Bersama Abdurrahman Haqqi
Manusia diperintah berhati-hati pilih makanan supaya tidak menjejaskan fungsi tubuh
KEGEMPARAN global terbaru yang berasal dari negara China selepas SAR ketika kita dalam kekhusyukan melaksanakan ibadat puasa Ramadan 1429H yang baru lalu adalah isu melamin dalam produk tenusunya. Kekecohan ini menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 September lalu seperti dipetik AFP mendesak langkah lebih tegas semua pihak dalam usaha menarik balik produk makanan yang dicemari melamin dari pasaran bagi memulihkan kepercayaan pengguna terhadap produk susu China.
Agensi makanan dan kesihatan PBB dalam satu kenyataan bersama menegaskan, keselamatan makanan bukan saja tanggungjawab pengeluar malah semua pihak. Di samping itu, China terus menerima tekanan apabila Kesatuan Eropah (EU) bercadang mengharamkan sebahagian produk makanan negara itu daripada memasuki pasaran rantau berkenaan.
Kerosakan dan bala bencana yang berlaku itu tidak terlepas daripada kebenaran firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah al-Rum: 41)
Demi keghairahan mengaut keuntungan sehingga etika kebaikan universal yang disepakati masyarakat antarabangsa tidak diendahkan pengeluar barang tercemar yang sudah memudaratkan 53,000 kanak-kanak di China. Dalam pada itu, sepanjang September, umat Islam dunia melaksanakan salah satu rukun Islam yakni ibadat puasa yang antara hikmahnya adalah seperti disabdakan Nabi SAW maksudnya: "Berpuasalah supaya kamu sihat." (hadis riwayat Abu Naim) dan sabdanya lagi yang bermaksud, "Puasa adalah pelindung". (hadis riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasa`i).
Islam sangat menitikberatkan masalah pemakanan kerana kehidupan manusia sama ada baik atau buruk berpunca daripada makanan itu. Pemakanan boleh mempengaruhi tugas utama manusia di muka bumi ini yakni ibadah kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: "(Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya)." (Surah Abasa: 24)
Dalam ayat berikutnya dijelaskan dari mana asalnya makanan. Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian dan buah anggur serta sayur-sayuran, dan zaitun serta pohon kurma, dan taman yang menghijau subur dan pelbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; Untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu." (Ayat 25-32)
Makanan yang diproses daripada benda yang disebutkan al-Quran di atas akan baik seandainya ia dibuat dengan cara yang baik dan benar mengikut hukum syarak dan kaedah pemakanan. Pada umumnya, pencemaran makanan disebabkan tiga punca iaitu pencemaran disebabkan mikroorganisme seperti kuman dan bakteria, bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan dan pemprosesan makanan serta pencemaran fizikal seperti kotoran dan debu.
Di samping itu, ada juga pencemaran moralnya yakni hukum haram satu-satu makanan walaupun makanan itu tidak dicemari oleh salah satu daripada tiga punca di atas mahupun semuanya. Bagi seorang Muslim makan dan makanan bukan sekadar penghilang lapar dan dahaga saja atau sekadar enak di lidah, tapi lebih jauh daripada itu mampu menjadikan tubuhnya sihat jasmani dan rohani sehingga mampu menjalankan fungsinya sebagai 'khalifah fil Ardhi'.
Rasulullah SAW pernah berkata dalam suatu hadisnya bermaksud: "Seorang hamba Allah tidak akan berpindah dua kaki pun pada hari kiamat, sampai ia mampu menjawab empat hal: umurnya bagaimana dihabiskan, pengetahuan bagaimana diamalkan, hartanya bagaimana dinafkahkan serta tubuhnya bagaimana digunakan." (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Tubuh manusia boleh diumpamakan seperti mesin yang sangat rumit dan tidak ada tandingannya. Seperti halnya mesin yang memiliki pelbagai komponen, maka agar mesin itu dapat selalu berjalan dengan mulus perlu diperhatikan beberapa hal, antara lain perlu dipelihara dan dijaga kebersihannya, diberi waktu beristirahat, dan digunakan dengan hati-hati sesuai fungsinya.
Demikian pula tubuh manusia, yang memiliki mekanisme yang sangat rumit itu dan salah satu segi pemeliharaan tubuh itu dengan makanan. Dan tentu saja jika fungsi berkenaan ada yang salah, misalnya tubuh diserang penyakit maka manusia harus membetulkan dirinya, tentu ada sesuatu yang salah dalam segi perawatan dan pemeliharaannya kerana Allah SWT tak akan menghadirkan bencana disebabkan ulah (perangai) manusia itu sendiri, seperti dalam firmanNya bermaksud: "Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri." (Surah al-Nisa: 79)
Begitu banyak hasil penelitian pakar yang menyatakan kesalahan dalam makanan boleh mengganggu beberapa kerja tubuh, hingga akhirnya baik langsung ataupun tidak langsung dalam jangka waktu tertentu dapat menimbulkan pelbagai penyakit, seperti: penyakit kronik pada jantung, paru-paru, darah tinggi, diabetes, penyakit lambung dan usus peptic ulcer disease, kegemukan, tekanan, tumor, dan barah.
Islam mengambil berat pemakanan yang halal bagi setiap penganutnya. Pada umumnya dapat dikatakan makanan halal adalah apabila ia tidak berbahaya atau mempengaruhi fungsi tubuh dan mental yang normal; bebas daripada najis dan produk itu bukan berasal daripada bangkai dan binatang yang mati kerana tidak disembelih atau diburu; bebas daripada bahan-bahan yang berasal daripada babi dan beberapa binatang lain yang tidak dapat dimakan oleh seorang muslim kecuali dalam keadaan terpaksa; dan diperoleh sesuai dengan yang sudah ditentukan dalam Islam.
Sebaliknya makanan itu haram apabila ia berbahaya dan berpengaruh negatif pada fizik dan mental manusia; mengandung najis atau produk berasal daripada bangkai, babi dan binatang lain yang tidak dapat dimakan oleh seorang muslim; dan berasal daripada binatang yang diizinkan, tetapi tidak disembelih dengan aturan yang ditetapkan (secara Islam) dan tidak dilakukan sepatutnya. (Lihat al-Qaradawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam)
Oleh itu untuk memelihara keperluan agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah, serta harta seperti dikenal sebagai al-daruriyat al-khams yang dilindungi agama, apa-apa pun yang halal pada asalnya boleh diharamkan. Dalam al-Quran, Allah SWT menyuruh manusia memakan apa saja di dunia ini yang diciptakan-Nya, sepanjang batas-batas yang halal dan baik (tayyibah). Banyak ayatnya yang memerintah manusia agar berhati-hati dalam memilih makanan, boleh memisahkan mana yang halal (dibolehkan) dan mana yang haram (tidak diizinkan), cara memperoleh makanan itu dan makanan itu baik dari segi kesihatan jasmani mahupun rohani.
Sebagai natijahnya, jika manusia mengikuti ajaran al-Quran dalam masalah makanan sudah pasti mereka akan terselamat di dunia dan di akhirat. Kerana pentadbiran makanan di dalam al-Quran adalah panduan dari yang memberi manusia nikmat makanan. Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment