Oleh Penulis khas YaPEIM
KEHADIRAN dua bulan berkat Ramadan dan Syawal sememangnya dinantikan umat Islam sedunia. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam melalui ujian Ramadan.
Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan serta kasih mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.
Aidilfitri adalah suatu hari di mana fitrah diraikan dan disyukuri. Islam tidak menjadikan keperluan beragama sebagai suatu yang misteri di benak manusia, permusuhan dan dendam sebagai akhlak dan undang-undang kehidupan, kemiskinan serta kemelaratan sebagai disiplin agama, mahupun kasta dan status sosial sebagai suatu sistem kemasyarakatan.
Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.
Namun, berapa ramaikah daripada kita menyedari hakikat itu sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi pada Aidilfitri yang mulia.
Allah menegaskan bahawa 'fitrah' adalah 'ketetapan' Allah yang ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayyed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.
Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.
Dalam konteks ini, al-Quran menjelaskan fitrah sebagai agama hanif, agama yang lurus, agama pertama ditakdirkan untuk dianuti seluruh manusia. Tidak hairanlah mengapa manusia mempunyai potensi yang asli terhadap nilai positif sejagat sememangnya didukung agama pertama itu.
Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan pada suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.
Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang pada Ramadan lalu.
Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.
Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk di rumah menonton rancangan menarik disajikan. Dari sudut ekstrim, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah menziarahi yang digalakkan pada Aidilfitri.
Sementara warga kota yang pulang ke kampung memandu kenderaan, berlumba-lumba di jalan raya dan seterusnya mengubah Aidilfitri menjadi hari yang ditangisi bukan dirai.
Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan yang mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Melalui perayaan itu, syiar keagungan Islam disebarkan terutama apabila takbir dan tahmid berkumandang. Aidilfitri adalah hari persaudaraan dan kegembiraan dalam suasana mentauhidkan Allah, memenuhi tuntutan fitrah manusia sebahagian daripada keperluan agama yang perlu disyukuri.
Perlu diingat, fitrah manusia cenderung kepada kesederhanaan. Kewajipan mengeluarkan zakat fitrah mengingatkan individu Muslim hakikat bahawa persaudaraan Islam menganjurkan umatnya bersifat prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan.
Dalam konteks ini, perkongsian bukan saja dari sudut mata benda, malah perasaan. Menunaikan zakat fitrah menyucikan jiwa si kaya daripada perasaan tamak dan bongkak, menyucikan jiwa si miskin daripada perasaan dengki dan iri.
Menanam antara dua jiwa rasa kasih, hormat dan seterusnya menimbulkan persaudaraan serta perpaduan. Ditambah pula apabila umat Islam berduyun-duyun berhimpun mendengar khutbah yang dibacakan imam dan bersama menunaikan solat sunat hari raya.
Uniknya Islam yang menyatukan amalan duniawi dan ukhrawi di bawah naungan tauhid. Semoga Aidilfitri menginsafkan kita hakikat keistimewaan agama fitrah ini.
Wednesday, October 8, 2008
Bersama YaPEIM: Islam memenuhi tuntutan fitrah manusia sejak awal dicipta
Labels:
(B) Bersama YaPEIM,
Aidilfitri,
Fitrah,
Ramadan,
Syawal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment