Wednesday, October 22, 2008

Peguam Syarie Menulis: Paradigma baru junjung raja Melayu

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


RAJA-RAJA Melayu bergambar kenangan selepas istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan dan istiadat menandatangani surat perisytiharaan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin Shah (lapan kanan) di Balairong Seri, Istana Negara tak lama dulu. - Foto Bernama


Hak Bumiputera, kaum lain tetap diperaku Perlembagaan Persekutuan

RAKYAT keseluruhannya menjunjung kasih kepada Majlis Raja-Raja Melayu kerana memberi peringatan, panduan, seruan dan nasihat kepada rakyat berhubung beberapa persoalan yang kerap kali ditimbulkan sejak kebelakangan ini.

Peringatan Ke Bawah Duli Tuanku ini amat bertepatan bagi menghilangkan kegusaran dan keresahan rakyat. Isu ini adalah berhubung dengan hak keistimewaan kedudukan kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Jika kita menelusuri sejarah secara ikhlas sudah tentu kita akan mendapati orang Melayu sejak sekian lama menjadi tunjang pembentukan negara Malaysia. Orang Melayu yang rata-ratanya Islam sudah tidak harus dipertikaikan lagi sebagai penduduk asal negara ini.

Mempertikaikan perkara ini seolah-olah mempertikaikan Raja-Raja Melayu juga. Walaupun keistimewaan ini dinikmati orang Melayu, orang bukan Melayu tidak pernah ditindas di negara kita. Ia adalah manifestasi keunggulan dan jatidiri negara kita.

Menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu tidak harus dipersoalkan lagi. Malah, rakyat sudah pasti bangkit melindungi institusi Raja-Raja Melayu dalam apa juga keadaan sejajar dengan apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya menjadi tugas dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu mempertahankan agama Islam di Malaysia. Ia jelas termaktub umpamanya dalam sumpah atau ikrar Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta.

Bukan hanya sumpah itu untuk melindungi Islam, malah ia turut dimulai dengan menyebut nama Allah dengan lafaz 'wallahi wabillahi watallahi'. Jelaslah tanggungjawab ini harus dipikul Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu ini hendaklah dibantu oleh kerajaan baginda.

Dalam konteks sama juga, kerajaan, sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri mempunyai tanggungjawab amat besar bagi menyempurnakan lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya itu.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Pihak kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu tindakan yang memudarat, menghakis atau mencemarkan kedudukan dan kesucian Islam di Malaysia. Segala dasar dan tindakan kerajaan hendaklah selaras dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong ini.

Contoh paling mudah ialah dalam segala urusan kerajaan, kita akan mendapati sampul surat semua jabatan kerajaan akan tertera tulisan 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Maksud frasa ini adalah jelas. Ia bermaksud urusan yang dibuat oleh pihak kerajaan itu adalah atas titah Raja-Raja Melayu. Ia juga bagi menjamin sumpah Yang di-Pertuan Agong itu disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Adalah langsung tidak masuk akal jika 'Urusan Seri Paduka Baginda' itu tidak sejajar dengan sumpah Ke Bawah Duli Tuanku. Tidak boleh difikirkan jika di luar tertulis Urusan Seri Paduka Baginda yang bersumpah mempertahankan Islam itu, kandungan suratnya pula sesuatu yang menghina, memperlekeh, mencemar atau mengetepikan kepentingan Islam.

Mempersoalkan hak dan ketuanan Melayu sama juga seperti mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu kerana Raja-Raja Melayu memayungi rakyat jelata sekalian. Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol negara, malah terbukti Raja-Raja Melayu berperanan penting dalam memastikan kestabilan politik, mempertahankan agama dan sebagainya.

Malah, ada beberapa perkara menjadi hak eksklusif Raja-Raja Melayu yang tidak harus dipersoalkan langsung.

Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Raja-Raja adalah ketua agama yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam. Malah, perkara mengenai Islam seperti penggunaan perkataan tertentu adalah kuasa Raja-Raja Melayu dan bukan semua perkara boleh dibawa ke mahkamah. Ia adalah kerana perkara membabitkan hal ehwal Islam, Majlis Raja-Rajalah yang mempunyai kuasa pemutus.

Kita sering mendengar saranan agar semua pihak mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Sudah sewajarnyalah setiap rakyat menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-Undang tertinggi di Malaysia.

Sesetengah golongan hanya memilih sebahagian saja peruntukan perlembagaan itu. Itupun kerana ia memihak kepada mereka. Malah, apabila Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan yang tidak memihak kepada golongan mereka, mereka tidak menerimanya.

Mereka tidak menerima hakikat bahawa perlembagaan itu ditafsirkan sedemikian rupa yang memihak kepada Islam dan masih berusaha bagi mendapatkan tafsiran sebaliknya.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong memelihara keistimewaan orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sentiasa dijamin Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 pula memperjelaskan tanggungjawab serta kuasa Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan.

Walaupun orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak menikmati keistimewaan di Malaysia ia tidak bermakna orang bukan Melayu dan bukan pribumi Sabah dan Sarawak dipinggirkan. Mereka juga mempunyai hak yang sah di negara ini sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang.

Mereka tidak harus bimbang mengenai hak mereka itu. Selagi ia tidak menghakis ciri istimewa Perlembagaan Persekutuan ini, orang bukan Melayu berhak mengecapi nikmat sama sebagai warga negara Malaysia.

Orang Melayu dan bukan Melayu hendaklah saling lengkap memperlengkap antara satu sama lain bagi membangunkan negara Malaysia yang kita cintai ini. Janganlah dibiarkan anasir luar menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat yang sudah sekian lama menjadi kebanggaan kita semua.

Berbalik kepada kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Melayu berkaitan dengan hak keistimewaan kedudukan kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan tempoh hari, sudah sewajarnyalah setiap rakyat jelata menjunjung kasih dan menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu kerana berkenan memberi nasihat dan teguran kepada rakyat jelata.

Mulakanlah paradigma baru selaras dengar nasihat itu. Jangan sesekali mempertikaikannya lagi pada masa depan. Keunikan negara kita ini perlulah dipertahankan dan jatidiri negara kita ini hendaklah sentiasa dipelihara.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://peguamsyarie.org

No comments: