ASAS kekuatan diri seseorang yang beriman dan bertakwa adalah hasil didikan ibu bapa dan keluarga yang cemerlang. Hal ini menjadikan seseorang mempunyai jati diri dan hidup sejahtera. Apa juga godaan melanda dirinya, dapat diatasi dengan iman dan takwa. Ini berpunca daripada asuhan ibu bapa bagi kelangsungan hidup seseorang di dunia dan akhirat.
Hanya iman dan takwa yang menjadi bentang kehidupan. Seseorang yang beriman dan bertakwa tidak akan melakukan perbuatan keji seperti berzina, homoseksual, mencuri, merompak dan berbohong.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berzina seseorang yang berzina, sedangkan ketika ia berzina dalam keadaan beriman, dan tidak mencuri seseorang pencuri itu sedangkan ia dalam keadaan beriman, dan tidak minum arak seseorang peminum arak sedangkan ia dalam keadaan beriman.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Orang yang beriman sentiasa tenang, tidak gopoh, kelam kabut, sabar serta sentiasa memperbaiki diri. Oleh itu jelaslah iman menjadi benteng kepada diri serta tindakan dalam kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman dapat menghalang bunuh curi. Dan orang Mukmin tidak membunuh curi (tidak membuat tipu daya).” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
Jelaslah iman yang dididik dan disemai di hati sejak dalam kandungan, hingga lahir meningkat dewasa akan menjadikan seseorang bertakwa kepada Allah.
Diriwayatkan Imam Muslim, daripada Shuhaib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keistimewaan orang yang beriman ialah ketika ditimpa kesusahan mereka bersyukur seolah-olah mereka menerima kebaikan.”
Orang beriman tidak mempunyai dan menyimpan sifat keji seperti dendam, hasad, iri hati, cemburu dan kesumat. Hati orang beriman sentiasa mendorong dirinya berkelakuan baik, membantu orang lain dan sentiasa mendoakan perkara baik terutama kepada saudara seIslam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” (Surah al-Hasyri, ayat 10)
Iman terletak dalam hati, didiklah hati supaya sentiasa sabar, tenang dan syukur yang akan memberi tindakan baik dalam kehidupan. Ibu bapa yang beriman dapat mendidik anak bagi menjadikan masyarakat Islam lebih utuh.
Monday, August 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment