Monday, October 20, 2008

Usaha Ibu bapa bimbing remaja semakin mencabar

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Didikan agama benteng kukuh elak anak terjebak pengaruh rakan sebaya lakukan maksiat

MENJADI ibu bapa pada zaman yang sangat pesat berkembang dan berubah bukan mudah. Ibu bapa menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha untuk membesar dan mendidik serta membentuk sahsiah dan akhlak anak mereka.

Peringkat yang paling sukar sekali bagi ibu bapa ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, dalam pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat, gaya berpakaian dan sebagainya.

Ia peringkat yang penuh dengan pelbagai pengaruh serta tekanan luar dan kebanyakannya membawa pengaruh tidak baik iaitu yang melekakan, menyeleweng akidah dan akhirnya merosakkan akhlak serta menyebabkan pelbagai salah laku dan jenayah remaja.

Dengan pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, minda, ketahanan iman dan jati diri mudah tergugat kerana pengaruh pemikiran diimport, budaya dan nilai luaran yang mencemari serta menghakis keperibadian, nilai dan budaya timuran dan Islam.

Kemewahan dan kekayaan dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari pemikiran, nilai dan budaya kita.

Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus menyebabkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, jenayah, lepak, pengangguran dan maksiat.

Patutkah dipertanggungjawabkan segala masalah dan gejala itu ke atas bahu ibu bapa? Mungkinkah ada kuasa lain yang boleh membendung atau mengawal daripada merebaknya penyakit sosial di kalangan masyarakat kita?

Ketika kanak-kanak, mereka manja, suka disayangi, dipeluk cium dan sangat menghiburkan ibu bapa. Apabila menjangkau ke peringkat remaja, mereka berubah laku, tidak suka berkomunikasi dengan ibu bapa. Remaja lebih suka berinteraksi dengan rakan sebaya.

Jika mereka pilih rakan yang mengajak kepada kebaikan atau amal maaruf, bersyukur kita. Ramai daripada mereka lebih suka mengajak kepada kemungkaran dan maksiat. Sedikit demi sedikit tabiat buruk meresap ke dalam jiwa remaja dan akhirnya mereka berubah kepada keburukan.

Remaja lebih suka menghadap televisyen, radio dan komputer daripada bersemuka dengan ibu bapa dan adik beradik. Ini mempunyai kesan negatif kerana dengan keasyikan itu, mereka mengabaikan pelajaran. Mereka tidak menyahut panggilan ibu bapa untuk makan, bersembahyang dan aktiviti bersama.

Tugas harian mereka seperti mengemas bilik, membasuh pakaian, membuat kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran semuanya terganggu dan terbiar. Akhirnya mereka mengalami masalah dalam proses pendidikan dan ada yang kecundang.

Pergaulan dengan rakan sebaya menyebabkan mereka mempelajari tabiat negatif. Anak bermula merokok, minum arak dan dengan sedikit demi sedikit mereka terdedah kepada maksiat seperti ke kelab malam dan ramai terperangkap dalam perzinaan atau seksual di luar nikah. Kita perlu meningkatkan kefahaman Quran dari semasa ke semasa, memperbaiki amalan yang dituntut Allah SWT dan ini dikerjakan bersama keluarga diketuai bapa. Malangnya pada zaman yang begitu mewah, kebanyakan kita leka dan memandang rendah kegiatan keagamaan.

Islam saja boleh menyelamatkan anak kita daripada segala gejala dan penyakit sosial.

Remaja suka mengikuti apa yang dilakukan ibu bapa dan juga pemimpin negara. Kita sebagai ibu bapa dan pemimpin patut memberi contoh terbaik seperti dilakukan Rasulullah saw.

Pemerintah pula perlu menyediakan peraturan dan undang-undang terkini ke arah membendung dan jika boleh membasmi maksiat yang kini sedang bermaharajalela.

Kawal dan sentiasa mengawasi tempat maksiat seperti pusat perjudian, pelacuran dan karaoke. Hentikan atau tarik lesen jika mereka melanggar arahan.

Insya-Allah dengan kerjasama dan komitmen padu oleh semua pihak, nescaya, kita mampu melahir generasi remaja yang memenuhi ciri warga negara seperti dihasratkan dalam Wawasan 2020. Berguna untuk duniawi dan ukhrawi.

No comments: