Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sumbangan Aidilfitri YaPEIM kepada 400 anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa YaPEIM di Bagan Datoh, baru-baru ini.
Umat Islam disaran sambut hari raya dengan kesyukuran tanpa dicemari perkara bercanggah
SAHABAT Rasulullah SAW, Anas pernah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW mendapati penduduk Madinah bergembira dalam dua hari. Lantas Baginda SAW bertanya kepada mereka mengenai dua hari itu.
Mereka menjawab bahawa mereka menyambut perayaan dan bergembira pada hari itu mengikut amalan jahiliah. Baginda SAW menyatakan bahawa Allah sudah menggantikan dua hari itu dengan hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah.
Perkataan hari raya disebut juga dengan ‘ayd’ yang merujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang itu kembali mengecapi suasana kegembiraan setiap tahun dan memastikan bahawa ia sentiasa mengulang-ulang kegembiraan tersebut. Jadi apabila digandingkan kalimah `ayd al-fitrah ia memberi maksud kembali kepada fitrah yang suci.
Dengan kata lain, seseorang itu menyatakan kegembiraannya mengecapi sesuatu yang fitrah, suci dalam dirinya. Ia adalah kesinambungan daripada proses pentarbiahan dan penyucian jiwa sepanjang bulan Ramadan dengan melakukan segala ketaatan kepada Allah.
Kedatangan hari raya menjadikan umat Islam dapat bergembira atas taufik Allah yang dikurniakan kepadanya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang mereka rayakan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dengan membawa bersama puasanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah)
Ia menunjukkan apabila mereka berbuka puasa setiap hari, mereka akan bergembira. Begitu juga apabila selesai menyempurnakan fardu puasa selama sebulan pada Ramadan dan menyambut hari raya, mereka bergembira buat kali kedua.
Kegembiraan yang disambut itu bagaimanapun adalah kegembiraan bersumberkan taufik Ilahi kepada mereka yang menjunjung titah perintah Allah sepanjang Ramadan. Nikmat ketaatan itu terzahir pada peluang dan ruang dikurniakan Allah kepada mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan solat sunat pada waktu malam Ramadan yang mulia.
Justeru, kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan. Maka tidak hairanlah pada hari lebaran, orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.
Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Katakan dengan kelebihan dan nikmat Allah, dengan itu maka bergembiralah kamu. Ia adalah lebih baik dari apa harta yang kamu kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)
Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.
Justeru, Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim, anak dan isteri yang termasuk di dalam tanggungannya walaupun dia juga dikategorikan sebagai miskin. Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang. Walaupun dia sendiri fakir, tetapi tetap menjadi penyumbang.
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Zakat diberikan orang kaya akan digunakan Allah untuk membersihkan dirinya dari dosa. Manakala zakat orang miskin akan dikembalikan kepadanya oleh Allah dengan jumlah yang lebih banyak dari apa yang diberikannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)
Pada hari raya, setiap individu Muslim yang berjaya menyempurnakan perintah Allah pada Ramadan layak bergembira. Kegembiraan dan kesyukuran yang dirayakan itu, bagaimanapun, tidak boleh disambut dengan melakukan perkara bercanggah ajaran Islam.
Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu. Hari raya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya. Ia menunjukkan hari raya mempunyai hubungan rapat dengan makna dan tuntutan ibadah dalam Islam.
Pada hari raya itu mempunyai makna rabbani, hubungan dengan Allah. Bukanlah ertinya hari raya yang sebenar jika ada beranggapan boleh melakukan apa saja tanpa mengira batasan agama. Pada hari raya juga tidak bermakna seseorang Muslim memutuskan hubungan dengan Allah.
Kita perlu membetulkan suatu kefahaman bahawa tamatnya bulan Ramadan, maka tamatlah hubungan mereka dengan masjid, solat berjemaah, solat sunat dan membaca al-Quran.
Barangkali inilah yang dikatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ketika menyindir kelakuan sesetengah umat Islam yang beranggapan sedemikian dengan katanya: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka Ramadan telah pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup tanpa mati.”
Justeru, tidak hairanlah kita melihat fenomena di tanah air apabila berada pada awal Ramadan, masjid dan surau penuh sesak dengan jemaah yang datang beribadah, tetapi apabila Ramadan mula melabuhkan tirainya, makin susut pengunjung masjid.
Jika kita menginsafi bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk mentarbiah diri dan hati dengan makna keimanan, ketakwaan dan mencari kelebihan yang ada di sisi Allah, kita tidak akan dapati seseorang itu boleh memutuskan hubungannya dengan Allah walaupun Ramadan berlalu pergi.
Dia percaya bahawa latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan dirinya terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan. Dia tidak akan memutuskan hubungan mesranya dengan Penciptanya.
Barangkali ada benarnya kata-kata salafussoleh bahawa seburuk-buruk kaum ialah kaum yang hanya kenal Allah pada Ramadan saja. Kita hendaklah menjadi rabbani sepanjang masa dan waktu, bukan menjadi orang yang melakukan ketaatan hanya pada Ramadan.
YaPEIM mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan, mudah-mudahan Allah menambah lagi nikmat kepada kita, keluarga, masyarakat dan negara tercinta.
INTI PATI
Kemunculan hari raya adalah untuk menyempurnakan kegembiraan yang baru saja selesai mengerjakan ibadah puasa pada Ramadan dan orang mukmin akan bergembira dengan taufik Allah.
Umat Islam tidak boleh bergembira secara solo atau bersendirian pada hari yang mulia sebaliknya, kegembiraan itu perlu dikongsi dengan orang lain terutama yang bertaraf miskin dan fakir.
Islam mensyariatkan zakat fitrah yang wajib bagi setiap individu Muslim.
Islam mengkehendaki setiap Muslim membiasakan diri untuk menafkahkan hartanya sama ada ketika susah atau senang dan membiasakan diri menjadi penyumbang.
Sambutan hari raya dalam Islam tidak perlu dimeriahkan dengan program berlandaskan tuntutan hawa nafsu sebaliknya perlu dimulakan dengan takbir dan solat sunat hari raya.
Latihan yang diterima pada Ramadan menjadikan diri Mukmin terus membuat hubungan dengan Allah selepas Ramadan.
No comments:
Post a Comment