepada Allah.

Bidang lain yang turut memperlihatkan perkembangan positif ialah penyediaan makanan halal. Walaupun usaha itu dibuat bertujuan menarik pelanggan Islam yang semakin meningkat jumlahnya, sekurang-kurangnya kesedaran mengenai pentingnya makanan halal sudah meningkat dan tersebar luas.

Justeru katanya, ICV sentiasa merangka program dan aktiviti yang boleh merapatkan jurang antara agama melalui pembabitan secara langsung umat Islam dalam kegiatan kemasyarakatan antaranya Hari Membersihkan Australia. Pada hari itu, 300 umat Islam di Melbourne membersihkan kawasan penempatan mereka.

Program lain ialah barbeku bersama bagi menggalakkan umat Islam berinteraksi sesama mereka dan masyarakat pelbagai budaya lain supaya dapat mengeratkan silaturahim serta Majlis Makan Malam Eid yang mengumpulkan wakil pertubuhan untuk mendedahkan kepada mereka kepentingan kesatuan.

"Kesatuan perlu bermula dari rumah. Oleh itu, persatuan perlu bersatu bagi menunjukkan contoh kepada yang lain. Walaupun kita mungkin tidak rapat tetapi kita baik antara satu sama lain. Contoh ini perlu ditampilkan supaya masyarakat pelbagai budaya lain mudah memahami pendekatan atau ajaran Islam melalui perbuatan," katanya.

Memang menarik melihat perkembangan positif dicapai masyarakat Islam di Victoria yang terdiri daripada pelbagai etnik, namun dapat bersatu di bawah payung Islam. Ramzi berkata, perjuangan mereka belum selesai kerana banyak lagi perlu dilakukan untuk meningkatkan imej Islam bukan saja pada mata masyarakat setempat, malah seluruh dunia.

No comments: