Friday, October 3, 2008

Penawar histeria menerusi cakera padat

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Mohd Toha himpun ayat Ruqyah sebagai doa elak gangguan syaitan

KEJADIAN histeria mengganggu sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan dan 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab II di Jalan Merbau, Kota Bharu terus menjadi misteri yang hingga kini tiada penjelasan.

Namun bagi umat Islam, hakikat kewujudan syaitan, jin dan makhluk halus adalah ketetapan yang wajib diyakini. Malah, untuk mengatasi masalah membabitkan gangguan daripada alam ghaib sudah disediakan menerusi ayat yang diturunkan Allah dalam kitab suci al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini sebenarnya tidak ada sebarang keraguan (sebagai sesuatu yang datangnya daripada Allah dan sempurnanya); kemudian ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa. Iaitu golongan yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 1-3)

Justeru, sebagai memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, penuntut ijazah bidang Usuluddin hadis di Universiti Al-Azhar Mesir, Mohd Toha Hassan Azhari terpanggil untuk berkongsi pengalaman melakukan penyelidikan dan kajian mengenai amalan mengubati sihir dengan ayat Ruqyah.

Beliau yang baru menghasilkan cakera padat Ayat-Ayat Ruqyah, iaitu ayat penawar sihir dan gangguan makhluk halus dengan kerjasama Inteam Records Sdn Bhd berkata, ayat itu sudah disusun ulama dalam usaha menghalang jin daripada mengganggu manusia.

"Sebenarnya memang ayat ini sudah lama digunakan untuk merawat gangguan syaitan, jin serta makhluk halus, tetapi mungkin ramai tidak mengetahuinya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bagi saya berkongsi pengetahuan bagi menangani masalah histeria yang berlaku kebelakangan ini.

"Sesetengah orang Islam lebih cenderung pergi jumpa bomoh atau pawang untuk mengubati sihir dan histeria tanpa mengetahui dengan pasti jampi serapah digunakan. Apa yang diketengahkan ialah ayat daripada al-Quran untuk diamalkan bagi mengelak gangguan makhluk halus," katanya.

Beliau yang berpengalaman mengubati pelajar terkena sihir berkata, kebanyakan gangguan yang berlaku adalah benar dan bukan lakonan pihak berkenaan kerana tidak ada faedah untuk seseorang berlagak seperti dirasuk atau diganggu makhluk halus.

Malah, pengalaman berdepan serta berdialog dengan jin mewujudkan rasa seram dalam hati, tetapi mengenangkan hasratnya adalah untuk membantu memulihkan mereka yang terkena sihir serta gangguan jin, perasaan itu diketepikan.

Menjelaskan mengenai minat mendalami ilmu mengubati penyakit akibat gangguan syaitan dan makhluk halus, anak tokoh terkenal dalam bidang al-Quran, Datuk Hassan Azhari, mengakui pengalaman bapanya sebagai pendorong.

Selain ilmu diajar bapanya, beliau turut mempelajari ilmu berkenaan daripada bacaan dan antara buku menjadi teman setianya hari ini ialah Buku Pendinding Manusia Daripada Gangguan Jin dan Syaitan serta Pedang Yang Tajam hasil tulisan Wahid Abdul Salam Bali.

Satu lagi buku yang dianggap sebagai direktori lengkap mengandungi panduan dan ayat al-Quran yang turut dijadikan rujukan ialah Petunjuk untuk Pengubat Daripada Gangguan Jin hasil karya Riyadh Mohammad Samahah

Mohd Toha berkata, punca sihir adalah gangguan syaitan, jin dan makhluk halus terhadap mereka yang lemah iman, tidak beramal dengan ajaran Islam atau menjadi mangsa pihak yang sakit hati serta menyimpan perasaan dendam.

Bagi histeria katanya, tidak mustahil perkara itu berlaku kerana dihantar oleh pihak tertentu dan alasan lain ialah manusia mengganggu tempat tinggal makhluk halus itu sedangkan hak mereka sewajarnya dihormati.

"Kita tidak mahu amalkan ilmu. Contohnya dalam tujuan mendirikan sekolah ada perkara perlu dilaksanakan seperti melihat kesesuaian kawasan untuk membina bangunan. Apabila terjadi perkara tidak diingini baru kita nak ambil peduli sedangkan dari awal kita sudah boleh mencegahnya.

"Begitu juga dengan ibu bapa, jangan ambil remeh soal azan di telinga anak yang baru lahir. Tidak dinafikan ada ibu bapa jahil menyebabkan anak yang lahir tidak mendengar bisikan nama Allah, maka membesarlah anak mendengar bisikan syaitan," katanya.

Katanya, sejarah sihir bermula pada zaman Nabi Sulaiman dan kisah itu dijelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 102, di mana syaitan menggunakan ilmu sihir yang akibatnya jelas membahayakan umat manusia untuk diajarkan kepada tukang tilik.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan sewajarnya ayat Ruq-yah yang ada dalam 15 surah terpilih dalam al-Quran dijadikan amalan harian bukan saja sebagai pendinding untuk diri, malah sekolah serta rumah supaya terhindar daripada gangguan makhluk halus atau sihir.

Cakera padat dan album Ayat-Ayat Ruqyah adalah himpunan potongan ayat al-Quran yang menjadi doa khusus untuk mengubati sihir dan gangguan makhluk halus. Ayat itu dimulakan dengan surah al-Fatihah diikuti ayat terpilih surah al-Baqarah. Ayat lain daripada surah al-A'raf, Yunus, Taha, al-Mukminun, as-Saffat, al-Ahqaf, ar-Rahman, al-Hasyr, al-Jin dan surah tiga Qul.

Pada masa sama, Mohd Toha mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan daripada berjumpa dengan bomoh yang tidak diketahui latar belakang cara rawatan serta jampi diamalkan bagi mengelak daripada tertipu hingga ada yang terpedaya menjadi mangsa rogol bomoh berkenaan.

Sebagai cadangan, beliau meminta pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) mengiktiraf pusat perubatan Islam yang sah supaya tidak timbul rasa ragu-ragu di kalangan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.

INFO

Sembilan jenis sihir

Tafriq (sihir yang memisahkan suami isteri): Akibat sihir ini timbul perasaan marah dan benci. Apabila isteri tengok suami, pada pandangannya muka suami seperti hantu, begitu juga apabila suami melihat isteri.

Al-Mahabbah: Sihir ini dibuat oleh isteri kepada suami supaya suami taat, terutama jika suami kaya dan mempunyai banyak harta.

Takhayyul (sihir ini menyebabkan orang yang terkena sentiasa berkhayal): Mereka yang terkena sihir ini juga sering berimaginasi benda kecil, tetapi pada pandangannya ia besar.

Al-Junun (menjadi seorang yang tersangat lupa dan tersasul): Apabila orang yang terkena sihir ini bercakap, matanya terbeliak. Mereka juga tidak tetap di satu tempat dan saling bertukar kerja. Kerap dilihat merayap tanpa hala tuju dan tinggal di rumah kosong.

Al-Khumul: Mereka yang terkena sihir ini lebih suka bersendirian untuk tempoh masa panjang. Mereka juga benci pada perhimpunan, sentiasa dalam keresahan dan lambat melakukan sebarang pekerjaan.

Al-Hawatif: Sihir ini membuat seseorang itu mengalami mimpi ngeri, berasa diseru dalam mimpi dan mendengar suara bercakap ketika berjaga. Banyak waswas dan mereka yang terkena sihir ini banyak syak wasangka dengan orang yang rapat atau disayangi.

Al-Marad (sakit): Orang yang terkena sihir ini akan sentiasa sakit anggota badan, tubuh jadi kaku dan anggota tidak berfungsi secara tiba-tiba.

Nazif: Sihir ini berlaku pada orang mengalami darah istihadah (darah yang keluar selepas melewati tempoh darah haid). Apabila disihir, darah akan keluar secara berterusan hingga berbulan-bulan.

Ta'til tawaj: Sihir untuk rosakkan perkahwinan seseorang. Disebabkan sihir ini, wanita takut hendak kahwin, mudah marah, lupa dan kurang syahwat.

No comments: